Agensi ABIM

Published in Agensi ABIM

Ibrah Dari Bumi Suria Featured

Feb 12, 2018 Hit: 171 Written by 
Ibrah Dari Bumi Suria

Oleh: Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, Naib Presiden ABIM & CEO Global Peace Mission (GPM) Malaysia

Imej kanak-kanak lelaki Syria bernama Omran Daqneesh berusia lima tahun duduk di dalam ambulans dalam keadaan terkejut sambil berlumuran darah dan debu selepas menjadi mangsa serangan udara telah menarik perhatian dunia. Sebelum ini, gambar sekujur tubuh si anak kecil bernama Aylan Kurdi, tiga tahun terdampar di pantai Turki turut mendapat simpati global.

Mereka berdua menjadi simbol dan perlambangan penderitaan jutaan orang awam di negara bergolak Syria. Imej dan gambaran apa lagi yang ingin kita lihat dan viralkan setelah enam tahun krisis yang kelihatannya tiada kesudahan. Diberitakan, permulaan revolusi ini terjadi apabila 10 orang kanak-kanak yang sedar dan cakna akan permasalahan semasa yang berlaku dalam Negara melakukan ‘vandalisme’ dengan menconteng mesej “Rakyat Mahukan Sistem Dijatuhkan” di dinding-dinding sekolah mereka.

Adakah kanak-kanak Syria ini secara berterusan akan menjadi mangsa kerana perbuatan teman-teman mereka ketika permulaan kebangkitan rakyat ini? Memandangkan fenomena Arab Spring dan kerajaan dilihat takut dan berwaspada sekiranya idea kritikan terbuka seperti ini berterusan dan seterusnya menjadi trend kepada rakyat untuk menyuarakan bantahan, maka rejim Bashar al-Assad terus memenjara dan menghukum anak-anak muda ini malahan jari kuku dan tangan mereka turut dicabut!

Peristiwa ini menyebabkan amarah kaum keluarga sebelum memuncak sehingga berlakunya pertempuran antara rakyat dan penguasa yang dilaporkan bermula di wilayah Dar’a dalam daerah Hauran, Syria dan akhirnya merebak hampir ke setiap kawasan dalam Negara yang pernah suatu ketika aman, damai dan harmoni.

Sehingga kini, menurut Laporan Akhir Tahun 2015 berkenaan konflik Syria yang dikeluarkan oleh United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) berkenaan konflik Syria menyebutkan 13.5 juta orang awam memerlukan bantuan, hampir 6.5 juta rakyat Syria hilang tempat tinggal manakala lebih dari 4.2 juta orang telah menjadi pelarian akibat konflik di Negara tersebut.

Lebih menyedihkan hati terdapat lebih 5.7 juta kanak-kanak dan remaja Syria telah terkesan dan tidak mendapat peluang pendidikan sewajarnya akibat krisis dahsyat yang telah berlanjutan sejak 2011 ini. Sesungguhnya, sudah tidak terkira jumlah keluarga yang terpisah mengakibatkan ramai anak-anak kecil menjadi yatim piatu.

Statistik ini belum lagi mengambilkira soal ekonomi dengan penurunan nilai matawang, kadar inflasi yang menekan, kemusnahan total infrastrukur awam dan logistik termasuk rumah ibadat seperti masjid, gereja dan rumah kediaman rakyat Syria.  Lebih merugikan, jika kita mengambilkira khazanah dan tinggalan sejarah silam dan para anbiya yang amat berharga yang terdapat di bumi Syam yang disebutkan dalam Al-Quran.

Secara tidak langsung, majoriti rakyat Syria kini menjadi mangsa pelarian di seluruh dunia termasuk di Malaysia dan ada yang kebuluran di Negara mereka sendiri akibat implikasi peperangan yang masih belum kelihatan jalan penyelesaiannya.Tidakkah kepimpinan Bashar al-Assad yang secara jelas melanggar etika dan moral kepimpinan merasai penderitaan dan keperitan rakyatnya sendiri?

