|
||||
| Perutusan Presiden ABIM Sempena Multaqa Petugas Sepenuh Masa ABIM 2010 |
Para kakitangan ABIM merupakan salah satu segmen tonggak di dalam keseluruhan struktur pertubuhan ABIM sebagai sebuah pergerakan dakwah yang bersifat massa. Di dalam konteks ini, para kakitangan merupakan Nadi Gerakan. Cita-cita utama ABIM iaitu iltizam untuk membangunkan dan membangunkan umat terbaik atau Khayra Ummah tidak mungkin akan dapat dijayakan tanpa sumbangan fikiran, tenaga dan moral para kakitangan sepenuh masa yang bertugas di segenap peringkat pergerakan ABIM.Kesempatan ini, saya suka menyebutkan iaitu para petugas ABIM yang berkhidmat secara sepenuh masa telah mencecah hampir lebih 1500 orang di seluruh negara. Kebanyakan para kakitangan ABIM dari kalangan pendidik samada di peringkat asas, rendah, menengah dan tinggi. Ini kerana, sejak awal penubuhan ABIM, bidang pendidikan telah dianggap sebagai satu saluran dakwah yang paling berkesan di dalam usaha membangunkan masyarakat berasaskan nilai-nilai ajaran Islam yang sempurna. Di samping terkenal sebagai pelopor di dalam pergerakan pendidikan Islam, ABIM juga telah menumpukan aspek dakwahnya di dalam bidang perekonomian dan perkhidmatan kemasyarakatan.
Alhamdulillah, sejak 40 tahun penubunannya, ABIM kini mempunyai 12 institusi atau agensi yang beroperasi secara seiring dengan Sekretariat ABIM di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah bagi menjayakan cita-cita yang di sepakati bersama. Kita semua perlu berasa bangga dan bertuah kerana telah berkesempatan bertugas di bawah pertubuhan Abim ini. Ini kerana pertubuhan ini merupakan antara sebuah gerakan Islam terawal yang terlibat secara serius di dalam pembangunan agama Islam di negara ini. Berstatuskan sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ABIM sejak hampir 40 tahun yang lalu telah memilih pendekatan dakwah dan tarbiyyah sebagai cara untuk melakukan perubahan dan pembaharuan di dalam masyarakat Malaysia. Menerusi pendekatan ini, ABIM telah memperkenal pelbagai program yang bersifat kependidikan serta khidmat dan pembangunan kemasyarakatan.
Pendekatan yang dipilih oleh ABIM ini ternyata telah memberikan kesan yang besar kepada perubahan yang terjadi di dalam masyarakat Malaysia hari ini berhubung tentang kesedaran dan penghayatan terhadap agama Islam. Di dalam kata lain, ABIM merupakan antara sebuah pergerakan yang menyumbang dengan agak berkesan di dalam meningkatkan tahap kesedaran dan penghayatan Islam di negara kita ini. Sumbangan ABIM di dalam usaha dakwah ini sering menjadi sumber perbincangan di dalam bahan-bahan kajian akedemik berkaitan Islam di Asia Tenggara. Malah sehingga hari ini, penyataan, pendapat dan sikap ABIM di dalam isu-isu yang berkembang di dalam negara akan mendapat perhatian yang tinggi di dalam media arus perdana negara. Sepanjang 40 tahun yang lalu, ABIM merupakan antara penggerak di dalam mewujudkan gelombang kesedaran di dalam masyarakat Malaysia. Gelombang dakwah ini merupakan fasa pertama dan kesannya dapat kita lihat secara jelas di dalam manifestasi keislaman masyarakat terhadap agama Islam. Di dalam pengalaman di bidang pendidikan Islam sebagai contoh, sekolah-sekolah yang berorentasikan agama kini mendapat sambutan yang amat tinggi sekali dari masyarakat. Malah, institusi pendidikan ABIM tidak mampu lagi menampung jumlah permintaan yang tinggi terhadap sistem pendidikan Islam yang kita perkenalkan. Keadaan ini merupakan tanda yang amat signifikan sekiranya dibandingkan pada 40 tahun sebelumnya. Pendidikan Islam sebelumnya merupakan tempat pilihan untuk pelajar-pelajar terkandas sahaja. Fenomena baru kesedaran Islam juga kita boleh lihat di dalam aspek perekonomian Islam. Sistem perbankan Islam di negara kita sejak akhir-akhir ini sebagai kukuh dan menjadi satu pilihan utama, tidak sahaja kepada orang-orang Islam, malah juga di kalangan orang-orang bukan Islam. Gelombang pertama dakwah juga memperlihatkan kualiti wacana berkaitan dengan Islam pada masa kini tidak lagi terhad di dalam aspek akhlak peribadi dan berkaitan hukum hakam berkaitan amal ibadat. Wacana Islam telah berkembang di dalam aspek pengurusan dan pentadbiran masyarakat, perancangan bandar, pendidikan tinggi serta hal-hal berhubung kepimpinan dan kenegaraan. Keadaan ini memperlihatkan tentang tahap kematangan masyarakat kita berkaitan agama Islam telah semakin tinggi berbanding 40 tahun yang lalu. Ini semua adalah antara contoh bagaimana kesan usaha-usaha dakwah yang telah disumbangkan oleh para pendakwah, pergerakan dan pertubuhan dakwah yang pelbagai, termasuk Abim. Pencapaian ini merupakan antara kesan dari gelombang dakwah pertama. Sepanjang 40 tahun yang lalu, generasi awal pergerakan ABIM telah menyumbang dengan amat cemerlang di dalam menjayakan gelombang dakwah pertama di negara kita. Sumbangan mereka di dalam bidang dakwah telah mendapat pengiktirafan oleh pihak kepimpinan negara. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa tokoh dan aktivis ABIM telah mendapat anugerah-anugerah di peringkat negara seperti anugerah Maulidurasul dan Maal-Hijrah. Pengiktirafan masyarakat dan negara terhadap ABIM sebagaimana tergambar menerusi penganugerahan yang diterima oleh tokoh dan aktivis dakwah Abim ini menjadi satu cabaran besar kepada kita sebagai generasi pewaris kepimpinan pergerakan ini. Cabaran yang jelas sekali ialah pertama, tanggungjawab untuk kita mengekalkan kewibawaan ABIM sebagai pergerakan dakwah yang dihormati di segenap peringkat masyarakat. Kedua, tuntutan untuk kita merangka satu agenda dakwah baru yang bersifat jangka panjang untuk tempoh 40 tahun akan datang. Dalam kata lain, kita perlu mulai hari ini perlu memulakan usaha perancangan bagi menggerakan satu agenda dakwah ke arah menjana gelombang dakwah kedua sehingga tahun 2050. Apakah yang kita maksudkan sebagai gelombang kedua dakwah Islam? Gelombang ini boleh difahami menerusi beberapa ciri-cirinya. Pertama: Tonggak yang menggerakkan gelombang kedua dakwah ini ialah dari kalangan generasi belia yang berusia 40 tahun ke bawah. Bagi tujuan ini, kita perlu memulakan usaha yang lebih serius bagi proses pembinaan generasi belia Islam yang kukuh dari segi idealisme perjuangan Islam serta berketrampilan secara professional di dalam segenap aspek kehidupan. Kedua: Pembangunan produk-produk dakwah yang menarik dan pelbagai bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di dalam segenap aspek kehidupan beragama mereka. Ini meliputi aspek perkhidmatan kemasyarakatan, kependidikan, perekonomian, teknologi, kebudayaan dan kesenian. Ketiga: Pengembelengan seluruh potensi keagamaan di dalam satu pergerakan yang seiring dan terarah. Potensi keagamaan ini boleh dikenalpasti diperingkat individu dan organisasi dan keseluruhan mereka perlu berada di dalam satu rangkaian pergerakan yang bersifat inklusif. Bagi tujuan mencapai cita-cita ini, ABIM perlu kembali memimpin gelombang baru dakwah ini. Tugas ini amat berat dan mencabar sekali dan ini menuntut seluruh komitmen kita semua segenap lapisan kepimpinan dan para petugas ABIM. Apakah cabaran yang perlu kita tangani bagi menjayakan cita-cita ini. Di dalam penelitian saya, beberapa cabaran perlu kita tangani. Pertama: Pengukuhan Sektretariat ABIM di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah. Peranan pejabat-pejabat ABIM di segenap peringkat masyarakat amat penting. Sekretariat ABIM berperanan sebagai pusat pengembelengan dan pembinaan generasi baru pendakwah dari kalangan belia Islam. Sektretariat Abim juga berfungsi sebagai pusat penjayaan dan penyebaran kesedaran Islam di peringkat masyarakat terbanyak menerusi penganjuran program-program seperti kursus, seminar dan latihan kepimpinan. Untuk itu, kita perlu secara serius meningkatkan keupayaan ibu pejabat Abim ini dari segi pegawai, pusat operasi, kewangan dan teknologi. Usaha pembangunan dan pemodenan Sekretariat ABIM perlu dijadikan agenda utama pergerakan Abim secara berterusan. Kedua: Pemerkasaan institusi dan agensi ABIM. Peranan utama institusi dan agensi Abim ialah sebagai wahana atau saluran bagi menterjemahkan idea-idea besar dakwah di dalam bentuk amalan dan perlaksanaan. Pemerkasaan institusi dan agensi Abim boleh dilakukan menerusi dua langkah berikut: Pertama: Penubuhan institusi dan agensi baru untuk menerokai bidang-bidang baru dakwah. Di dalam bidang pendidikan sebagai contoh, ABIM masih belum mempunyai instusi yang mengendalikan aspek pendidikan lanjutan masyarakat atau pendidikan informal untuk belia dan masyarakat untuk menuntut ilmu di waktu petang atau siang secara berencana. Di dalam kebudayaan dan hiburan, ABIM masih belum memiliki syarikat produksi sendiri sedang