ABIM Negeri

24hb Disember 2020 (Khamis): Alhamdulillah, bersempena Muktamar Sanawi ABIM kali ke-49, telah berlangsung Majlis Munajat dan Doa Selamat Jamaah Keluarga Besar WADAH-ABIM-PKPIM (WAP).
Para pemimpin WADAH-ABIM-PKPIM (W-A-P) bermunajat bersama warga W-A-P dari seluruh pelusuk negara diketuai Penolong Setiausaha Agung ABIM, Mohd Shazni Abdullah (Gambar Bawah).
Dijalankan di lokaliti masing-masing di seluruh Malaysia termasuk di bumi Mesir, ia turut disiarkan secara langsung di media sosial ABIM dan disertai oleh pimpinan serta aktivis WAP Pusat, Negeri dan Daerah.

14 Oktober 2020, Alor Setar:- Jutaan terima kasih diucapkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda serta Kerajaan Negeri Kedah di atas pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Negeri Kedah 2020 (APBN) kepada Angkatan Belia Islam Malaysia Daerah Kuala Muda (ABIM).
Tahniah juga kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Sik telah terpilih sebagai Naib Johan bagi kategori pertubuhan dan bagi kategori individu wanita, Puan Nor Aziah Junus sebagai Naib Johan (Gambar atas).
Anugerah ini telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Tuan Haji Muhammad Sanusi bin Md Noor kepada Ustaz Dr. Amir bin Mohd Nason (Gambar bawah).
Pengurniaan anugerah ini sebagai pembakar semangat untuk kami terus bekerja membangunkan institusi ABIM Daerah Kuala Muda ini. Pemberian anugerah ini juga sebagai pemula bagi kami kerana bukan mudah untuk istiqamah mengekalkan gelaran johan.
Harapan kami di ABIM Daerah Kuala Muda semoga kalian mendoakan dan sentiasa membantu serta menyokong kami untuk terus komited dalam usaha ini.

16 September 2020, Kuala Muda:- ASPIRASI Peduli Ummah bersama penduduk Taman Bandar Perdana telah bekerjasama mengadakan gotong-royong membungkus 100 bungkusan makanan kering pada 16 September 2020 untuk disumbangkan kepada penduduk Alor Setar yang dikenakan PKPD secara pentadbiran.
Barangan asas seperti beras, makanan tin, kicap, sos dan gula ini diharap dapat meringankan sedikit bebanan penduduk yang sedang berdepan dengan ujian Covid-19 ini.
YDP ABIM Kuala Muda, Ustaz Azfar Abdullah bersama Pengerusi ASPIRASI ABIM Kuala Muda, Dr Amir Mohd Nason turut serta dalam menjayakan program gotong-royong pembungkusan bantuan makanan dan Program Memasak Bubur Asyura peringkat Taman Bandar Perdana yang dijalankan bersama ini .
Terima kasih kepada penyumbang yang telah memberi sumbangan ini. Semoga sumbangan dan sedekah ini diredhai oleh Allah taala serta mendapat ganjaran rezeki berlipat ganda pada masa akan datang.

14hb Ogos 2020: Alhamdulillah, ABIM Kuala Muda bergabung tenaga bersama NGO dan NGI dalam program gotong-royong membersihkan rumah Pak Isa dan Mak Cik Siti, yang mana tandas dan tangga baru telah siap dibina di rumah mereka (gambar bawah).



ABIM KEDAH SAMPAIKAN SUMBANGAN DI SEKITAR KUALA MUDA.



Alhamdulillah, pada 15hb Ogos 2020, Sdr. Mohammad Fazril Mohd Saleh (Setiausaha Agung ABIM Pusat) menziarahi teman-teman dengan menghadiri Usrah Gabungan WADAH-ABIM-KPIJ di Kulai, Johor. Hadir sama, mantan Naib Presiden ABIM yang juga kini Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Jufitri Joha.
Tema perbincangan utama adalah perihal sejarah peradaban Kesultanan Johor dan konsep Bangsa Johor. Dibentangkan oleh Prof Dr Kassim Thukiman.
Pada 16hb Ogos 2020, Sdr. Fazril bertukar-tukar pandangan berhubung isu-isu antarabangsa dan umat sejagat bersama Sdr. Azril Mohd Amin, Ketua Eksekutif Centre for Human Rights Research & Advocacy (Centhra) di Thistle Johor Bahru.
Sdr. Fazril turut menziarahi Sekolah Sri ABIM Johor Bahru, bersama murid tua sekolah tersebut, Sdr. Zainudin Zakaria (Yang Dipertua ABIM Johor).
Beliau merupakan angkatan awal pelajar SRI Johor Bahru, kemudiannya melanjutkan pelajaran peringkat sekolah menengah di Maahad al-Ummah, Chemor (Perak) yang juga merupakan institusi pendidikan ABIM.
Mereka turut bergambar (atas) di hadapan bangunan Istana Mustika Embun, Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru, yang diniatkan sebagai wakaf untuk perjuangan pendidikan Islam oleh Almarhumah Tuanku Ampuan Mariam binti Almarhum Sultan Abu Bakar.
Sdr. Fazril turut melawati Sekolah Menengah Islam (SEMI) ABIM Johor Bahru. Diiringi pengetua sekolah yang juga aktivis ABIM Johor, Ustaz Farhan Ashari.
Selain itu, beliau mengunjungi Taska dan Pusat Jagaan Kanak-kanak Mustika Embun di kawasan Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bersama pengurus pusat tersebut, Sdr. Mohammad Tirmizi Abd Manaf, aktivis ABIM Johor yang berjasa.
Pada 17hb Ogos 2020, Sdr. Fazril juga mengunjungi Pusat Tahfiz Sains Darul Ilmi, di Segamat (Johor). Kehadiran mereka disambut oleh pengasas-mudir Haji Ishak Idris, Puan Hajah Norani Saring dan Ustaz Ahmad Idris al-Hafiz. Mereka adalah senior ABIM yang banyak berkorban untuk umat.
Beliau juga mengunjungi kompleks Tadika TASKI ABIM al-Hidayah, Muar. Diiringi oleh sahabat ABIM Johor, Sdr. Muazan Mahbol, bersama Puan Zu dan Dr. Kassim.