Rentetan itu, penulis sendiri berkesempatan menyertai Misi Kemanusiaan ke Syria sempena Eidul Adha 2.0 pada tahun 2014 lalu. Misi ini membawa bantuan rakyat Malaysia yang digerakkan oleh Malaysian Life Line For Syria (MLL4S) dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang konsisten dan berterusan setiap tahun sejak krisis kemanusiaan ini berlaku tanpa mengambil kira waktu dan persitiwa perayaan utama seperti Ramadhan, Aidilfitri, Aidiladha, Misi Musim Sejuk dan bantuan segera bergantung kepada situasi terkini di Syria.

Sejak dari penubuhan MLL4S, sebanyak RM6 juta wang bantuan telah disampaikan kepada rakyat yang memerlukan di Syria. Sumbangan ini diperolehi melalui sumbangan dan derma rakyat Malaysia yang prihatin dan cakna kepada isu ini. MLL4S turut terlibat dalam menyediakan kemudahan kesihatan-bantuan ubat-ubatan dan turut membina lebih tiga buah hospital di utara Syria.

Badan kemanusiaan ini turut memberi penumpuan kepada soal pendidikan dan masa depan anak muda Syria termasuk membina lebih 11 buah sekolah, menyediakan kemudahan peralatan pembelajaran dan pengajaran, pemberian gaji kepada para guru dan bantuan kewangan untuk anak-anak Syria. MLL4S dan GPM juga terlibat dalam usaha memberdaya umat dalam projek ekonomi seperti mikro-kredit, pembinaan kilang roti dan bakeri, dan projek ternakan ayam kepada rakyat Syria.

Pengalaman hampir seminggu di Aleppo, Idlib dan beberapa tempat di Syria membuka mata penulis akan realiti dan suasana berada dalam zon peperangan. Perjalanan panjang bermula dari Istanbul, Turki dengan menaiki van sebelum masuk ke Syria melalui pintu sempadan Gazientep-Kilis amat mencabar dan tidak akan dilupakan.

Hal ini termasuk pengalaman berlari dalam keadaan tunduk dan ada kalanya perlu berjalan dalam keadaan duduk untuk mengelakkan bidikan sniper rejim yang telah mengorbankan ramai mangsa yang tidak berwaspada. Melihat kesan tembakan di dinding dan kesan kemusnahan akibat jatuhan bom di depan mata ianya amat menginsafkan. Sesungguhnya rakyat Syria telah melalui kiamat dunia!

Sebelum menjejakkan kaki di bumi Syam ini, penulis hanya mendapatkan info dan berita berkenaan Syria di akhbar dan portal termasuk mendengar perkongsian dari rakan-rakan yang pernah terlibat dalam misi bantuan sebelum ini. Bunyi tembakan dan jatuhan barrel bom kerap kedengaran dan terasa begitu dekat tatkala melihat kepulan asap akibat ledakan bom berkenaan.

Jatuhan tong barrel daripada helikopter rejim boleh meranapkan sama sekali struktur bangunan setinggi tiga sehingga empat tingkat. Serangan rejim terhadap rakyat tidak berdosa apatah lagi kepada kanak-kanak yang baru ingin mengenali dunia tidak mengira masa dan ketika.

Pada masa tersebut, kami hanya berserah kepada Allah SWT dan redha jika bom barrel yang dijatuhkan mengenai kami atau ada serangan dari tentera rejim yang memungkinkan seribu satu musibah terhadap kumpulan kami. Lebih tragis, saban hari, manusia di Syria dibunuh dan diseksa dengan kejam!

Lebih tragis, tanah-tanah perkuburan juga turut menjadi sasaran tentera rejim sehingga mayat bergelimpangan terkeluar dari liang lahad. Namun demikian, disebalik kemusnahan dan peperangan yang berlaku, penulis begitu kagum, bangga dalam nada terharu dengan semangat anak muda Syria yang tidak melarikan diri keluar dari Negara mereka.

