ABIM Pusat

Published in ABIM Pusat

Pinda Kurikulum UEC sebelum diiktiraf - Penjelasan Pandangan ABIM Featured

Jul 18, 2018 Hit: 520 Written by 
Pinda Kurikulum UEC sebelum diiktiraf - Penjelasan Pandangan ABIM

*Kenyataan media ABIM diterbitkan pada 9 Julai 2018

Sijil Peperiksaan Bersatu, atau Unified Examination Certificate (UEC) ialah peperiksaan yang dianjurkan oleh United Chinese School Committees’ Association of Malaysia (Dong Zong), yang mana kurikulum persekolahan mereka diajar di 60 buah sekolah menengah persendirian Cina (Chinese Independent High School) di Malaysia, dengan bahasa pengantarnya ialah Bahasa Mandarin. Peperiksaan UEC diambil pada tahun akhir persekolahan menengah, justeru pihak Dong Zong mendakwa bahawa UEC setaraf dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walau bagaimanapun, dalam konteks pendidikan di Malaysia, sebarang sistem persekolahan hendaklah tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Perlembagaan Persekutuan. Implikasinya akan melibatkan institusi pendidikan awam, institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam. 

Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) merupakan institusi pendidikan awam yang pada dasarnya perlu seiring dengan dasar pendidikan kebangsaan, dan Akta Pendidikan Kebangsaan 1996. Begitu juga halnya dengan sektor perkhidmatan awam yang perlu seiring dengan dasar dan perlembagaan persekutuan. Secara jelas, dasar pendidikan kebangsaan menyatakan, “…dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, Kurikulum Kebangsaan dan peperiksaan yang sama; pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan yang akan memenuhi keperluan negara, serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara” (Akta 550). Justeru, terdapat 3 perkara pokok yang perlu difahami. 1. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, 2. Kurikulum kebangsaan, dan 3. Peperiksaan yang sama. 

Kurikulum kebangsaan di Malaysia ialah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Kurikulum kebangsaan digubal dengan komprehensif bagi murid menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni bagi mencapai aspirasi negara Malaysia. Kandungan kurikulum ini direka bentuk dengan bersifat dan bernilai keMalaysiaan. Walau bagaimanapun, dalam Akta 550 ini juga dinyatakan bahawa murid boleh dididik mengikut hasrat ibu bapa masing-masing, dengan syarat selagi ia selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan. Dengan kata lain, pendidikan di Malaysia membuka ruang untuk pembelajaran lain-lain sistem pendidikan namun harus selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, iaitu wajib melalui mata pelajaran teras. Mata pelajaran teras pada peringkat sekolah menengah ialah Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, dan Pendidikan Islam/ Pendidikan Moral.

Justeru, bagi suatu sistem persekolahan swasta yang menggunakan kurikulum berbeza daripada KSSR dan KSSM seperti Cambridge ICGSE (UK), International Baccalaureate (IB Organization, Switzerland), SAT (Amerika Syarikat), UEC (Dong Zong), As-Sulaimaniyah (Turki), Muhammadiah (Indonesia), dan sebagainya, perlu memastikan murid mereka memenuhi standard atau piawaian kandungan dalam mata pelajaran teras seperti dalam kurikulum kebangsaan, iaitu KSSR dan KSSM untuk menjadikan sistem persekolahan mereka memenuhi Akta Pendidikan Kebangsaan, seterusnya menyediakan murid bagi peperiksaan yang ditetapkan. Dalam konteks pendidikan menengah, peperiksaan yang ditetapkan ialah Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), justeru standard dan piawaian mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah bagi lain-lain kurikulum sewajibnya dalam standard yang sama dengan kurikulum kebangsaan.

