ABIM Pusat

Published in ABIM Pusat

Kesaksamaan Fikiran dan Keseimbangan Peranan, Untuk Malaysia Yang Lebih Bahagia Featured

Mar 08, 2019 Hit: 184 Written by 
Kesaksamaan Fikiran dan Keseimbangan Peranan, Untuk Malaysia Yang Lebih Bahagia

Perutusan Hari Wanita Antarabangsa 8 Mac 2019

Oleh Nor Azura Kamarudin Sohami Naib Presiden HELWA ABIM 

HELWA ABIM dengan sukacitanya mengucapkan Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2019 kepada seluruh wanita di Malaysia. Tarikh 8 Mac saban tahun diraikan segenap wanita seluruh pelusuk dunia bagi mengangkat pengiktirafan bagi setiap kejayaan wanita dan menghargai peranan dan pengorbanannya dalam pelbagai bidang. Tema sambutan International Womens Day pada tahun 2019 dinamakan ‘Balance for Better’ (Seimbang untuk Lebih Sejahtera) dan United Nation pula menetapkan slogan ‘Think equal, build smart, innovate for change’ (Fikir secara saksama, bina dengan bijaksana, inovasi untuk perubahan).

Istilah kesaksamaan membawa pengertian seimbang, setimpal, setara, sebanding dan sama rata. Kesamaan, keserataan dan keseimbangan ini mencakupi makna yang dihasratkan agar ia diniatkan dan menjadi ruang fikir yang setara antara wanita dan lelaki agar tugas membangunkan generasi dan membina peradaban, membentuk keluarga dan masyarakat sejahtera tidak bergantung kepada satu-satu gender semata-mata; sebaliknya bersifat saling melengkapi (complementary) dan melibatkan tanggungjawab bersama (shared responsibility) antara lelaki dan wanita agar ia menatijahkan hasil yang lebih positif dan memberansangkan dalam era artificial intelligence mula mengadaptasi peranan manusia dalam segenap ruang kehidupan.

Wanita Cerdas, Memimpin Budaya Ilmu dan Mengukuhkan Tradisi Intelektual

Merujuk indeks jurang gender Malaysia 2017, skor sub-indeks pendidikan 1.040 menunjukkan tiada jurang antara lelaki dan wanita, malah pencapaian wanita telah melebihi lelaki. Namun begitu, wujud 1.0 mata peratus perbezaan bagi kadar literasi antara lelaki dan wanita. Hal ini menunjukkan, peluang bagi wanita Malaysia dalam sektor pendidikan terbuka luas dan ini jelas dilihat pada statistik bilangan pelajar wanita, guru dan pensyarah wanita. Malah bilangan kehadiran peserta wanita dalam pelbagai program ilmu sama ada yang bersifat antarabangsa mahupun tempatan, iaitu di daerah dan kampung juga tinggi. Namun begitu, perbezaan kadar literasi antara wanita dan lelaki menunjukkan keperluan meningkatkan program literasi bagi wanita khususnya kepada masyarakat pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, serta orang asal (asli).

Era Malaysia Baharu harusnya meletakkan tanda aras baharu; sudah sampai masanya wanita perlu memimpin amalan budaya ilmu dan terus mengukuhkan tradisi intelektual dengan memperluaskan bahan bacaan bernilai tinggi, meraikan diskusi bersifat ilmiah dan mencabar minda, wacana yang membuka ruang analitikal, pena’akulan dan refleksi yang lebih efektif dan punya conscience yang tinggi. Wanita dalam keluarga khususnya ibu mahupun suri rumahtangga, dan kanak-kanak perempuan harus dibuka dan diberi peluang literasi dan ekspresi yang sewajarnya. Di sini wujud peranan penting lelaki, bapa dan suami yang memberi kepercayaan, ruang dan peluang kepada wanita dalam keluarga agar berpatisipasi aktif dalam program-program literasi dan keilmuan yang membina jiwa dan minda. Dalam masa yang sama, kaum lelaki juga harus punya kesedaran dan keinginan tinggi untuk meningkatkan tahap keilmuan peribadi seiring dengan ahli keluarga dalam mewujudkan keluarga dan negara yang sejahtera. Kejayaan misi membentuk perubahan kualiti institusi kekeluargaan dan kesejahteraan negara sangat bergantung kepada perubahan kesedaran daya fikir serta sikap lelaki dan wanita khususnya dalam ruang lingkup pendidikan dan keilmuan. Prinsip utamanya ia harus bersifat saling melengkapi (complementary) dan dua kunci utama kejayaaan pelaksanaanya ialah tindakan kolektif dan perkongsian tanggungjawab antara kedua pihak wanita dan lelaki.

