Misi 4 Global Peace Mission (GPM) Ke Padang PDF Print E-mail
Misi 4 PadangMisi ke-4 GPM ke Padang telah berlepas pada Selasa 27 Oktober 2009 jam 7.50 pagi waktu Malaysia dari LCCT dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang jam 8.00 pagi waktu tempatan. Misi yang disertai lima orang wanita ini, telah diketuai oleh Ustazah Nordiran Idris, Exco Wadah Pencerdasan Ummah yang juga merupakan mantan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia. Misi kali menumpukan aktivitinya di sekitar Maninjau khususnya di Masjid Bancah, tempat warga Pesantren Buya Hamka mengungsi, dan Pusat Koordinasi (Posko) di Sungai Batang.

Misi ini menumpukan perhatian untuk memberikan perkihidmatan kaunseling untuk mengatasi perasaan trauma yang dihadapi oleh mangsa gempa terutamanya wanita dan kanak-kanak, di samping turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah sekitar hampir Rp. 30 juta kepada mangsa-mangsa di Posko Sungai Batang dan Pesantren Buya Hamka.

Walaupun daerah Maninjau tidak mengalami kerosakan yang sangat teruk seperti di Padang dan Pariaman; namun gempa ini juga telah  menjejaskan kehidupan keluarga-keluarga di sekitan Maninjau. Terdapat sekitar 500 keluarga yang menjadi mangsa gempa bumi kali ini. Mereka tidak berani tinggal di rumah kerana khuathir akan gempa susulan dan hujan lebat yang boleh menyebabkan tanah longsor (runtuh). Sebahagian besar dari rumah mereka terletak di selingkar Danau Maninjau serta tebing-tebing tinggi. Jika berlaku tanah longsor, tanah dan batu dari lereng bukit boleh melongsor dan menimpa rumah-rumah mereka. Kami dimaklumkan tiga kampung telah terjejas teruk termasuklah Nanggai iaitu kampung terletaknya Pesantren Buya Hamka.

Pesantren Buya Hamka tidak dapat dihuni lagi. Bukit di sebelah pesantren telah runtuh dan lumpur memenuhi rumah guru, masjid dan asrama. Asrama lelaki tidak dapat diduduki lagi. Namun begitu, asrama puteri yang pembinaannya ditaja oleh ABIM masih utuh. Namun lokasi pesantren agak merbahaya untuk dihuni lagi. Hujan lebat yang turun pada malam gempa yang lepas telah melongsorkan tanah-tanah bukit yang memaksa pesantren dikosongkan sepenuhnya.

Warga pesantren telah ditempatkan sementara waktu di Masjid Banchah. Masjid Banchah terletak di tepi Danau Maninjau dan sangat dingin pada waktu malam dan pagi. Mereka tidur berbekalkan selimut di atas karpet tanpa tilam. Mereka telah kembali tenang dari pengalaman ngeri menghadapi kesan gegaran dan hujan lebat yang melongsorkan tanah bukit yang hampir dengan pesantren mereka dan bukit-bukit yang mengelilingi Danau Maninjau. Namun begitu apabila hujan lebat, mereka masih menjerit-jerit ketakutan. Ini kerana hujan lebat dalam masa yang sangat singkat akan melongsorkan tanah-tanah bukit di mana bunyi longsorannya sungguh mencemaskan.

Pihak pesantren sedang berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan segera tempat penginapan baru dan lokasi pesantren yang baru. Kami dimaklumkan bahawa tanah yang diwakafkan telah ada dan mereka memerlukan dana hampir Rp. 500 juta bagi pembinaan awal membangunkan kembali pesantren Buya Hamka.

Menurut penduduk-penduduk Maninjau yang sempat ditemui, gempa yang lalu bukanlah yang pertama pernah melanda bumi Maninjau, tetapi yang membezakannya ialah gempa bumi pada 30 September  lalu berlaku lebih lama berbanding sebelumnya, iaitu melebihi dua minit. Ditambah pula dengan hujan lebat sebelum dan selepas gempa bumi berlaku, ini telah memburukkan lagi keadaan (tanah longsor).

Susulan daripada misi ini, ABIM dan GPM akan menggerakan usaha mengumpul dana untuk membina semula pesantren yang didukung oleh ABIM semejnak 10 tahun yang lalu. Adalah diharapkan pengumpulan dana sebanyak Rp 500 juta dapat dijalankan secepat yang mungkin agar anak-anak pesantren tidak perlu lagi menumpang di Masjid Bancah yang serba kekurangan itu.
 
 
Sekretariat ABIM Pusat
No. 6, Jalan TC 2A/2 
Taman Cemerlang
53100 Kuala Lumpur
Tel: 016-2081300 / 03-42568400
Fax: 03-42519311 / 03-42578400


Email
sap@abim.org.my
atau
Media.abim@gmail.com
who's online