|
Pada 2 hingga 4 Mei 2008, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersama-sama pelbagai badan bukan kerajaan dan pertubuhan Melayu dari seluruh Malaysia termasuklah ABIM telah menganjurkan Kongress Permuafakatan Melayu di kompleks PERSADA, Johor Bharu. Penganjuran kongres ini adalah satu respons kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu. Dengan mengangkat tema “Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa”, kongres ini telah memberi ruang kepada ahli-ahli akademik, pemimpin masyarakat, tokoh ekonomi dan agama untuk membentangkan kertas kerja dalam merintis jalan mencari persepakatan untuk kembali memulihkan perpaduan dan wibawa umat Melayu pasca PRU 12 ini.
Presiden ABIM, Tn. Hj. Yusri Mohamed telah diberi penghormatan untuk membahaskan sebuah kertas kerja “ Kedaulatan Perlembagaan Malaysia” yang telah terlebih dahulu disampaikan oleh Tan Sri Dato’ (DR) Abdul Aziz b.Abdul Rahman. Menurut beliau, umat Melayu perlu mengurangkan pergantungan kepada ahli dan institusi politik dalam memperjuangkan nasibnya. Sebaliknya, umat Melayu perlu memperkukuh perpaduan melangkaui faham politik dan menggerakkan institusi rakyat dalam memastikan hak-haknya sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan terbela.
|