Wanita Aktif, Peningkatan Kesihatan Mental dan Pengukuhan Sistem Sokongan.

Statistik dari Laporan Survey Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2017 menjelaskan bahawa kesihatan mental amat menekan golongan wanita di mana stres dan kegelisahan menunjukkan pola yang signifikan ke atas mereka. Skor keseluruhan tahap kesihatan mental bagi negara ini umumnya juga tidak memuaskan kerana hanya mencapai 54.1% yang sihat mentalnya. Faktor- faktor mengakibatkannya masih menunjukkan signal yang sama; bebanan kerja melampau, persekitaran tidak sihat, masalah eknomi, rumahtangga dan tekanan hidup. Oleh kerana ruang lingkup ‘work-life balance’ ini masih diperangi oleh setiap insan secara fitrahnya, namun kesedaran untuk bebas dari stigma masyarakat, segera mendapatkan bantuan dan kesediaan menjalani rawatan yang sesuai harus ditingkatkan di kalangan wanita agar kesihatan mental yang tidak terurus tidak menjadi barah dalam masyarakat.

HELWA ABIM menyokong saranan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menyatakan hasrat untuk merangka sistem sokongan yang komprehensif bagi membantu memperkasa golongan wanita. Sistem sokongan seorang wanita; samada dia bekerja atau suri rumah, samada yang bujang mahupun yang telah berkahwin, samada yang mempunyai anak atau tidak, mempunyai orang tua yang perlu diurus atau tidak mesti dikukuhkan demi memastikan seluruh tahap kesihatannya samada fizikal, mental mahupun emosi harus berada pada tahap optimum yang memungkinnya menjalankan pelbagai tugas dan peranan sehabis baik, tanpa mudarat. Apabila wanita terpelihara, masyarakat juga akan terpelihara. Untuk itu sokongan dan penglibatan inklusif daripada semua pihak dalam mewujudkan persekitaran seimbang ke arah kesejahteraan wanita adalah amat signifikan kerana apabila wanita bahagia, masyarakat turut akan bahagia.

Wanita Tercerah, Pemerkasaan Kesedaran Politik dan Kenegaraan.

Fakta yang masih ramai belum ketahui adalah SPR menyenaraikan seramai 14.9 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRU ke 14. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50.58 peratus atau 7.5 juta orang terdiri daripada pengundi wanita berbanding 49.42 peratus adalah pengundi lelaki. Walaupun secara statistiknya di Malaysia lelaki lebih ramai berbanding wanita, tetapi pengundi wanita adalah jauh lebih ramai berbanding lelaki. Namun demikian, kedudukan Malaysia di dalam Global Gender Gap bagi laporan World Economic Forum 2017 menunjukkan kita berada di tangga ke 104 daripada 144 negara - skor paling rendah iaitu 0.670 berkenaan sub-indeks pemerkasaan politik.

Adapun peningkatan jumlah calon wanita yang bertanding pada PRU lalu merupakan satu perubahan yang diraikan, tetapi jumlah menteri wanita di dalam barisan kabinet masih lagi tidak menampilkan apresiasi kepimpinan wanita dalam kelompok tertinggi pembuat dasar. Kejayaan politik bukanlah satu-satunya cerminan kepada struktur sosial di dalam negara namun tanpa kemahuan politik dan kelestarian kesetaraan gender ini, lebih banyak jurang yang akan wujud di ruang yang lain. Malaysia harus berusaha menghapus ruang kesenjangan gender seperti negara Filipana di rantau ASEAN mahupun negara-negara Nordik seperti Sweden, Denmark mahupun Norway seterusnya mengarusjalinkan partisipasi ekonomi serta peningkatan kesaksamaan hasil pendapatan. Kita sudahpun melangkau fasa di mana pengenalan 30% kuota wanita sebagai ahli lembaga di syarikat dan kepimpinan tertinggi. Tahun 2019 ini seharusnya diwarnai dengan memaksimakan kepimpinan wanita sedia ada untuk terus berfikir setara, mengukuhkan kebijaksanaan membina seterusnya melaksanakan inovasi demi perubahan.

Wanita Prihatin, Mencakna Nilai Kemanusiaan

Abad ke 21 menyaksikan pelbagai konflik terus melalui sisi-sisi derita di pelbagai pelusuk negara. Satu demi satu tragedi timbul dengan keyakinan bahawa dunia bersetuju yang menjadi mangsa utama dalam konflik pelbagai adalah dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. Konflik di Syria, Palestine, China, Myanmar, Yaman dan lain-lain mencatat rekod impak dan kesan yang bukan sedikit terhadap wanita. Sehingga 2017, UNHCR mencatatkan 68.5 juta manusia menghadapi cabaran dipaksa keluar dari negara sendiri dengan populasi pelarian wanita mencecah 50%. Biar apa pun sebab migrasi, wanita-wanita inilah yang wajar diberi perlindungan dan jaminan keselamatan dan kebajikan.