Anak muda ini tidak berganjak untuk meninggalkan bumi tempat tumpah darah mereka walaupun kematian dan kesengsaraan itu kelihatan amat pasti. Ada juga dalam kalangan mereka sebenarnya berkemampuan untuk berhijrah ke negara-negara lain dan boleh sahaja pulang setelah Negara kembali stabil dan aman.

Kelihatannya mereka cukup tenang menghadapi hari-hari mendatang dengan bertawakal, melazimi dengan alunan zikir dan bacaan al-Quran yang menjadi teman seharian mereka. Anak-anak muda ini amat cekal mengambil alih peranan orang tua mereka. Rata-rata dari mereka adalah berusia 17 hingga 25 tahun.

Kebanyakkan mereka masih belum berkahwin dan terdapat juga beberapa individu yang sudah bekeluarga dan ada yang sedang menantikan kelahiran cahaya mata. Jika dibandingkan di Malaysia, anak muda pada usia ini sudah pasti masih menuntut di univerisiti, bekerja sendiri atau terpenjara di pusat sehenti.

Menariknya, mereka menggerakkan operasi harian sekolah, menjadi pentadbir dan tenaga pengajar. Mereka turut menjadi sukarelawan membantu para doktor merawat mangsa serangan dan ada yang menyelia projek ekonomi dan menyalurkan bantuan mengagihkan air bersih menggunakan lori tangki dan makanan kepada rakyat Syria yang memerlukan.

Lebih mengejutkan, ada dalam kalangan anak muda Syria ini bersedia untuk syahid dengan menjadi perisai di front-line dalam menangkis kemaraan dan serangan pihak rejim yang menggunakan kelengkapan tentera yang jauh lebih baik dari mereka demi untuk mempertahankan diri dan keluarga.

Penulis berkesempatan berkenalan dengan Abu Nasr di Aleppo. Beliau mengetuai satu pasukan yang menjaga kawasan check-point di pinggir bandar Aleppo. Beliau menceritakan bahawa sebelum revolusi rakyat berlaku, beliau merupakan seorang guru yang mengajar Al-Quran. Ternyata beliau merupakan seorang hafiz dan begitu bergembira berkongsi kisah bahawa beliau kini menantikan kelahiran anak pertama tidak lama lagi. Isteri beliau dihantar ke luar Syria untuk mengelakkan menjadi mangsa konflik.

Beliau juga berkongsi harapan bahawa masa depan yang lebih baik untuk Syria akan memungkinkan pembebasan Palestin dari rejim Israel. Namun, Allah swt lebih menyayangi beliau. Seminggu seusai misi berakhir dan kami pulang ke Malaysia, kami mendapat berita sedih bahawa check-point beliau telah diserang hendap oleh tentera rejim.

Melihat gambar wajah arwah yang tersenyum menggambarkan bahawa Allah SWT telah mengangkat darjat beliau dengan kurniaan syahid dan pahala kesabaran yang tinggi walaupun tidak dapat bersua dengan putera piatu yang lahir selepas beberapa minggu kematian ayahnya. Dalam krisis kemanusiaan ini, ternyata tekanan dunia melalui kenyataan rasmi tidak mencukupi.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih dilihat gagal mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan konflik melainkan hanya bertindak berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan PBB yang diketuai oleh diplomat Brazil, Paulo Pinheiro yang telah dibentangkan dalam Majlis Hak Asasi Manusia.

Realitinya,enam tahun telah berlalu, lebih 250,000 orang telah menjadi mangsa kezaliman dan terbunuh akibat konflik berdarah ini. Tidak mustahil, atas rasa simpati, kekecewaan terhadap badan antarabangsa dan keprihatinan yang tinggi, kelihatan kedatangan ramai orang luar dari pelbagai negara termasuk dari Malaysia dengan pelbagai cara samada melalui platform umrah, visa pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara, percutian di negara jiran dan sebagainya.