Dalam konteks pensijilan peperiksaan SPM pula, pada 2014, pensijilan SPM mensyaratkan ‘wajib lulus’ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Inggeris mulai 2016. Walau bagaimanapun, syarat wajib lulus Bahasa Inggeris ditangguhkan pada 2015 bagi memberi peluang dan ruang kepada guru dan murid membuat persediaan yang lebih rapi. Namun, syarat wajib lulus bagi Bahasa Melayu dan Sejarah dikekalkan untuk pensijilan SPM sehingga hari ini (2018). Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut meletakkan syarat wajib lulus SPM bagi membolehkan lantikan dalam semua skim perkhidmatan awam mulai tahun 2002 setelah kerajaan melaksanakan SPM mengikut sistem terbuka mulai 1999. Sistem ini membolehkan seseorang calon mendapat sijil SPM dengan syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Dengan kata lain, SPM merupakan peperiksaan bagi maksud pendidikan kebangsaan yang ditetapkan dalam Akta 550, dan pelantikan ke sektor perkhidmatan awam memerlukan pensijilan SPM. Manakala, pensijilan SPM memerlukan calon wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Oleh sebab itu, apabila Dong Zong mendesak agar UEC diterima untuk kemasukan ke IPTA dan sektor perkhidmatan awam, sebenarnya desakan itu melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Walau bagaimanapun, akta yang sama membenarkan institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) untuk menerima kemasukan pelajar yang mengikuti lain-lain kurikulum berdasarkan keperluan IPTS tersebut. Maka, dalam konteks IPTS dan sektor perkhidmatan swasta, menurut dasar jaminan kualiti yang diputuskan bersama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), pensijilan UEC diterima sebagai sebahagian syarat kelayakan bagi kemasukan ke institusi pendidikan swasta (IPTS) bermula 2014. Begitu juga halnya apabila UEC diterima sebagai sebahagian syarat kemasukan ke IPT di luar negara, yang mana IPT berkenaan tidak tertakluk kepada dasar pendidikan kebangsaan. Ini juga seharusnya difahami sebagai ruang kebebasan berpendidikan dalam negara berdemokrasi yang membenarkan pelbagai pilihan dan ruang pembelajaran di pelbagai institusi pendidikan tinggi di dalam dan di luar negara. 

Soalannya, adakah tindakan Kerajaan (KPM) tidak mengiktiraf UEC, maka tindakan tersebut merupakan suatu yang menzalimi pelajar sekolah-sekolah Dong Zong? Apabila pelajar memilih suatu sistem persekolahan, pelajar (dan ibu bapa) sepatutnya menyedari dan bertanggungjawab terhadap implikasi pilihan sistem pembelajaran yang dipilih tanpa paksaan. Keadaan ini sama untuk semua jenis sistem persekolahan yang ditawarkan sama ada ICGSE, IB, Sulaimaniyah, Muhammadiah, dan sebagainya. 

Sebaliknya, apabila kerajaan (sama ada di peringkat persekutuan atau negeri) menerima UEC sebagai sebahagian syarat kemasukan ke IPTA dan sektor perkhidmatan awam, tindakan ini merupakan suatu pelanggaran jelas kepada akta pendidikan kebangsaan dan tidak adil kepada banyak lagi pihak dan sistem pendidikan selain pendidikan kebangsaan. Malah, pengiktirafan UEC ke dalam sistem pendidikan kebangsaan akan memberi galakan kepada pelbagai kaum di Malaysia untuk mendirikan sistem pendidikan masing-masing dan seterusnya mewujudkan polarisasi kaum yang akhirnya menjarakkan kita kepada matlamat utama pendidikan kebangsaan, iaitu perpaduan.

Dalam isu ini, ABIM berpandangan bahawa kurikulum dan peperiksaan antarabangsa seperti IGCSE, SAT, International Baccalaureate, UEC dan lain-lain kurikulum dan peperiksaan yang bersifat merentasi negara dan luas pengiktirafannya boleh dan perlu diberikan ruang dalam sistem berpendidikan di Malaysia sebagai kandungan tambahan daripada mata pelajaran teras yang diwajibkan ke atas semua sekolah. Sehubungan dengan itu, ABIM menyeru agar dikuatkuasakan pemeriksaan kepada institusi pendidikan yang gagal mengajar mata pelajaran teras kepada murid mereka. Sistem persekolahan yang gagal menerapkan mata pelajaran teras adalah kegagalan kepada menuju matlamat falsafah pendidikan kebangsaan, justeru perlu diambil tindakan tegas.

ABIM juga berpandangan bahawa kemasukan ke IPTA wajib memenuhi syarat seperti mana yang diperuntukkan dalam kurikulum kebangsaan yang memerlukan kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, selain keperluan kelulusan mata pelajaran lain daripada peperiksaan yang diiktiraf IPTA berkenaan. Malah, ABIM berpendirian bahawa kualiti pensijilan SPM perlu ditambah baik dengan penambahan elemen soalan yang menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) secara beransur-ansur serta mengambil kira skema pemarkahan yang lebih terbuka, dan cara penyoalan yang lebih kontekstual seperti dalam pentaksiran antarabangsa Programme for International Student Assessment (PISA). ABIM juga berpendirian bahawa kerajaan perlu bertegas dengan syarat kemasukan ke sektor perkhidmatan awam yang memerlukan syarat asas lulus dalam SPM, iaitu minimum lulus Bahasa Melayu dan Sejarah. Sebarang perlanggaran syarat ini adalah menghina akta pendidikan kebangsaan, dan bakal merosakkan asas-asas bernegara yang teras seperti terkandung dalam prinsip rukunegara, iaitu ‘keluhuran perlembagaan’, sama seperti yang ditegaskan dalam tujuan dasar pendidikan kebangsaan ini, iaitu “… yang akan memenuhi keperluan negara, serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara”.

