
Oleh: Dr Rumaizuddin Ghazali (Timbalan Presiden ABIM, 2005-2011)
Aliran ketiga ialah aliran wasatiyyah yang menggabungkan teks-teks yang qat'iy dan maksud-maksud yang global. Ia tidak berlebihan dalam memahami teks-teks secara literal dan tidak pula berlebihan dalam menolak teks atas alasan maslahah. Aliran ini mempercayai bahawa setiap hukum-hukum syariat itu ada hikmatnya dan hikmat itu adalah untuk manfaat manusia. (al-Qaradawi, 2006: 137)
Antara ciri-ciri aliran ini :
i. Percaya kepada hikmah syariat yang mempunyai kemaslahatan.
Aliran ini percaya kepada hikmah syariat yang mengandung kemaslahatan dan memberi manafaat kepada manusia. Aliran ini percaya bahawa syariat Islam mengandung rahmat,kemudahan dan keringanan bagi manusia.Dalam setiap hukum yang disyariatkan pasti ada kebaikan dan kemaslahatan di dunia dan di akhirat.
2.Menggabungkan Teks dan hukum Syariat
Aliran ini menyakini bahawa jika ingin memahami syariat Islam yang sebenar hendaklah melihat hukum-hukum syariat dengan komprehensif. Dia tidak boleh melihat teks-teks dan hukum-hukumnya secara terpisah. Ahli fiqah yang sebenar dapat memahami bahawa seluruh bab-bab dalam fiqah iaitu ibadat, muaamalat, nikah dan lain-lain saling berkaitan dan mempengaruhi antara satu sama lain.
3.Memandang secara adil terhadap urusan agama dan dunia.
Aliran ini melihat permasalahan dunia dan kehidupan dengan pandangan yang seimmbang dan adil. Ia tidak berlebih-lebihan dan tidak pula mengabaikan serta tidak melampaui atau menguranginya.
4.Menghubungkan teks dengan realiti kehidupan
Aliran ini tidak hidup di menara gading atau dalam bicara sehingga lupa terhadap masalah kehidupan. Namun, ia hidup dengan dan bersama manusia. Ia mendengar isihati, rintihan, merasakan kelaparan dan kesakitan manusia, baik individu, keluarga dan jemaah.Aliran ini menyatu dengan manusia sesuai dengan perkembangan dan keperluan manusia. Aliran ini berusaha untuk mendapatkan penyelesaian segala masalah agar manusia yakin bahawa syariat Islam sesuai untuk setiap zaman dan tempat.
5.Memudahkan manusia dan terbuka dan toleransi terhadap dunia.
Aliran ini mengambil sikap pendekatan mudah untuk manusia. Ini tidak bererti aliran ini menyeleweng dari teks untuk mencari yang paling mudah bagi manusia.Aliran ini meneliti teks dan memperdalam kefahaman agar menemukan kemudahan agama yang diinginkan oleh Allah. Jika ada dua perkara, satu perkara yang mudah dan satu lagi yang sulit, maka aliran ini akan memilih yang mudah. (al-Qaradawi, 2006: 147-152)
Landasan –landasan aliran ini ialah :
1. Aliran ini adalah berijtihad dan mencari maksud syariat serta tujuan teks sebelum mengeluarkan hukum yang disesuaikan dengan lafaz.
Hal ini tidak dapat dilakukan kecuali dengan penyelidikan yang mendalam dan penelitian terhadap teks-teks. Hal ini penting bagi seorang mujtahid ketika hendak berijtihad sehingga ijtihadnya terhadap sesuatu masalah itu adalah benar. Sebagai contoh hadis yang membicarakan tentang memanjangkan janggut yang mana illatnya ialah untuk membezakan orang Islam dengan orang majusi dan ahli kitab. Perintah memanjangkan janggut iaitu tidak menyamai bentuk dan gaya orang bukan Islam sehingga umat Islam memiliki bentuk dan keperibadian khusus. Hal ini sangat penting terutama di masa awal pembentukan umat.(al-Qaradawi, 2006:155)
2.Memahami Teks dalam kerangka sebab dan keadaannya.
Aliran ini memahami ajaran Islam dengan membaca teks dalam kerangka sebab-sebab penurunan ayat (asbab al-Nuzul) atau asbab al-Wuru jika ia adalah hadith serta mengetahui keadaan yang ada dalam sebab-sebab tersebut. Contohnya menyelaraskan nisab wang di dalam zakat yang mana terdapat hitungan rasullah mengenai zakat wang yang pertama mengunakan nilai perak dan kedua menggunakan nilai emas.
