|
Pada 7 Februari 2008 / 30 Muharram 1429 H yang lepas saudara Jufitri Joha, Exco ABIM telah mengisi kuliah Maghrib dan Subuh dalam Program Jatidiri dan Kesukarelaan Nasional (PJKN) bersama 162 pelajar IKBN Chembong, Pegoh, Pontian dan Alor Gajah di bekas Penjara Pudu.
Saudara Jufitri Joha telah dijemput atas kapasiti ABIM dan sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS). Mereka ini di kalangan pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan diberi peluang merasai kesengsaraan penjara.
Pihak penganjur adalah MBNNS yang berusaha menyedarkan peserta betapa peritnya hidup dalam penjara akibat melakukan pelbagai jenayah. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah bermalam dalam sel penjara, tazkirah, solat berjemaah, slot bersama bekas banduan tegar, demonstrasi hukuman sebat, ceramah erti kebebasan, tayangan video dan lain-lain. Kesan program ini amat baik dan mendapat respon positif dari peserta program yang rata-rata insaf dan sedar apabila melalui kehidupan di sebalik tirai besi bekas penjara.
Program ini mendapat kerjasama rapat dari pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia. Program ini amat berkesan di tambah pula dengan penghayatan rohani yang mantap mampu menjadi mekanisme antara yang terbaik menyedarkan para remaja dan belia di luar sana yang hanyut dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah. Setakat ini bekas Penjara Pudu ini beroperasi sebagai Balai Polis Jalan Hang Tuah dan juga pusat latihan kehidupan dalam penjara untuk para belia.
|