Mahkamah Syariah adalah Mahkamah Keluarga yang difahami secara lazimnya kerana ia membicarakan isu-isu kekeluargaan Islam seperti perkahwinan, perceraian dan hak-hak yang timbul selepas perceraian serta segala implikasinya. Salah satu ciri Mahkamah Keluarga yang sangat signifikan di Mahkamah Syariah adalah kewujudan nurseri untuk kanak-kanak di bangunan Mahkamah Syariah. Setiap bangunan yang tersergam indah akan memukau saujana mata memandang secara fizikalnya. Tetapi ciri fizikal premis akan menjadi lacuna tanpa agenda khusus untuk mengisi keperluan sosial masyarakat.
Pengalaman sebagai Peguam Syarie menyaksikan bahawa pelanggan Mahkamah Syariah secara majoritinya adalah wanita termasuk para Peguam Syarie, Pendakwa Syarie dan Hakim-hakim wanita. Pelanggan Mahkamah Syariah hadir untuk membuat pelbagai tuntutan dengan runtunan emosi yang membekam . Namun demikian, saat yang paling menghibakan adalah tatkala mereka perlu hadir dengan membawa anak-anak ke Mahkamah kerana ketiadaan pembantu atau orang yang boleh mengambil alih tugas menjaga anak-anak mereka sewaktu mereka berurusan di Mahkamah Syariah.
Beberapa kali juga, saya terpaksa menjadi “bibik terjun” bagi membolehkan ibu-ibu ini memasuki dewan perbicaraan untuk meneruskan tuntutan mereka sementara saya menjaga anak-anak ini sehingga selesai urusan kes mereka. Senario tersebut menyebabkan saya melihat kewujudan nurseri di Mahkamah Syariah sangat signifikan dan sewajarnya dimaksimumkan secara efektif peranannya sebagai salah satu sistem sokongan sosial bagi ibu-ibu yang perlu membawa anak-anak ke Mahkamah Syariah.
Setakat ini peranan nurseri di Mahkamah Syariah masih terhad sebagai tempat bagi para Hakim menilai kemesraan anak-anak dengan ibu-bapa masing-masing dan tempat yang paling selesa bagi anak-anak yang telah mumaiyiz untuk membuat pilihan hadhinah bagi tuntutan Hak Jagaan (hadhanah) dan hak lawatan. Walaupun peranannya amat terhad, ia menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah telah bersedia untuk menjadi Mahkamah Keluarga yang mesra kanak-kanak apabila para Hakim akan turun memantau dan berinteraksi dengan anak-anak ini dalam keadaan yang lebih santai dalam meraikan psikologi dan persekitaran yang paling selesa untuk mereka.
Sebagai contoh Mahkamah Syariah di Negeri Selangor telah menyediakan sebuah bilik nurseri yang luas , lengkap dengan alat permainan dan suasana yang selesa. Jauh sekali untuk menggambarkan bahawa Mahkamah Syariah ini adalah sebuah tempat yang menggerunkan! Usaha menjadikan Mahkamah Syariah sebagai Mahkamah keluarga yang mesra keluarga wajar ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Antara komitmen yang boleh dipertimbangkan untuk menjadikan Mahkamah Syariah ini sebagai Mahkmah yang mesra kanak-kanak, mesra wanita dan keluarga adalah dengan mewujudkan peranan Kaunselor Keluarga di Mahkamah Syariah. Peranan Kaunselor sangat penting di peringkat awal bagi mengenalpasti konflik masalah, tekanan dan kekangan yang dihadapi oleh para pelanggan Mahkamah Syariah.
Selanjutnya, keperluan pegawai-pegawai sosial yang bertindak sebagai kumpulan sokongan kepada pelanggan-pelanggan Mahkamah Syariah. Peranan pegawai social ini boleh dilaksanakan secara efektif dengan bantuan pihak badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang boleh menyediakan khidmat nasihat, sokongan serta perlindungan sementara kepada pelanggan-pelanggan yang menghadapi risiko penderaan keselamatan dan tekanan emosi atau mental sewaku hadir ke Mahkamah Syariah.
Kewujudan nurseri mesti hadir bersama manfaat dan keberkesanannya. Maka sewajarnya nurseri ini tidak terhad sebagai tempat anak-anak membua pilihan hadhanah tetapi dilengkapi dengan penjaga/pengasuh sementara anak-anak. Pelanggan wanita yang hadir ke Mahkamah Syariah mesti memberi tumpuan dan fokus terhadap tuntutan mereka di Mahkamah. Kehadiran anak-anak bersama mereka sedikit sebanyak mengganggu kosentrasi mereka di Mahkamah kerana mereka tidak dapat memberikan tumpuan dan adakalanya langsung tidak bersedia ke Mahkamah kerana bimbang memikirkan keselamatan dan aktiviti anak-anak yang ditingalkan di luar dewan atau sibuk mengendong anak kecil yang masih menyusu di dalam dewan perbicaraan kerana ketiadaan penjaga/pengasuh anak-anak tersebut.
Sebagai ibu yang menyusukan anak dan menyokong penyusuan ibu secara eksklusif, saya melihat sebuah bilik penyusuan yang selesa wajar disediakan di dalam nurseri tersebut sebagaimana kewujudan bilik penyusuan di semua premis Hospital Kerajaan di Malaysia. Syariat menganjurkan dan menggalakkan penyusuan susu ibu secara eksklusif, maka sewajarnya Mahkamah Syariah menjadi pelopor utama yang mengiktiraf hak dan menghormati hak penyusuan berlandaskan syariat ini.
Banyak lagi penambahbaikan lain yang boleh dilaksanakan secara “gradual” dalam memantapkan peranan nurseri di Mahkamah syariah termasuk mewujudkan sebuah perpustakaan mini, ruang aktiviti dan projek-projek CSR untuk menceriakan nurseri dan melengkapkan prasara nurseri tersebut. Peranan Mahakamah Syariah sebagai Mahkamah Keluarga mesti dilihat dari aspek dan perspektif yang lebih besar dan efektif. Bukan setakat mendengar dan memutuskan isu-isu kekeluargaan sahaja. Bukan juga sebagai tempat pertembungan konflik dramatik yang memutuskan ikatan kekeluargaan.
Peranannya mesti dilihat sebagai sebuah Mahkamah dalam kerangka syariat yang memberikan keadilan kepada yang berhak, meraikan sokongan moral, emosi dan keselamatan para pelangannya dan terus kekal sebagai Mahkamah yang mesra kanak-kanak, mesra wanita dan mesra keluarga.
Nukilan ini disediakan oleh: FADHLINA DATO' DR SIDDIQ (Naib Presiden Hal Ehwal Wanita ABIM)