Pada waktu ini, para ulama menyelaraskan zakat wang dengan nilaian masa kini iaitu menggunakan nilai emas bagi menentukan nisab wang. Begitu juga pengharaman sesetengah golongan terhadap wanita yang pergi bermusafir tanpa mahram. ‘Illat pengharamannya ialah kekhuatiran jika wanita pergi sendiri tanpa mahram akan menyebabkan keselamatannya tidak terjamin. Jika keadaan telah berubah dan terjamin keselamatannya, maka ia dibolehkan.(al-Qaradawi, 2006:161-166)
3. Membezakan antara maksud-maksud syariat yang tetap dan wasilah-wasilah yang berubah.
Aliran ini melihat maksud syariat yang tetap dan wasilah yang berubah disebabkan perbezaan waktu, tempat, tradisi, ekonomi dan politik. Sebagai contoh perintah bersyura tetapi bentuk dan pelaksanaannya terpulang kepada umat untuk menentukannya. Begitu juga pelaksanaan amar maaruf dan nahi mungkar serta hisbah. Termasuk dalam hal ini ialah pemakaian jubah bagi wanita muslimah. Jubah itu merupakan wasilah untuk menutup aurat. Perintah al-Quran agar memakai jubah atau jilbab itu bukan bermaksud jilbab satu-satu pakaian yang disyariatkan.
Hal ini kerana bentuk pakaian termasuk dalam sesuatu yang berkaitan dengan tradisi sebuah negara dan lingkungan penduduknya. Perkara itu boleh berubah seiring perubahan waktu, tempat dan keperluan manusia. Syariat tidak melarang hal itu dengan syarat dia menjaga maksud asas dalam pemakaian oleh syarak iaitu menutup aurat dan tidak kehilangan indentiti seorang muslimah. Demikian juga hal dengan siwak sebagai wasilah untuk membersihkan gigi. Rasulullah menyifatkan siwak dengan sesuatu yang boleh mencapai maksud dan mudah diperolehi pada ketika itu. Di tempat yang lain, wasilah tersebut boleh berubah kerana tempat tersebut akan kesusahan untuk mendapatkan siwak. Oleh itu, mereka akan menggunakan wasilah yang lain untuk mencapai maksud kebersihan gigi. Termasuk dalam hal ini juga wasilah melihat anak bulan dalam menentukan dan menetapkan bulan baru.Perkara ini berdasarkan hadis sahih :
لا تصوموا حتى تروا الهلال, ولا تفطروا حتى تروه , فإن غم عليكم فاقدروا له.
“ janganlah kamu berpuasa hingga melihat dan jangan kamu berbuka hingga melihatnya . Jika mendung hitunglah.” )muttafaqun ‘alaih, Muslim, t.t. :122)
Dalam lafaz yang lain; “jika mendung sempurnakanlah bulan Syaaban tiga puluh.”(muttafaqun ‘alaih)
Dalam zaman tersebut melihat anak bulan dengan mata adalah wasilah yang boleh dilakukan untuk menetapkan anak bulan seperti dalam hadis tersebut. Jika diwajibkan pada zaman itu hisab falak perkara itu akan menyulitkan mereka. Pada zaman ini pelbagai wasilah yang lain yang boleh merealisasikan maksud hadis tersebut dan jauh dari kemungkinan salah iaitu dengan hisab falak. Mengambil hisab falak sebagai wasilah untuk menentukan bulan harus diterima sebagai qiyas yang lebih utama (al-qiyas al-ula).
Dengan erti bahawa sunnah mensyariatkan wasilah yang lebih rendah iaitu melihat, ia tidak menolak wasilah yang lebih sempurna dan boleh merealisasikan maksud serta menentukan waktu dengan lebih tepat iaitu kaedah hisab yang pasti. Al-qaradawi menguatkan lagi hujahnya dengan fatwa Taqiyuddin al-Subki (m.756) yang menyebutkan jika hisab dan perhitungan menafikan kemungkinan untuk melihat dengan mata, hakim harus menolak kesaksian orang tersebut. Perkara ini kerana hisab dan perhitungan adalah qat’iyy sedangkan saksi dan berita adalah zanni.Zanni tidak boleh melawan dan mengatasi yang qat’iy.. (al-Qaradawi, 2006:181)
Namun, sebahagian orang yang mengubah maksud kepada wasilah atau sebaliknya. Mereka beranggapan bahawa ibadat menyucikan diri dan ia boleh dicapai tanpa bersolat. Mereka beranggapan bahawa jiwa mereka boleh disucikan dengan pencapaian ilmu dan lain-lain kaedah. Ada dikalngan ilmuwan dan ahli falsafah yang berpendapat bahawa ibadat disyaritakan untuk mendidik jiwa masyarakat awam. Adapun para ilmuwan dan ahli falsafah tidak memerlukan kepada ibadat kerana jiwa mereka telah naik dengan ilmu, berfikir dan merenung.
