Sejarah politik di Britain semenjak berakhirnya Perang Dunia Kedua sering diwarnai dengan persaingan di antara Parti Konservatif dan Parti Buruh. Jika dibandingkan dengan seteru politiknya itu, Parti Buruh yang turut dilabelkan sebagai parti berhaluan sosialis di Britain, mendapat sokongan yang sangat luas daripada golongan pekerja kelas bawahan serta di kalangan pemimpin-pemimpin kesatuan pekerja di negara itu. Sebelum pemilihan Tony Blair sebagai ketua parti itu pada Julai 1994, kerajaan yang dibentuk oleh Parti Buruh sering berhadapan dengan masalah dalaman serta tidak mampu bertahan lama. Seorang penganalisis terkemuka politik Britain, Nicholas Jones, di dalam bukunya mengulas, betapa kejayaan besar yang dicapai oleh parti itu pada 1997 bukan sahaja bersandarkan kepada populariti dan karisma yang dimiliki oleh Blair, tetapi juga dibantu dengan kelicikan jentera parti yang diterajui beliau yang menggunakan pelbagai kelemahan serta kontroversi yang melanda kerajaan Konservatif pimpinan John Major pada masa itu.
Meskipun mengalami kemerosotan pada pilihanraya umum 2001, ia lebih banyak bersandarkan kepada kurangnya jumlah pengundi yang keluar mengundi pada pilihanraya tersebut, dibandingkan dengan populariti Blair secara umum di kalangan rakyat Britain. Namun, tindakan Blair untuk menyertai kempen menentang keganasan yang diterajui Amerika Syarikat, telah merubah sama sekali persepsi rakyat Britain terhadap beliau. Ia diburukkan lagi dengan penyertaan tentera Britain dalam pencerobohan ke atas Iraq pada 2003, yang turut menyaksikan beberapa anggota Parti Buruh, di antaranya Robin Cook dan George Galloway, dipecat ataupun meninggalkan parti tersebut kerana polisi yang dilaksanakan oleh Blair itu. Susulan berita kematian tentera negara itu serta beberapa tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh mereka, menyebabkan desakan pengunduran tentera Britain semakin membara di kalangan rakyat, yang menyaksikan penubuhan pelbagai pertubuhan serta gerakan yang menentang pembabitan tentera British di Iraq. Ironiknya, pemimpin utama sebuah gerakan anti-perang di Iraq, Tony Benn, merupakan salah seorang tokoh lagenda dalam Parti Buruh dan politik Britain secara keseluruhannya. Sebelum ini, beliau (Tony Benn) turut memprotes tindakan ketenteraan yang diajukan kepada Iraq ketika Perang Teluk yang pertama pada 1991.
TONY BLAIR Pada 21 Februari yang lalu, Perdana Menteri Britain, Tony Blair, telah mengumumkan pengunduran 1,600 tentera British daripada Iraq. Ini akan disusuli dengan beberapa lagi siri pengunduran yang dirancang menjelang akhir tahun ini. Ironiknya, pengumumam pengunduran ini berlangsung serentak dengan upacara pengkebumian seorang anggota tentera Britain, Luke Simpson, sekaligus menjadikan jumlah korban yang melibatkan tentera dari negara itu di Iraq kepada 133 orang. Sekali imbas, tampak seperti Britain akan menamatkan penglibatan mereka secara langsung di dalam kempen memerangi keganasan yang di dalangi Washington, pada Mac 2003. Meskipun begitu, komitmen di sebalik kenyataan itu tetap menimbulkan keraguan.
Laman web rasmi Sunday Herald yang dipetik pada 25 Februari lalu, mengatakan bahawa pengunduran ini selain bergantung kepada penilaian terhadap situasi semasa di Iraq, ia turut dipengaruhi dengan tekanan serta permintaan daripada sekutu kuatnya, Amerika Syarikat. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan bahawa Amerika Syarikat merancang untuk memilih Britain sebagai salah satu tapak untuk menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu, Trident, untuk menangkis sebarang ancaman yang mungkin hadir daripada Iran. Sangkaan ini dikuatkan lagi dengan khabar angin di kalangan media Britain bahawa menteri kewangan negara itu, Gordon Brown, cuba mengatur lawatan peribadinya ke White House, sebagai usaha untuk melanjutkan hubungan kerjasama yang dirintis setelah Blair dijangka meletak jawatan pada penghujung September ini. Ini di tambah kerjasama erat di antara Britain dan A.S dalam beberapa operasi ketenteraan di bawah kerajaan yang dipimpin oleh Parti Konservatif sebelum ini, membayangkan akan kerjasama berterusan di antara kedua negara tersebut meskipun setelah ketiadaan Blair ataupun Parti Buruh kelak!
