KOTA KINABALU 7 Dis. - Menyatukan belia Islam di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur - Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) merupakan matlamat yang ingin diperjuangkan Abdul Manaf Mahmud, 40, penerima Anugerah Khalid Ibni Walid sempena sambutan Maal Hijrah 1432H Peringkat Negeri Sabah hari ini.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah itu menambah, penyatuan itu penting bagi mewujudkan jaringan serantau yang akan membantu perkembangan Islam di rantau itu daripada semua sudut kehidupan. "Memang agak mencabar tetapi ia tidak mustahil jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas," katanya di sini hari ini.
Selain Abdul Manaf, turut menerima anugerah sempena sambutan Maal Hijrah 1432H peringkat negeri Sabah di Dewan Sa'adah Wisma MUIS ialah Pengurus Kanan Modal Insan dan Hal Ehwal Korporat Bernas Sabah, Faridah Abu Bakar Titingan, 49, yang menerima Anugerah Saidatina Khadijah. Kedua-dua penerima anugerah tersebut menerima wang tunai RM5,000, sepersalinan pakaian, seutas jam dan hadiah iringan.
Abdul Manaf berkata, usaha ke arah penyatuan itu sudah bermula melalui penganjuran pelbagai program pembangunan sama ada berkaitan pendidikan, sosial dan wanita. Mengenai anugerah yang diterima hari ini, Mantan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah itu menyifatkan ia sebagai pengiktirafan kepada golongan belia.
"Sudah tentu ini bakal menjadikan motivasi kepada saya untuk meningkatkan lagi sumbangan dan peranan dalam membantu perkembangan belia Islam di negeri ini," katanya. Sementara itu Faridah yang terharu dengan penganugerahan tersebut bersyukur kerana segala kerja amal yang dilakukannya mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada pihak berkaitan.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah bersama-sama membantu menjayakan segala program amal yang dijayakan selama ini," katanya.