Mereka ini menganggap bahawa diri mereka sebahagian dari para pejuang untuk berjihad menjatuhkan rejim yang zalim ini. Namun, sebahagian besar dari mereka tertipu, disalahguna oleh kelompok tertentu yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh khususnya melibatkan kumpulan DAESH atau Islamic State (IS) yang membawa agenda yang merosakkan imej Islam secara keseluruhannya.

Justeru, dunia perlu menyedari bahawa konflik di Syria ini adalah merupakan perihal penindasan, penjajahan kemanusiaan abad baru dan bukan semata-mata pertembungan antara mazhab agama dan perang saudara semata-mata. Penulis juga berkesempatan bertemu dengan kelompok masyarakat Krisitian Ortodoks dan penganut agama lain yang turut menjadi mangsa krisis kemanusiaan ini di Syria.

Dalam perbincangan kami, kata sepakat turut tercapai apabila masing-masing menawarkan bantuan dan kerjasama dalam soal pendidikan, kesihatan, kebajikan dan keselamatan. Tidak dinafikan, terdapat juga suara-suara yang mengatakan bahawa apa yang berlaku di Syria adalah isu domestik negara yang perlu diselesaikan secara dalaman.

Namun demikian, kita harus bijak menilai antara melihat hak-hak manusia yang tertindas dengan mencampuri urusan dalaman sesebuah Negara yang mana pemimpin yang zalim menggunakan justifikasi untuk menghalalkan pembunuhan atas sebab mahu mengembalikan keamanan dan memerangi pemberontak yang melawan ‘ulil amri’. Persoalan penting yang wajar diperhalusi oleh semua pihak. Setelah lebih lima tahun berlalu, masihkah ada harapan untuk Syria?

Barangkali ya dan boleh jadi tidak! Apakah kesudahan episod sedih di Syria ini? Adakah kita hanya hanya perlu berpeluk tubuh dan berdiam diri? Adakah dunia akan menyambut ulangtahun keenam pada 2017 tanda revolusi rakyat masih belum berakhir? Adakah pemimpin yang sama masih memegang tampuk kekuasaan ini?

Ayuh, semua pihak harus memainkan peranan dalam posisi dan pengaruh yang ada. Malaysia sebagai sebuah Negara yang memegang kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Negara anggota aktif dalam Organisation of Islamic Cooperation (OIC) mahupun Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) wajar menyatakan pendirian yang tegas dalam hal ini tanpa takut dengan tekanan dan implikasi diplomasi.

Paling tidak, sesuatu perlu dilakukan melalui Parlimen Malaysia untuk kerajaan mengusulkan satu usul khas untuk dibahaskan bagi menyatakan solidariti Malaysia dalam isu kemanusiaan ini. Pada masa yang sama, gerakan sivil (sivil society) harus berperanserta mencerahkan lagi rakyat berkenaan isu ini oleh kerana krisis di Syria bukan melibatkan sentiment Islam sahaja.

Mahu tidak mahu jaringan masyarakat madani ini harus bersolidariti dan diluaskan proses advokasi dan tekanan ke peringkat Asean, Asia Pasifik, OIC termasuk ke peringkat dunia. Langkah ini secara tidak langsung dapat melengkapkan kempen kesedaran melalui dunia maya cyber campaign ketika ini dengan tagline #StandWithSyria #NoLossGeneration #SaveTheChildrenOfSyria #5YearsOfRevolution dan sebagainya.

Sudah pasti kita mahukan dunia yang lebih aman. Konflik, krisis dan peperangan bukan lagi perkara yang asing ketika ini. Apakah ibrah yang boleh kita perolehi dari Bumi Syria ini? Persoalannya adakah kita cakna dan ambil tahu? Apakah yang telah diusahakan oleh kita sebagai individu?