Sebagai rumusan, isu teras yang perlu UEC (dan lain-lain sistem pendidikan) fahami dan akur adalah berikut:

1. Pendidikan di Malaysia perlu akur kepada Akta Pendidikan 1996 dan Perlembagaan Persekutuan.

2. Dasar Pendidikan Kebangsaan mewajibkan Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

3. Dasar Pendidikan Kebangsaan mewajibkan semua murid mempelajari mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/ Pendidikan Moral dalam standard atau piawaian kurikulum kebangsaan.

4. Dasar Pendidikan Kebangsaan mewajibkan peperiksaan yang sama, iaitu SPM, dengan syarat minimum pensijilan SPM ialah lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

5. Sektor perkhidmatan awam perlu seiring dengan dasar negara, maka syarat untuk kemasukan ke semua sektor awam memerlukan lulus SPM, iaitu minimum lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.

6. Penerimaan UEC dan lain-lain peperiksaan diterima di luar negara dan pelbagai IPTS bukanlah suatu justifikasi agar UEC diiktiraf sebagai sebahagian dalam sistem pendidikan kebangsaan, seterusnya syarat ke IPTA dan perkhidmatan awam; Yang mana IPT dan negara berkenaan tidak tertakluk kepada dasar pendidikan kebangsaan.

7. Penerimaan UEC dan lain-lain sistem pendidikan berasaskan kaum dan bahasa selain bahasa kebangsaan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan akan membuka ruang kepada polarisasi kaum dengan desakan daripada kaum-kaum lain kepada sistem pendidikan masing-masing.

Oleh itu, marilah kita membina negara Malaysia dengan semangat untuk menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara, seperti yang dimaktubkan dalam hasrat pendidikan kebangsaan, iaitu “…bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”. Ini negara kita. Mari kita pertahankan sistem pendidikan kebangsaan kita.

Last modified on Wednesday, 18 July 2018 11:55
Read 520 times
Rate this item
(1 Vote)

Berita ABIM

Memahami Konteks Hak
"Memahami Konteks Hak Asasi Dalam Mendepani Cabaran Malaysia Baharu" Disampaikan oleh : Sdra. ...
Kemelut Nilai Politik
Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM Dengan merudumnya amalan dan institusi demokrasi di ...
Karya Dr Hisham Al-Talib
Alhamdulillah, bertempat di Dewan Senat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, ...
TPM Lancarkan Terjemahan
7hb September 2018 (Jumaat) : Alhamdulillah, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Wanita dan ...
Dermaga & Tunas
Tahun 2018 bermula 4 September 2018, akan disertai oleh 50 buah sekolah Menengah dan rendah di ...
ABIM Kecam Penghapusan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan Malaysia menegaskan pendirian serta ...
Mahasiswa dan Kepedulian
9hb Ogos 2018 (Khamis): Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim telah ...
“Developing A Whole of
1hb Ogos 2018 (Rabu): Alhamdulillah, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Setiausaha Agung ABIM telah ...

ABIM Negeri

Memahami Konteks Hak
"Memahami Konteks Hak Asasi Dalam Mendepani Cabaran Malaysia Baharu" Disampaikan oleh : Sdra. ...
Kemelut Nilai Politik
Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM Dengan merudumnya amalan dan institusi demokrasi di ...
Karya Dr Hisham Al-Talib
Alhamdulillah, bertempat di Dewan Senat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, ...
TPM Lancarkan Terjemahan
7hb September 2018 (Jumaat) : Alhamdulillah, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Wanita dan ...
Dermaga & Tunas
Tahun 2018 bermula 4 September 2018, akan disertai oleh 50 buah sekolah Menengah dan rendah di ...
ABIM Kecam Penghapusan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan Malaysia menegaskan pendirian serta ...
Mahasiswa dan Kepedulian
9hb Ogos 2018 (Khamis): Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim telah ...
“Developing A Whole of
1hb Ogos 2018 (Rabu): Alhamdulillah, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Setiausaha Agung ABIM telah ...