Memorandum ABIM Mengenai Pertandingan Berbayar Melalui Sistem Pesanan Ringkas PDF Print E-mail
ABIM mengucapkan tahniah atas ketegasan Majis Fatwa Kebangsaan dalam menyatakan pandangan Majlis. Mudah-mudahan ianya menjadi rujukan kepada mana-mana pihak untuk merancang peraduan SMS masa hadapan.

ABIM telahpun menghantar memorandum berkaitan peraduan SMS tersebut kepada Majlis Fatwa kebangsaan bersama kertas kerja yang telah dibuat oleh Prof.Madya Dr.Ashraf Dato' Md Hashim bertajuk "Konsep Pertandingan dan Hadiah Dalam Islam" sebelum ini. Tindakan ini adalah dari suara hati nurani masyarakat Islam dan lain-lain yang merasakan pembaziran berlaku tanpa disedari oleh kebanyakan golongan untuk mengaut keuntungan secara mudah.
Hasil dari kajian tersebut, ABIM telah berusaha untuk membantu semua pihak untuk memahami perkara ini agar ianya tidak menular menjadi budaya baru bangsa Malaysia dalam mengejarkan keuntungan yang telah dimanipulasikan oleh sesetengah penganjur, mungkin mereka telah mengaut laba yang besar.

Ikuti Memorandum ABIM ....

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan kebimbangan di atas fenomena menularnya pertandingan berbentuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbayar yang mengandungi unsur-unsur perjudian yang jelas diharamkan.

2. Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak cukup rancak menganjurkan pertandingan melibatkan kaedah SMS ini. Malah sambutan masyarakat juga begitu hangat. Akhbar-akhbar tempatan pula melaporkan satu demi satu kemenangan para peserta dalam pertandingan SMS. Ini termasuklah seorang pemenang yang pernah dilaporkan mengakui telah melabur sebanyak RM20,000 sebagai kos SMS namun hanya mampu memenangi hadiah sebanyak RM10,000.

3. Dalam kemeriahan suasana pertandingan seumpama ini soal unsur perjudian dan kos tinggi yang ditanggung oleh para peserta mudah terlepas dari perhatian umum. Sesungguhnya isu-isu sebeginilah yang perlu diberi perhatian sebelum gejala ini merebak luas tanpa kawalan.


Kemudaratan-Kemudaratan

4. ABIM berpandangan bahawa pertandingan SMS berbayar ini banyak membawa kemudaratan kepada para peserta. Dari sudut penghayatan agama, adalah dikhuatiri bahawa pertandingan seumpama ini mempunyai unsur-unsur perjudian yang jelas diharamkan. Jika demikian, penganjuran dan keuntungan yang diperolehi oleh penganjur, serta penyertaan dan hadiah yang dimenangi oleh peserta juga adalah haram di sisi Islam.

5. Umum mengetahui bahawa permainan "loteri" atau "nombor ekor" adalah haram dan ianya jelas satu perjudian. Sehubungan ini, perbezaan antara loteri dan sesetengah pertandingan melalui SMS hanyalah di dalam bentuk tiket yang dibeli. Bagi pertandingan loteri, tiket-tiketnya dibeli secara tunai manakala bagi pertandingan SMS berbayar, “tiket-tiket”nya dibayar melalui caj SMS yang dikenakan. Kedua-duanya melibatkan wang hadiah yang dikumpulkan daripada pertaruhan para peserta. Ini adalah unsur utama perjudian yang diharamkan.

6. Beberapa kajian yang telah dibuat dari sudut syarak berkaitan dengan isu ini menyokong kuat kesimpulan perbandingan ini. Bersama-sama ini dilampirkan sesalinan kajian mutakhir mengenai isu ini sepertimana yang telah diterbitkan oleh Jurnal Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

7. Dari sudut lain pula, peraduan seumpama ini pastinya mengakibatkan kerugian wang ringgit, masa dan tenaga yang bukan sembarangan di pihak para peserta. Keuntungan dan manfaat kebendaan yang diperolehi oleh segelintir kecil peserta tidak dapat dibandingkan dengan kerugian dan kehampaan majoriti peserta lain yang gagal. Inilah senario biasa dalam mana-mana acara perjudian.

8. ABIM juga khuatir seandainya ramai peserta yang sudah begitu asyik mengambil bahagian hinggakan mereka telah sampai ke tahap ketagihan. Ini juga akan menggalakkan budaya mencari jalan-pintas mencari kekayaan dan kemewahan daripada berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki halal mengikut saluran yang dibenarkan agama.


Keperluan Menangani Masalah Baru

9. Di atas keprihatinan-keprihatinan inilah, ABIM mencadangkan agar semua pihak yang terbabit dalam pertandingan SMS berbayar atau seumpamanya segera menilai kembali pembabitan masing-masing dari pertimbangan hukum agama serta nilai-nilai kemasyarakatan yang mulia.

10. ABIM memohon agar semua pihak yang berkenaan terutamanya pihak Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar dapat segera mengkaji isu ini secara serius dan memberi penjelasan sebenarnya kepada masyarakat.

11. ABIM juga mencadangkan supaya satu garis panduan dikeluarkan untuk mengawal penggunaan teknologi SMS ini daripada disalahgunakan untuk pertandingan-pertandingan atau kegunaan lain yang sebenarnya merugikan masyarakat dan melibatkan unsur-unsur yang diharamkan agama.

12. Penggunaan teknologi untuk membantu proses kehidupan adalah sesuatu yang sememangnya dituntut oleh Islam kerana manfaatnya kepada masyarakat memang tidak dapat dinafikan. Namun demikian, adalah wajar seandainya teknologi tersebut digunakan sebaik mungkin demi kepentingan masyarakat.


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Anjung Rahmat, Gombak
Kuala Lumpur
Julai 2004
 
 

Alamat Perhubungan

 
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700

Email
sap@abim.org.my
atau
abimhq@gmail.com

Peta Lokasi

* Perhubungan Negeri

Kalendar ABIM

<<  July 2008  >>
 Mo  Tu  We  Th  Fr  Sa  Su 
   1  2  3
  7  8  910111213
14151617181920
21222324252627
28293031   

Program Terkini

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
who's online