|
Maslan Yusoh
KOTA BHARU, 12 Feb (Hrkh) – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Cawangan Kelantan turut memainkan peranan aktif bagi membantu penduduk miskin di negeri ini.
Bantuan tersebut disalurkan melalui Yayasan Al Maa’uun yang kini bergerak mengumpul dana untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan bantuan.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Haji Wan Azman Wan Ismail berkata, sejak diwujudkan yayasan tersebut didatangi banyak pihak untuk mendapat bantuan ihsan termasuk berkaitan pendidikan.
“Oleh kerana banyak pihak yang tampil memohon ihsan daripada Al Maa’uun, maka dana sedia ada perlu ditambah bagi memenuhi keperluan tersebut.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuk majlis makan malam bagi mengumpul derma orang ramai,” katanya pada program tersebut yang diadakan di sebuah restoran di sini, baru-baru ini.
Turut menyumbang bagi menjayakan program berkenaan Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) melalui pembelian meja bernilai RM1,000. Sebanyak 30 meja berjaya dijualkan pada program itu.
TKH diwakili Pengarah Urusan Harakah, Dato’ Kamaruddin Jaafar. Hadir sama, Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Mohamad Mustafa dan Yang Dipertua Abim Negeri, Ustaz Mustaffa Mat Daud.
Mohamad pada ceramahnya sempena program itu berkata, semua pihak perlu memainkan peranan bagi mendaulatkan agama Allah kerana ia menjadi tanggungjawab setiap Muslim.
Menurutnya, selagi bergelar Muslim tidak ada yang terkecuali daripada melaksanakan tanggungjawab tersebut kerana ia akan dipersoalkan di akhirat kelak.
|