|
KENYATAAN MEDIA BERSAMA NGO-NGO ISLAM PADA 20 FEBRUARI 2008 BERSAMAAN 13 SAFAR 1429H DI Bilik Perhentian, Aras 3, PWTC, KL Sila klik : Menginsafi bahawa kepimpinan politik sangat berperanan dalam mempengaruhi nasib agama, bangsa dan negara, serta mengambil sempena Pilihanraya Umum ke-12 yang akan berlangsung tidak lama lagi, kami, pertubuhan-pertubuhan Islam utama di negara ini ingin mengemukakan suatu dokumen yang mewakili tuntutan, aspirasi dan harapan kami kepada semua pihak yang mengambil bahagian PRU tersebut.
Tujuan-tujuan utama pihak kami melancarkan dokumen ini adalah : 1. Menarik perhatian semua pihak terhadap isu-isu dan persoalan yang timbul berkaitan Islam dan Umat Islam di Malaysia. Perlu diingatkan bahawa terdapat masih banyak persoalan Umat Islam yang belum selesai di negara ini. Sebagai kelompok majoriti dan teras masyarakat di negara ini, sewajarnyalah aspirasi dan harapan Umat Islam yang munasabah diambil berat dan diberi keutamaan oleh semua pihak. Ini tidak pula bererti kita ingin menafikan aspirasi dan harapan kelompok lain yang wajar dan berpatutan. 2. Mengajak semua parti dan calon agar menerima baik,memberi perhatian serius dan berusaha memenuhi tuntutan yang terdapat dalam dokumen tersebut yang sebahagiannya merupakan isu-isu yang telah ditimbulkan sebelum ini. 3. Memposisikan komitmen terhadap isu-isu dan persoalan yg ditimbulkan sebagai diantara faktor yang mempengaruhi pengundi-pengundi individu dalam membuat pilihan. Walau bagaimanapun, sebagai pertubuhan-pertubuhan bukan parti politik, kami menegaskan bahawa dokumen ini bukan menandakan sokongan kami kepada mana-mana parti serta bukan bertujuan memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik yang akan bertanding. Semua parti dan calon yang bertanding berpeluang dan bebas mengambil sikap sewajarnya terhadap dokumen ini. |