Semarak Roh Aidiladha Di Bumi Padang PDF Print E-mail
GPM korban
Oleh : Shakir Fahmi

Maninjau, 28 November 2009 :Kedamaian dan ketenangan Danau Maninjau sepanjang kunjungan penulis baru-baru ini, seakan menyembunyikan trauma yang dihadapi oleh seluruh warganya, yang menjadi mangsa gempa bumi yang melanda Sumatera Barat 30 September yang lalu. Gegaran yang dituruti dengan tanah gelongsor mengakibatkan sebahagian daripada rumah-rumah penduduk dibawa arus tanah serta jatuh ke dalam tasik di Danau Maninjau.  

Para pelajar Pesantren Buya Hamka bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri di masjid berdekatan. Meskipun 245 buah rumah mengalami kerosakan yang teruk, tiada kemalangan jiwa yang berlaku di tanah kelahiran Hamka ini. Jelas kelihatan bekas gelongsoran tanah di samping, berlaku runtuhan dari sebuah bukit yang mengakibatkan kemusnahan ke atas rumah dan jalanraya.

Pada masa kini, para pelajar Pesantren Buya Hamka yang berjumlah seramai 64 orang terpaksa tinggal di sebuah bangunan dua tingkat separa siap bersebelahan masjid. Pelajar lelaki seramai 30 orang ditempatkan di di bahagian bawah rumah berkeluasan 20 kaki persegi.

Dua ekor lembu telah dikorbankan sempena Aidiladha pada 28 November 2009, untuk  diagihkan kepada GPM qurban 2masyarakat sekitar. Salah satunya dibuat di Masjid Raya dalam daerah Kukuban dan satu ekor lagi di berdekatan penempatan sementara Pesantren.

Selepas selesai acara Qurban, kami dibawa melihat tapak baru pesantren yang telah diwakafkan oleh masyarakat terletak kira-kira 15 kilometer dari tempat lama. Ia di Desa Kubugadang, kawasan ini merupakan sebuah perkampungan pada asalnya. Disebabkan kedudukan yang agak jauh di atas bukit serta prasarana yang kurang baik, penduduknya telah berpindah ke kawasan yang lain.

Kelihatan beberapa buah rumah dan sebuah masjid yang tidak lagi dapat digunakan. Lokasi ini mempunyai pemandangan yang cantik kerana kedudukannya yang menghadap danau. Untuk melancarkan proses pembangunan semula, akses atau kemudahan jalanraya perlu dibangunkan untuk sampai ke kawasan tersebut.

Sebagai contoh, saudara Azhar, wakil dari Masjid Bukit Jelutong tiba pada tengahari 28 November 2009. Beliau telah mengambil masa hampir dua hari menggunakan jalan darat dan air untuk sampai ke Padang. Beliau akan melaksanakan kerja-kerja dokumentasi untuk majlis korban pada keesokan harinya.

Sebelum pulang, rombongan dimaklumkan bahawa Pesantren Buya Hamka telah menerima bantuan dari beberapa NGO tempatan. Antaranya Dompet Dhuafa’ Indonesia telah bermurah hati menyumbang 20 lokal darurat untuk dijadikan kelas sementara. Selain itu, Lembaga Manajemen Infaq (LMI) berpusat di Surabaya telah menghulurkan Rp50 juta selain bantuan untuk penternakan ikan yang akan menyusul.

Secara keseluruhan, gempa bumi yang berlaku di Maninjau telah memberi kesan yang mendalam kepada penduduk setempat. Kaum wanita dan kanak-kanak masih lagi tidur di dalam khemah kerana bimbang kejadian yang sama bakal berulang. Jalan-jalan yang terkambus dek runtuhan sudah dibersihkan dan  disambungkan semula.

Sehingga kini, penulis tidak dapat melupakan kisah seorang wanita yang mengendong anak dengan berjalan kaki ke tengah danau di malam hari dalam keadaan hujan, perempuan tua yang keseorangan di rumah di samping suaminya yang cedera yang ditemui dua hari sesudah gempa, yang merupakan hanya sekelumit daripada ribuan kisah saksi-saksi musibah yang menggoncang bumi Maninjau dua bulan yang lalu.
 
 
Sekretariat ABIM Pusat
No. 6, Jalan TC 2A/2 
Taman Cemerlang
53100 Kuala Lumpur
Tel: 016-2081300 / 03-42568400
Fax: 03-42519311 / 03-42578400


Email
sap@abim.org.my
atau
Media.abim@gmail.com
who's online