Kem Budaya Hidup Sihat, Sedar HIV/AIDS (SEDAR) PDF Print E-mail

Pada 28 hingga 30 Disember 2007 (Jumaat hingga Ahad) bersamaan 18 - 20 Zulhijjah 1428H, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui Biro Pembangunan Sosial (BPS) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah mengadakan Kem Budaya Hidup Sihat, Sedar HIV/AIDS (SEDAR). Kem yang dicadangkan ini merupakan satu usaha pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk memberi dan meningkatkan ilmu pengetahuan golongan pelajar dan belia dalam seluruh aspek berkenaan penyakit HIV / AIDS. Program ini memfokuskan kepada golongan pelajar dan belia yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan pengaruh negatif dalam dunia moden kini.

 

Rekabentuk dan konsep program adalah berbentuk informasi dan menerapkan pembudayaan nilai hidup yang sihat dan seimbang dari segenap aspek kehidupan. Keseluruhan slot dalam program ini dimuatkan dengan modul-modul akademik dan motivasi yang mampu menarik minat dan perhatian para pelajar sesuai dengan kehendak dan citarasa golongan berkenaan. Justeru, selain dapat meningkatkan pengetahuan golongan pelajar dan belia berkenaan cara hidup sihat yang bebas daripada penyakit HIV dan AIDS, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada golongan pelajar dan belia berkenaan bahaya dan akibat penyakit HIV / AIDS ini ke atas seseorang individu yang dijangkiti.

Program telah bermula pada sebelah petang hari Jumaat (28 Disember 2007) yang telah disertai oleh para pelajar sekolah menengah seperti para pelajar daripada Sekolah Menengah Seri Keramat, Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang, Banting dan Assyabab Kampung Batu 10, Kebun Baharu, Banting dan para pelajar institusi pengajian tinggi seperti Kolej Pengurusan Astin (ASTIN), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Multimedia (MMU) serta belia kampung daripada Felda Sungai Tengi, Banting. Jumlah keseluruhan penyertaan adalah seramai 100 orang peserta sementara jumlah keseluruhan urusetia dan fasilitator adalah seramai 20 orang.

 

Para peserta telah bertolak pada jam 3:00 petang dengan bas daripada tempat masing-masing dan berkumpul di Kem El-Azzhar, Morib pada jam 5:30 petang. Setelah para peserta selesai menunaikan solat asar berjemaah, mereka diberikan taklimat berkenaan program oleh urusetia program, Saudara Radin Mohd. Imanuddin Bin Radin Mohd. Halim. Setelah itu, para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil iaitu sebanyak 5 kumpulan kecil yang mengandungi 10 atau 11 orang bagi setiap kumpulan.

 

Pada sebelah malam pula para peserta diberi peluang untuk mendengar ceramah pertama bertajuk ‘HIV / AIDS: Cabaran dan Tanggungjawab’ yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Rusli Ismail yang merupakan Setiausaha Kehormat, Majlis AIDS Malaysia dan Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau telah memberi penerangan yang begitu jelas berkenaan virus dan penyakit merbahaya ini secara umum termasuklah sejarah, pengalaman penceramah dalam pengendalian kes-kes dan cara-cara mengatasinya. Kemudian pada jam 10:15 malam para peserta dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing seperti yang telah ditetapkan untuk mengikuti sesi LDK I: Taaruf yang bertujuan untuk mengenali diri setiap ahli dalam kumpulan masing-masing. Sesi LDK I ini selesai pada jam 11:00 malam.

 

Seterusnya pada hari kedua program, Sabtu (29 Disember 2007), setelah selesai dengan Kawad Pagi sebagai senaman pagi pada jam 7:00 pagi, para peserta diberi pengisian dengan ceramah yang kedua bertajuk ‘Hitam Putih HIV / AIDS’ yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dr. Anita Binti Suleiman, Pakar Kesihatan Awam (AIDS / STD) daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (melalui Kementerian Kesihatan Malaysia). Beliau telah mengulas berkenaan kes-kes HIV / AIDS yang serius dan terkini yang berlaku di Malaysia dalam beberapa tahun yang lepas sehingga tahun 2007.

 

Pada jam 10:00 pagi, para peserta kembali ke dalam kumpulan untuk di beri pengisian melalui LDK II yang ingin menguji pengetahuan para peserta berkaitan penyakit HIV / AIDS setelah mengikuti dua jenis ceramah yang mendedahkan banyak maklumat berkenaan HIV / AIDS dan berdasarkan maklumat-maklumat dan pengalaman yang diperolehi sebelum ini. LDK II ini bertujuan ingin melihat dan menguji sejauhmanakah kepekaan dan keprihatinan para peserta berkenaan penyakit merbahaya ini. Ini diikuti dengan LDK III yang dijalankan pada jam 11:00 pagi yang memberi peluang kepada para peserta untuk membincangkan sesuatu kes yang terpilih. Menerusi LDK III ini, kerjasama, kesepaduan dan semangat dalam kerja berkumpulan.

