Ahad , 15 November 2009 bersamaan dengan 27 Zulkaedah 1430 H telah berlangsung Konvokesyen Tadika dan Tahfiz Al-Hidayah zon bandar, Muar. Majlis telah dilangsungkan di
PPA ABIM Muar dan telah dihadiri oleh lebih 100 orang ibu dan bapa beserta pelajar-pelajar tadika/tahfiz tersebut. Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh
YDP ABIM daerah Muar, Tn. Hj. Shahrol b. Hj. Abu Samah., yang mana beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ibu-ibu dan bapa-bapa yang masih menaruh kepercayaan terhadap orientasi pendidikan yang dilaksanakan oleh
ABIM terutamasekali di daerah Muar ,walaupun pada masa yang sama banyak tadika-tadika lain yang mengamalkan orientasi pendidikan Islam telah mula beroperasi sejak kebelakangan ini.
Perasmian majlis telah disempurnakan oleh
YDP ABIM Negeri Johor, Dr. Shahrum Shah b. Abdullah. Dalam ucapannya, beliau antara lain menyentuh tentang tujuan majlis ihtifal diadakan iaitu bagi menandakan tamatnya seorang pelajar melalui sebuah proses pendidikan dan juga sebagai peringatan atas amanah ilmu yang dipikul setelah tamat pengajian. Beliau menegaskan bahawa apa yang ingin dilahirkan oleh sistem pendidikan
TASKI-SRI-SMI-KDH adalah insan yang bukan sahaja mempunyai kebolehan akademik tetapi juga sedar akan amanah yang perlu disandang oleh seorang ilmuwan. Dua amanah penting juga ditekankan iaitu pengabdian kepada Allah dan kebaktian kepada masyarakat. Antara sebab berlakunya pelbagai masalah seperti rasuah, pecah amanah dan lain-lain lagi adalah kerana wujudnya ilmuwan yang lupa dengan amanah yang dipikulnya.
Majlis ini juga telah diserikan dengan beberapa persembahan menarik oleh pelajar-pelajar tadika Al-Hidayah yang antara lain menunjukkan hasil pendidikan bersepadu yang menunjukan identiti Islam yang telah mereka lalui di tadika masing-masing.