|
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) menyambut baik keputusan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil ke-18 yang dilaporkan sebulat suara berpendapat tidak perlu bagi seseorang yang ingin memeluk Islam memaklumkan hasratnya itu kepada keluarga terlebih dahulu. Pandangan tersebut adalah berintegriti kerana ianya dikemukakan oleh Mufti-Mufti, Ketua Hakim Syarie, Majlis / Jabatan Agama Islam Negeri, tokoh-tokoh agama dan ilmuan yang pakar dalam isu berkenaan. Berdasarkan pengalaman ABIM bersama-sama dengan NGO-NGO lain yang mengendalikan urusan dan bantuan kepada saudara baru, secara realiti dan praktikalnya melihat peraturan seumpama itu boleh menimbulkan banyak masalah khususnya kepada saudara baru yang sememangnya baru berkenalan dengan Islam.
ABIM sebagai contohnya dalam mengendalikan program-program bersama saudara baru melalui Islamic Outreach ABIM menekankan konsep keharmonian dalam hubungan keluarga termasuk kepada ahli keluarga yang masih tidak beragama Islam. Ada diantara saudara baru tersebut memerlukan masa untuk memaklumkan kepada keluarga atas pelbagai faktor termasuk faktor psikologi, keselamatan dan keharmonian keluarga itu sendiri. Kita menekankan agar saudara baru mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan memaklumkan kepada ahli keluarga jika telah benar-benar bersedia berbuat demikian bagi mengelakkan berlakunya masalah di kemudian hari. Namun demikian, beberapa langkah penambahbaikan perlu dibuat khususnya melibatkan prosedur pendaftaran dan kaedah mengendali dan membantu saudara baru. Penambahbaikan ini akan lebih berkesan sekiranya pandangan-pandangan dan pengalaman NGO-NGO Islam yang terlibat secara langsung membantu saudara baru.
“ Demi Kebenaran & Keadilan”
KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR SETIAUSAHA AGUNG ABIM 29 APRIL 2008 l 22 RABIUL AKHIR 1429H.
|