Wanita kekal menjadi mangsa penindasan, kekejaman, tahanan, dan menjadi trauma yang bukan sedikit. Dengan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa berpanjangan, menunjukkan petanda Akta Kemanusiaan Antarabangsa yang mengutamakan perlindungan dan keselamatan wanita dan kanak-kanak tidak dipatuhi dan diperkosa rakus oleh penjenayah kemanusiaan antarabangsa. Biarpun begitu, isu yang berlaku menjadi petanda kepada satu kebangkitan wanita dalam bidang kemanusiaan. Keprihatinan dan kecaknaan dalam isu-isu yang menghambat wanita dilingkari konflik kemanusiaan berpanjangan membangkitkan sukarelawan wanita yang berkemahiran dalam pengendalian lapangan dan misi kemanusiaan. Hanya sahaja wanita yang bermigrasi dari tempat asalnya perlu diberikan peluang memberdaya diri seadilnya dalam konteks keilmuan dan kemahiran mendepani kehidupan dan cabarannya dan hak ini harus dijamin selayaknya oleh pihak berkuasa dan badan-badan kemanusiaan peringkat negara ini dan antarabangsa.

Untuk itu, wanita harus hadir dalam segala ruang masyarakat sebagai agen perubah dan agen pendidik yang paling berkesan. Wanita bukan hanya meneruskan legasi sebagai pemelihara, penjaga kebajikan keluarga dan memastikan setiap ahli keluarga terdidik dan terasuh mindanya, terbina karakter dan terukir peribadi mulianya malah wanita harus terus bersuara, menulis, menyalurkan idea dan pandangan, membuat dasar dan polisi negara malah membantu menyelamatkan dunia kerana akhirnya kitalah yang menetapkan naratif kita sendiri dalam memandaikan bangsa dan membina peradaban. Hanya dengan keseimbangan peranan inilah kita dapat menuai makna sebenar #BalanceForBetter. Selamat Hari Wanita Antarabangsa!

Last modified on Friday, 08 March 2019 09:29
Read 184 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

P.E.R.U.B.A.H.A.N
ramailah yang membincangkan tentang P.E.R.U.B.A.H.A.N. Saya belajar dari Dr Zainab Alwani, untuk ...
Menangani Gelombang
Oleh:- Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) “We cannot get away ...
Feminisme Talbiah :
Disediakan oleh Raja Nurul Balqis Raja Mohd Ariff Wanita Dalam Karya. Pernah dengar teori ...
Bahasa Jiwa Bangsa! Para
3 hb April 2019: Allhamdulillah, Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz telah ...
Kisah Subra & ABIM
Tersenyum kami sejak Subra datang ke ABIM. Saja nak kongsikan kisah Subra dan macam mana Subra ...
Tamrin Qiyadiy
Syukur alhamdulillah, telah berlangsung Tamrin Qiyadi (Latihan Kepimpinan) Kebangsaan ABIM (TQK) ...
Bunga Raya-Fern Leaf
Ummu Noura Ummu Sofea It was not pre-arranged. It was a coincidence. My very intention ...
Hibiscus-Fern Leaf
At the solidarity event organized by Abim Pusat & FGIS - Friendship Group to express support to ...

ABIM Negeri

P.E.R.U.B.A.H.A.N
ramailah yang membincangkan tentang P.E.R.U.B.A.H.A.N. Saya belajar dari Dr Zainab Alwani, untuk ...
Menangani Gelombang
Oleh:- Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) “We cannot get away ...
Feminisme Talbiah :
Disediakan oleh Raja Nurul Balqis Raja Mohd Ariff Wanita Dalam Karya. Pernah dengar teori ...
Bahasa Jiwa Bangsa! Para
3 hb April 2019: Allhamdulillah, Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz telah ...
Kisah Subra & ABIM
Tersenyum kami sejak Subra datang ke ABIM. Saja nak kongsikan kisah Subra dan macam mana Subra ...
Tamrin Qiyadiy
Syukur alhamdulillah, telah berlangsung Tamrin Qiyadi (Latihan Kepimpinan) Kebangsaan ABIM (TQK) ...
Bunga Raya-Fern Leaf
Ummu Noura Ummu Sofea It was not pre-arranged. It was a coincidence. My very intention ...
Hibiscus-Fern Leaf
At the solidarity event organized by Abim Pusat & FGIS - Friendship Group to express support to ...