|
||||
| Pilihanraya Perancis 2007 |
|
Oleh Mohd Firdaus Mohd Hamsin
JK Biro Penerangan ABIM Ahad lalu, menyaksikan Nicholas Sarkozy telah dipilih sebagai Presiden Perancis setelah menewaskan Segolene Royal, dalam pertandingan dua penjuru. Kemenangan Sarkozy yang memperolehi 53.06 peratus undi dibandingkan dengan pencabarnya, sememangnya telah dijangkakan. Ini bersandarkan kepada dua faktor utama. Pertama; dibandingkan dengan Royal, Sarkozy mempunyai pengalaman yang sangat luas selaku menteri kabinet di bawah kerajaan pimpinan Jacque Chirac. Selain daripada itu, Sarkozy dinilai mempunyai kekuatan serta karismanya yang tersendiri untuk mengembalikan status negara itu selaku kuasa besar dunia. MENGAPA SARKOZY? Ia dapat dinilai melalui manifesto pilihanraya beliau, yang antara lain menggariskan beberapa langkah pemulihan ekonomi negara itu yang lebih praktikal jika dibandingkan dengan polisi yang ingin diterapkan oleh Royal. Ini termasuk pengecualian cukai terhadap gaji pekerja yang bertugas melebihi masa yang ditetapkan. Dalam erti kata lain, Sarkozy ingin meningkatkan produktiviti golongan pekerja di Perancis yang selama ini hanya bertugas selama 35 jam seminggu, dengan menjanjikan imbuhan di atas jika mereka memilih untuk berbuat demikian. Di samping itu, pendirian tegas yang dilaungkan oleh Sarkozy di dalam isu kemasukan pendatang ke negara itu turut digunakan oleh beliau sebagai umpan untuk memancing undi. Dalam hal ini, nyata Sarkozy bijak memanipulasikan kebimbangan yang wujud di kalangan rakyat Perancis terhadap masyarakat pendatang terutama sekali dari Afrika Utara. Kebimbangan ini berasaskan kepada beberapa siri rusuhan yang cuba dikaitkan dengan golongan di atas. SARKOZY, ROYAL DAN ISLAM Sekaligus ia mencetuskan kebimbangan di kalangan golongan pendatang, terutama sekali yang beragama Islam, yang khuatir akan survival mereka di bawah kerajaan pimpinan Sarkozy. Ia ditambah dengan beberapa kenyataan serta pendirian beliau ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, yang disifatkan berbaur anti-Islam. Antaranya, ialah kenyataan pernah dibuat Sarkozy ketika rusuhan besar-besaran yang menggegarkan negara itu pada Oktober 2005. Meskipun Sarkozy telah berikrar untuk menjadi presiden untuk setiap lapisan masyarakat Perancis, kebimbangan itu tidak mudah untuk dipadamkan begitu sahaja. Meskipun Royal dilaporkan mendapat banyak sokongan di kalangan pengundi Islam, namun, ia tidak bermaksud bahawa beliau (Royal) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur anti-Islam. Antaranya ialah kenyataan yang pernah dibuat Royal yang mempersendakan amalan mengenakan hijab di kalangan wanita Islam di Perancis. Ditambah pula dengan jumlah keseluruhan pengundi Islam yang hanya berjumlah 3% daripada jumlah keseluruhan pengundi di Perancis, menyebabkan mereka tidak mampu memberikan sebarang impak di dalam pilihanraya tersebut. REAKSI SERTA JANGKAAN Associate Press melaporkan bahawa kemenangan Sarkozy ini telah disambut dengan meriah oleh Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush. Ini memandangkan keinginan Sarkozy untuk memperbaiki hubungan dua hala di antara Perancis dan Amerika Syarikat, yang terjejas teruk sepanjang era Jacque Chirac. Langkah ini dilihat sebagai salah satu usaha beliau untuk menempatkan semula Perancis di kalangan negara kuasa besar utama dunia. Namun adalah terlalu awal untuk menjangkakan sebarang perubahan drastik dalam dasar luar Perancis terhadap Amerika Syarikat, terutama sekali dalam kempen memerangi keganasan yang menjadi latar utama perbezaan pendapat antara Bush dan Chirac sebelum ini. Kemenangan Sarkozy turut disambut dengan nada positif di Israel . Media Israel melaporkan harapan di kalangan pemimpin serta tokoh politik utama di negara itu, yang berharap agar Sarkozy dapat membantu merapatkan jurang yang tercipta di antara Perancis serta Israel . Mantan Perdana Menteri Israel , Benjamin Netanyahu, dipetik bahawa kemenangan Sarkozy merupakan langkah penting dalam kempen memerangi golongan militan ataupun radikal Islam. Ia ditambah dengan usaha-usaha yang pernah dilakukan Sarkozy ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, yang dinilai seakan menzahirkan sokongannya terhadap rejim Zionis. Di kalangan media Turki, kemenangan Sarkozy disambut dingin berikutan dasar beliau yang menolak kemasukan Turki sebagai negara anggota Kesatuan Eropah (EU). Penentangan Sarkozy ini banyak dilandaskan kepada desakan agar Turki memperbaiki hubungan diplomatiknya dengan Greece serta Cyprus , di samping berhujah bahawa Turki bukan merupakan sebahagian daripada benua Eropah. Oleh itu, untuk tempoh beberapa tahun yang akan datang, situasi ini akan terus menghantui Kesatuan Eropah yang berhasrat untuk memperluaskan jumlah keanggotaannya. |




