
KENYATAAN MEDIA 13 Februari 2008, GLOBAL PEACE MISSION (GPM) MALAYSIA, merupakan salah satu daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), Malaysia yang memberi bantuan kepada mangsa bencana dan konflik diseluruh dunia sama ada ketika bencana atau pasca bencana. Pada tahun 2007 Indonesia telah beberapa kali dilanda gempabumi khususnya di Sumatera Barat yang mengakibatkan kemusnahan yang dasyat. GPM telah tampil ke hadapan untuk memberi pelbagai bantuan kepada mangsa bencana tersebut seperti makanan, keperluan asas, bantuan sara hidup dan khidmat perubatan.
Sebagai meneruskan usaha keprihatinan rakyat Malaysia, GPM telah bercadang untuk membawa salah seorang mangsa bencana Indonesia yang memerlukan rawatan dan pembedahan akibat penyakit kulit yang serius. Alhamdullilah usaha untuk membawa pesakit tersebut mendapatkan rawatan ehsan dapat direalisasikan pada hari ini.
Pesakit tersebut, adik Rafki Effendi Bin Yusra, berumur 13 yang berasal dari Kg. Lubuk Basung Maninjau Sumatera Barat telah lama menderita dengan penyakit ini. Akibat daripada kesusahan hidup keluarga beliau tidak mampu untuk mengubati penyakit beliau. Penyakit yang beliau hadapi ini menyebabkan kesukaran untuk melakukan pelbagai aktiviti. GPM telah mendapatkan penajaan rawatan dan pembedahan untuk beliau dari Kajang Plaza Medical Center. Menyentuh perkembangan terkini GPM, kita sedang meneruskan pelbagai bantuan pasca bencana di beberapa negara seperti pembinaan warung air di lereng Gunung Merapi Jawa Tengah, Program Pemulihan Sara Hidup di Aceh dan Sumatera Barat, program bantuan pendidikan di Aceh, Sumatera Barat, Kemboja dan Afghanistan.
GPM juga telah menghantar bantuan makanan dan pasukan peninjau ke Gaza, Palestin bagi mendapatkan maklumat serta bantuan yang diperlukan oleh rakyat Palestin di sana. GPM telah mengenalpasti keperluan utama yang diperlukan seperti ubat-ubatan, keperluan pembedahan dan sebagainya. Kami merayu kepada rakyat Malaysia yang prihatin agar tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan membantu mengurangkan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin. Segala bantuan akan serahkan terus kepada mereka khususnya untuk pembelian keperluan perubatan di Hospital El-Nassr Gaza.
Sebarang bentuk sumbangan dan bantuan bolehlah di salurkan kepada GPM melalui akaun-akaun tersebut;
1. Tabung Keamanan Sejagat - Bank Islam Malaysia Berhad No Akaun: 14-0230-01-002922-4
2. Global Peace Mission – Maybank Berhad No Akaun: 564-221-611-602
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Sekretariat GPM di talian: 03-6188 8409, alamat emel: gpmhq@yahoo.comatau layari laman sesawang: www.gpm.com.my
Sekian, terima kasih di atas bantuan yang diberikan kepada mereka yang sangat memerlukan. ”
Misi Kemanusiaan Merentas Sempadan”
TN. HJ. MUHAMMAD NUR ANWAR HASHIM
Presiden GPM
|