Kita boleh sahaja memanfaatkan teknologi di hujung jari untuk menyalurkan bantuan kepada NGO Kemanusiaan seperti MLL4S, GPM dan banyak lagi NGO kemanusiaan yang membantu meringankan beban umat ini. Kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi? Penulis amat terkesan dengan pesanan yang disampaikan oleh sahabat di Syria.

Beliau berkata, “Hampir lima tahun konflik ini berlaku kepada diriku, keluargaku dan negaraku. Sampai ke hari ini aku masih belum percaya kiamat dunia ini akan terjadi kepada Syria. Hal ini tidak mustahil akan berlaku juga kepada Negara kamu! Kerana kamu juga tidak mungkin pernah terbayang bahawa perkara ini akan turut berlaku di Malaysia sekarang!’’

Nah, pernyataan ini membuatkan penulis tersentak. Adakah jika terjadi peristiwa seperti ini kepada negara kita barulah kita tersedar dan mahu hak kita didengari dan disuarakan oleh orang lain pula? Fikir-fikirkanlah.

**Rencana ini mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Penulis Muda Kemanusiaan 2016 yang bertemakan "The Power of Hunanity" anjuran ICRC, NPC dan PBSM.

Read 171 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

Nilai & Prinsip
15hb April 2018: “Mereka yang mencapai kepada kejayaan yang utama (primary greatness) adalah mereka ...
ABIM Akan Lancarkan
11 April - Pimpinan ABIM Sabah dan Pengurusan Home Tuaran bersama-sama mengadakan kunjungan hormat ...
ABIM Dilantik Sebagai
4 hb April 2018 (Rabu): Alhamdulillah, Setiausaha Kewangan ABIM, Sdr. Syahrir Azfar Saleh telah ...
Pembubaran Parlimen
  Susulan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 7 April 2018 yang diumumkan Perdana Menteri setelah ...
Institusi Pendidikan
Alhamdulillah, telah berlangsung Ihtifal Majlis Ihtifal (Akademik) Kebangsaan Sekolah Rendah dan ...
Politik Perubahan Adalah
19hb Mac 2018 (Isnin): Alhamdulillah, dengan topik menarik, “Wanita dan Politik Perubahan”, wakil ...
Sumbangan ABIM dan FGIS
11hb Februari 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM dan FGIS menerima Anugerah Khas daripada Jabatan ...
Wisma Darul Hikmah ABIM
28hb Januari 2018 (Ahad): Alhamdulillah, Ketua Biro Kesihatan ABIM, Dr. Zhafri Ismadi telah ...

ABIM Negeri

Nilai & Prinsip
15hb April 2018: “Mereka yang mencapai kepada kejayaan yang utama (primary greatness) adalah mereka ...
ABIM Akan Lancarkan
11 April - Pimpinan ABIM Sabah dan Pengurusan Home Tuaran bersama-sama mengadakan kunjungan hormat ...
ABIM Dilantik Sebagai
4 hb April 2018 (Rabu): Alhamdulillah, Setiausaha Kewangan ABIM, Sdr. Syahrir Azfar Saleh telah ...
Pembubaran Parlimen
  Susulan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 7 April 2018 yang diumumkan Perdana Menteri setelah ...
Institusi Pendidikan
Alhamdulillah, telah berlangsung Ihtifal Majlis Ihtifal (Akademik) Kebangsaan Sekolah Rendah dan ...
Politik Perubahan Adalah
19hb Mac 2018 (Isnin): Alhamdulillah, dengan topik menarik, “Wanita dan Politik Perubahan”, wakil ...
Sumbangan ABIM dan FGIS
11hb Februari 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM dan FGIS menerima Anugerah Khas daripada Jabatan ...
Wisma Darul Hikmah ABIM
28hb Januari 2018 (Ahad): Alhamdulillah, Ketua Biro Kesihatan ABIM, Dr. Zhafri Ismadi telah ...