 

 

Selanjutnya pada jam 2:00 petang, para peserta didedahkan lagi dengan ceramah yang ketiga bertajuk ‘Khidmat Sosial dan Pemantapan Kendiri: Kenapa Perlu Ada’ yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Saudara Jufitri Joha, Ketua Biro Tugas-tugas Khas (Undang-undang), ABIM. Beliau telah mengupas konsep sukarelawan dan kerja-kerja kebajikan dalam pembinaan dan pemantapan yang perlu ada dalam diri seseorang pelajar mahupun belia.

 

Pada jam 3:00 petang para peserta diberi peluang untuk menjalankan praktis khidmat sosial di Masjid Jamek Jama’iyyah, Kampung Morib, Banting. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di masjid ini adalah seperti pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat. Penduduk kampung, para peserta dan orang ramai (yang singgah di masjid tersebut untuk menunaikan solat) diberi kesempatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara asas, ujian darah bagi memastikan tahap kebersihan darah dan bebas daripada jangkitan virus HIV serta perkhidmatan perundingan oleh pembantu perubatan. Pengwujudan mini perpustakaan juga dilaksanakan dengan membina beberapa buah rak buku dan dimuatkan dengan bahan-bahan ilmiah hasil sumbangan daripada pihak-pihak luar.

 

Selain itu, para peserta juga membuat pengedaran (promosi) flyers bagi Forum Gejala Sosial dan Pendekatan Menjauhi Penyakit HIV / AIDS. Pengedaran flyers tersebut dibuat kepada orang ramai yang berada di Karnival Membeli-belah dan orang awam yang berada di kawasan rehat Pantai Morib. Para peserta dan penduduk kampung juga diberi peluang untuk mengikuti satu forum yang bertajuk Forum Gejala Sosial dan Pendekatan Menjauhi Penyakit HIV / AIDS yang diadakan pada sebelah malam (hari Sabtu) yang juga diadakan di masjid tersebut. Tujuan praktis khidmat sosial ini diadakan adalah untuk memupuk semangat kesukarelaan menerusi kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat di samping ingin menguatkan kerjasama dan semangat kerja secara berkumpulan dalam diri setiap peserta.

 

Pada sebelah malam iaitu jam 9:00 malam, penduduk kampung, para peserta dan orang ramai diberi kesempatan untuk mengikuti ‘Forum Gejala Sosial dan Pendekatan Menjauhi Penyakit HIV / AIDS’ yang telah dipengerusikan oleh wakil daripada ABIM iaitu urusetia program, Yang Berbahagia Saudara Radin Mohd. Imanuddin Bin Radin Mohd. Halim dan forum telah disampaikan oleh dua orang ahli panel. Ahli panel yang pertama ialah Yang Berbahagia Ustaz Ismail Hashim Bin Junaidi, Pegawai Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan seorang lagi ahli panel, Yang Berbahagia Saudara Zulkifli Bin Maulana yang merupakan Kaunselor Klinikal, Bahagian Program, Rumah PENGASIH, Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH). Forum telah membincangkan tentang masalah-masalah sosial yang timbul di kalangan masyarakat berkaitan virus dan penyakit merbahaya ini selain langkah-langkah pemulihan yang boleh dipraktikkan oleh pesakit-pesakit AIDS dan perkongsian pengalaman berkenaan penyakit merbahaya ini.

 

Seterusnya, pada hari ketiga, Ahad (30 Disember 2007), para peserta telah bangun untuk Qiamullail pada jam 5:15 pagi. Setelah riadhah pada jam 7:00 pagi, para peserta kembali ke dalam dewan untuk menjalani sesi refleksi pada jam 9:00 pagi. Sesi refleksi ini dijalankan dengan pembentangan dan perbincangan berkenaan program atau projek yang dirancang akan diadakan oleh para peserta mengikut kelompok masing-masing seperti kumpulan Sekolah Menengah Seri Keramat, Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang, Banting dan Assyabab Kampung Batu 10, Kebun Baharu, Banting, ASTIN, UIAM, MMU dan belia Felda Sungai Tengi. Semua kumpulan yang telah dibentuk tersebut digabungkan di bawah satu kelab yang dinamakan Kelab Rakan SEDAR yang akan berada dibawah seliaan ABIM.

 

Kemudian, pada jam 12:30 tengahari, majlis perasmian penutupan dimulakan dengan dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Haji Hashiman Bin Haji Sidom yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Morib dan Timbalan Yang Dipertua ABIM Daerah Kuala Langat, Yang Berbahagia Saudara Khairuddin Bin Abas. Majlis tersebut selesai pada jam 1:15 tengahari dan para peserta dijemput untuk makan tengahari dan solat Zuhur berjemaah. Pada jam 3:00 petang semua peserta pulang dengan menaiki bas masing-masing.

 
 

Alamat Perhubungan

 
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700

Email
sap@abim.org.my
atau
abimhq@gmail.com

Peta Lokasi

* Perhubungan Negeri

Kalendar ABIM

<<  July 2008  >>
 Mo  Tu  We  Th  Fr  Sa  Su 
   1  2  3
  7  8  910111213
14151617181920
21222324252627
28293031   

Program Terkini

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
who's online