Oleh Firdaus Hamsin
Penerima anugerah tokoh Maal Hijrah 1431 Hijrah, Profesor Yusof Abdullah Al-Qaradawi mengatakan nikmat paling besar disempurnakan pada Maal Hijrah ini adalah diutuskan Nabi Muhammad SAW serta diturunkan kitab al-Quran, lantas menjadikan umat Muhammad sebagai umat pilihan yang adil dan menjadi saksi ke atas perbuatan manusia. Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah terbabit pada sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, keistimewaan Nabi Muhammad adalah generasi paling kehadapan seperti disifatkan dalam al-Quran dengan empat ciri, iaitu pertama rabbani (dilahirkan untuk memberi hidayah, sinar, kebahagiaan dan manfaat kepada manusia; kedua, kesederhanaan, yang penuh dengan keseimbangan, tidak berlebih-lebih mementingkan kebendaan seperti kaum Yahudi dan tidak melampau mengutamakan kerohanian seperti kaum Nasrani; ketiga, umat yang cemerlang dari segi kebaikan berbanding umat terdahulu dan keempat umat yang bersatu.
Tambah beliau,“Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan banyak warisan kepada umat Islam. Walaupun tempoh jangka masa pendek sebagai rasul ( selama 23 tahun), namun baginda berjaya mengubah perjalanan seluruh alam, takdir dan matlamatnya, memalingkan pandangan manusia dari penyembahan makhluk kepada penyembahan Tuhan. Hakikatnya, Nabi Muhammad meninggalkan segala yang agung dan sangat berharga, yang tidak pernah diwarisi sesiapa sebelumnya iaitu, al-Quran termasuk keterangannya daripada Sunnah dan Sirah, ajaran dan pegangan bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah dan umat Islam terhasil daripada perkembangan ajaran ini yang bermula daripada sahabatnya.''