ruang masa untuk produk seni keislaman semakin bertambah. Begitu juga dibidang guaman, fesyen, perbankan, pelancongan dan kesukanan. Kedua: Penambahbaikan dan pengembangan institusi dan agensi ABIM yang sedia ada. Saya berpandangan, masih banyak lagi ruang dan peluang yang boleh diterokai oleh agensi dan institusi yang sedia ada bagi meningkatkan kehadiran perkhidmatan mereka kepada masyarakat terbanyak. Proses ini memerlukan kepimpinan di peringkat agensi untuk sentiasa bermuhasabah dan bersikap positif di dalam menerima pandangan dan pendapat baru. Pada kesempatan ini, saya suka untuk mengumumkan beberapa perkembangan di peringkat agensi ABIM pada beberapa bulan akan datang. Pertama: Pemerkasaan semula Pusat Pembangunan Wanita (PPW) yang akan beroperasi di Ampang. Projek ini telah beberapa waktu tertangguh akibat pelbagai hambatan. Namun berkat sokongan semua, usaha penubuhan akan segera dilancarkan sedikit masa lagi. Kedua: Pemerkasaan semula Program Penyertaan dan Pembangunan Komuniti (PPPK), sebuah projek kemasyarakatan Abim. Program ini akan diseliakan oleh GPM sebagai sekretariat. Untuk permulaan, satu program kelestarian pertanian akan dibangunkan sebagai satu bentuk usaha menambahkan pendapatan keluarga. Ketiga: Pemerkasaan semula Taski ABIM peringkat kebangsaan. Insya'Allah dalam masa terdekat, satu Pelan Pembangunan 5 Tahun Taski Kebangsaan akan dilancarkan di mana antara aspek penting di dalam pelan ini ialah pengukuhan sistem pengurusannya di peringkat negeri dan daerah serta pengenalan program pengembangan Taski menerusi model francais. Saya berharap supaya agensi yang lain juga akan mengumumkan program penambahbaikan dan pengembangan mereka secara berterusan, terutama di bidang perkhimatan koperasi dan perubatan. Sesungguhnya, tugas menjayakan cita-cita ini amat besar dan menuntut komitment yang menyeluruh dari segenap peringkat. Ia memerlukan usaha secara berperingkat. Di peringkat ABIM secara keseluruhaan, sepanjang tempoh dua tahun akan datang, akan banyak menumpukan usahanya di dalam menjayakan tema kerja dakwah di mana kita akan menjayakan agenda menjadikan ABIM sebagai Gerakan Ilmu dan Bakti. Dalam tempoh dua tahun akan datang, insya'Allah, akan kembali di pentas nasional dan dilihat sedang memimpin masyarakat di dalam dua bidang utama dakwah ini. Dua bidang dakwah ini merupakan langkah asas di dalam usaha kita untuk menjana Gelombang kedua dakwah menuju tahun 2050. Sekali lagi saya ingin nyatakan iaitu tugas dan peranan ABIM pada masa akan datang amat mencabar sekali dan ini memerlukan dokongan dari seluruh warga petugas. Di samping tuntutan untuk kita meningkatkan keupayaaan organisasi dan agensi, dua aspek penting yang perlu sentiasa diperkukuhkan oleh kita semangat silaturahim atau ukhwah dan kebajikan seluruh para petugas.Dua usaha yang kita akan ambil bagi menangani aspek penting ini. Pertama, ABIM Pusat akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Skim Perkhidmatan ABIM untuk para petugas ABIM di seluruh negara. Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab untuk memberikan nasihat kepada ABIM bagi memastikan skim imbuhan yang dilaksanakan dapat memenuhi tahap kebajikan semasa. Kita berazam untuk menjadikan perkhidmatan di dalam ABIM sebagai karier kepada seluruh petugas dan ini memerlukan satu tahap pengurusan kewangan dan sumber manusia yang mantap. Kedua: Bagi menyokong langkah pengukuhan kebajikan ini juga, ABIM telah mencadangkan penubuhan Badan Kebajikan Petugas ABIM dan Agensi. Saya dimaklumkan bahawa mesyuarat penubuhan Badan telah pun dilaksanakan beberapa minggu yang lalu dan satu majlis pelancaran khas Badan ini akan dilaksanakan. Dengan penubuhan badan ini, kita akan dapat mengenalpasti keadaan kebajikan kakitangan ABIM diseluruh negara secara tersusun. Saya yakin, badan akan menjadi satu struktur sokongan baru. |




Para kakitangan ABIM merupakan salah satu segmen tonggak di dalam keseluruhan struktur pertubuhan ABIM sebagai sebuah pergerakan dakwah yang bersifat massa. Di dalam konteks ini, para kakitangan merupakan Nadi Gerakan. Cita-cita utama ABIM iaitu iltizam untuk membangunkan dan membangunkan umat terbaik atau Khayra Ummah tidak mungkin akan dapat dijayakan tanpa sumbangan fikiran, tenaga dan moral para kakitangan sepenuh masa yang bertugas di segenap peringkat pergerakan ABIM.