|
||||
| Kenyataan Media Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) Berhubung Langkah Kerajaan Malaysia Mengusir PTI Secara Besar-besaran Bermula Ogos. |
|
Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) yang dianggotai 15 badan gabungan menggesa Kerajaan Malaysia memikirkan akibat langsung keputusan mengusir PTI di Sabah secara besar-besaran bermula Ogos depan. CONCERN menyarankan agar Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan bijaksana dan berhati-hati dalam menangani isu PTI dengan mengambil kira 3 faktor, iaitu implikasi keselamatan, ekonomi, dan kemanusiaan. CONCERN melahirkan kebimbangan sekiranya isu PTI ini tidak ditangani secara bijaksana dan berhati-hati, ianya bukan sahaja gagal menangani isu sebenar, malah mengundang masalah yang lebih besar. CONCERN menggesa Kerajaan terlebih dahulu mendefinisikan dengan jelas dan benar siapakah yang dimaksudkan dengan PTI dalam operasi tersebut agar tidak menzalimi orang lain yang tidak berkaitan tetapi dianggap sebagai PTI. CONCERN pada prinsipnya bersetuju dengan pengawalan kemasukan PTI ke negeri Sabah, tetapi hanya bersetuju jika operasi itu tidak bertumpu kepada pendatang dari Indonesia dan Selatan Filipina semata-mata, tetapi meliputi juga, tidak kira dari mana datangnya, sama ada dari Utara Filipina dan negara-negara lain seperti China dan Taiwan. CONCERN mengingatkan agar Kerajaan tidak tunduk kepada tekanan parti politik tertentu lalu terperangkap dengan agenda bermotif jahat segelintir pemimpin yang bersikap parokialisme yang sengaja melupakan perspektif sejarah, semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka.Pengusiran secara besar-besaran PTI dibimbangi akan menjejaskan imej Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN akibat tidak mampu memikirkan langkah terbaik dalam menangani isu PTI. Langkah pengusiran tersebut berkemungkinan besar mencetuskan suasana tegang antara negara terbabit jika tidak didahului dengan rundingan diplomatik, manakala mereka yang diusir akan terdedah kepada risiko pembunuhan, kemelaratan, kemiskinan dan akhirnya akan mendorong sikap permusuhan dan dendam kesumat dalam bentuk baru pada skala mikro, yang jika berlaku, akan menjadi isu keselamatan negara. Kerajaan Malaysia wajar mengambil pendekatan bijaksana dengan melihat isu ini secara makro dan holistik. Kerajaan harus memikirkan langkah-langkah terbaik dengan memanfaatkan kehadiran mereka untuk kebaikan dan pembangunan ekonomi negara. Pengalaman mengusir PTI secara besar-besaran beberapa tahun lalu jelas telah menjejaskan tenaga kerja terutama di sektor perladangan di Sabah. Dalam hal ini Kerajaan seharusnya mendapatkan pandangan pihak yang terbabit secara langsung dalam industri perladangan dan pembinaan sebelum mengambil tindakan lanjut. Mereka yang sudah menetap lebih 15 tahun, boleh berbahasa Melayu, berkelakuan baik dan memberi faedah kepada negara, wajar diberikan status Penduduk Tetap. |