Mereka berpendapat bahawa tujuan ajaran agama untuk meluruskan jiwa, mendidik hati dan memiliki akhlak mulia.Jika kita boleh mencapai tujuan tersebut dengan wasilah apa pun seperti penyucian diri dan pendidikan akhlak, maka kita tidak perlu lagi beribadat. Ini kerana hal tersebut merupakan wasilah bukuan tujuan. Inilah ajakan sesat sebahagian golongan ahli falsafah dahulu dan sekarang yang menyesatkan. (al-Qaradawi, 2006:190-191)
Ajakan tersebut adalah batil kerana ibadat merupakan kewajipan dan tujuan sekaligus dan ibadat merupakan tujuan Allah menciptakan manusia dan jin. Firman Allah :
“dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (al-Dhariyyat:56)
(Untuk artikel penuh sila klik sini)
Maksud utama dalam ibadat adalah memberi hak Allah dan ketaatan dalam melaksanakan perintah-perintahnya adalah pokok dan asas dari ibadat kepada-Nya. Jiwa yang baik, hati yang suci dan akhlak yang mulia adalah hasil yang pasti dari ibadat yang benar.(al-Qaradawi, 2006:192)
Al-Syatibi menjelaskan bahawa ibadat mempunyai maksud asli dan maksud sekunder. Maksud asli adalah semata-mata kerana Allah dengan tujuan tunduk, taat dan mencintai dan menuju Allah dalam setiap keadaan bagi mencapai keredaan Allah di dunia dan akhirat. Sementara maksud sekunder adalah mendapat akhlak yang mulia, dan mendapat keutamaan. Misalnya solat, asal kewajipannya adalah tunduk kepada Allah, menghadap-Nya dengan ikhlas, merasa rendah diri dihadapan-Nya serta mengingatkan diri dengan berzikir kepada-Nya, Firman Allah :
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Taha:14)
“bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (al-ankabut:45)
Perkara ini bermaksud bahawa perintah solat yang disertai dengan mengingati Allah adalah lebih agung dan lebih utama daripada mencegah dari perbuatan keji dan mungkar kerana mengingati Allah adalah maksud asli dan mencegah dari perbuatan keji dan mungkar adalah maksud sekunder. Oleh itu, setiap ajakan yang ingin melupakan maksud asli dalam ibadat dan mementingkan maksud sekunder adalah ajakan yang batil kera perkara itu adalah bertentangan dengan maksud awal dari ibadat dan penciptaan manusia itu sendiri. (al-Qaradawi, 2006: 194-195)
4. Menyesuaikan dengan yang telah tetap dan qat'iy dan yang akan berubah-ubah.
Aliran ini sentiasa menyesuaikan dengan ajaran syariat yang qat'iy dan tidak boleh berubah atau ruang yang tidak dibenarkan ijtihad. Yang tetap dalam dasar akidah seperti keimanan kepada Allah, rukun-ruku Islam, perkara yang diharamkan oleh al-Quran seperti mencuri dan berzina,. Bagi golongan sekular, mereka ingin jadikan yang tetap dan qat'iy ini sebagai satu yang boleh diubah sehingga mengubah syariat seperti membolehkan riba dan minum arak. Sementara golongan zahiri pula, mereka mencuba hal yang boleh berubah-ubah itu sebagai sesuatu yang qat'iy dan tetap.(al-qaradawi, 2006:197)
5.Melihat perbezaan makna dalam ibadat dan muamalat.
Aliran ini menggunakan kaedah yang digariskan oleh al-Syatibi bahawa dasar ibadat manusia adalah menyembah tanpa melihat kepada makna dan dasar dari muamalat adalah melihat makna. Dalam kaedah ini, dasar daripada ibadat adalah menyembah semata-mata beribadat kepada Allah meskipun tidak sejalan dengan logik akal seperti mandi wajib selepas melakukan jimak. Kenapa seluruh badan diwajibkan mandi dan dicuci bukan kemaluan sahaja. Sementara dasar dalam muamalat adalah melihat kepada makna, maksud, hikmah dan rahsia. Namun kaedah ini tidak bermakna bahawa ibadat tidak mempunyai hikmah. Malah setiap ibadat yang disyariatkan oleh Allah itu pastinya mempunyai hikmah dan maslahah untuk manusia. (al-Qaradawi, 2006: 199)