BROWN DAN PARTI BURUHSebagai menteri kewangan, Gordon Brown dianggap sebagai arkitek sebenar di sebalik pemulihan ekonomi yang dirintis oleh kerajaan pimpinan Blair, yang meliputi penurunan kadar inflasi serta pengganguran di samping peningkatan kadar pendapatan di kalangan rakyat Britain. Pertentangan politik yang berlaku di antara beliau dan Blair, mempunyai susur galurnya dengan sejarah pemilihan Blair sebagai pemimpin Parti Buruh pada Julai 1994. Walaupun cuba dinafikan oleh kedua-duanya, desas-desus bahawa terdapat kompromi yang dibuat di antara Blair dan Brown tidak dapat dipadamkan dengan mudah. Mengikut desas-desus ini, Brown dikatakan memberikan laluan untuk Tony Blair dipilih sebagai pemimpin Parti Buruh dan Perdana Menteri Britain, dengan syarat Blair akan menyerahkan jawatan itu kepadanya apabila dia ingin bersara kelak.
Pertentangan ini turut berlanjutan di dalam perbezaan polisi yang ingin diterapkan oleh kedua-duanya, meliputi dasar pendidikan, ekonomi dan beberapa isu domestik yang lain. Paling ketara ialah perbezaan pendapat mengenai penyertaan Britain dalam Matawang tunggal Eropah atau Euro, yang mana Blair dikatakan tidak sehaluan dengan Brown yang memilih untuk mengekalkan penggunaan matawang Pound Sterling. Namun, dalam isu penglibatan tentera Britain di Iraq, Gordon Brown dinilai tidak mempunyai pendirian yang tetap di sebalik beberapa kenyataan yang diberikan oleh beliau jika dibandingkan dengan beberapa orang rakan seperjuangannya yang lain dalam Parti Buruh.
Sekaligus ia meletakkan Parti Buruh itu sendiri di dalam dilema. Sementara ini, Parti Buruh merupakan pemegang majoriti yang sangat tipis di dalam parlimen Britain. Pada pilihanraya umum Britain yang diadakan pada 2005, Parti Buruh hanya memperolehi 347 kerusi daripada sejumlah 646 kerusi yang ditawarkan di samping kemerosotan yang sangat ketara dalam jumlah undi popular. Ini jauh meleset jika dibandingkan dengan kemenangan yang dicapainya pada 1997 (sila rujuk jadual 1.1). Dalam pilihanraya ini, ramai calon Parti Buruh menjadi korban kemarahan para pengundi terhadap kepimpinan Blair sekaligus hanya membentuk kerajaan berdasarkan majoriti yang tipis, dibandingkan dengan baki kerusi yang diperolehi oleh pembangkang yang diterajui Parti Konservatif.
Sejarah yang mencatatkan bahawa Parti Buruh memerlukan tempoh hampir 20 tahun untuk kembali menerajui majority di House of Common, nyata tidak ingin dilalui sekali lagi oleh kalangan anggota Parti Buruh. Justeru, tidak hairanlah terdapat desakan untuk Blair mengumumkan tarikh pengundurannya selaku pemimpin parti dan Perdana Menteri Britain. Jika perletakan jawatan Blair menjadi kenyataan, isu Iraq pasti kekal menjadi titik hitam sepanjang perjalanan politik beliau. Untuk Gordon Brown, sebarang perancangan atau tindakan yang akan diambilnya sekiranya beliau dipilih untuk memimpin Parti Buruh pada September ini, dilihat bakal memberikan kesan terhadap kedudukan parti tersebut di masa hadapan.
Jika beliau memilih untuk tunduk kepada desakan untuk mengundurkan tentera British sepenuhnya daripada Iraq, ia akan menimbulkan kesan negatif terhadap hubungan “intim” dua hala di antara negara itu dengan A.S. Namun begitu jika sebaliknya, ia akan mengancam kedudukan Parti Buruh di Westminster yang telahpun goyah menjelang pilihanraya umum yang mendatang. Ini diburukkan lagi dengan kritikan-kritikan terhadap beberapa polisi yang diamalkan oleh Blair, yang turut meliputi polisi keselamatan yang diperkenalkan pada 2006, yang dinilai mencabul hak serta kebebasan asasi rakyat negara itu, di samping keraguan yang timbul terhadap kemampuan serta karisma penggantinya kelak. Rakyat Britain telah membuktikan kemampuannya di dalam sejarah politik untuk menggulingkan kerajaan yang gagal memenuhi aspirasi mereka melalui hak demokrasi pilihanraya yang diberikan. Dan perkara kesempatan yang terluang ini pasti tidak akan dilepaskan terutama sekali oleh Parti Konservatif, Liberal Demokratik, dan beberapa parti pembangkang lain untuk menuai sokongan.
(Untuk bacaan lanjut serta terkini sila layari,
www.bbc.co.uk,
www.sundayherald.com, news.independent.co.uk,
www.stopwar.org.uk, dan,
www.timeslines.co.uk)
Jadual 1.1: Perbandingan jumlah kerusi yang dimenangi Parti Buruh pada 1997 dan 2005
Pilihanraya (Tahun) 1997 2004
Kerusi yang dimenangi Parti Buruh 418 356
Jumlah kerusi yang dipertandingkan 659 646
Tahun Jumlah
1997 13,518,167 (53.2%)
2005 9, 566,618 (35.3%)
Jadual 1.2: Perbandingan undi popular Parti Buruh 1997 dan 2005
Sumber: Nicholas Jones (1997) Laporan Pilihanraya Umum Britain 1991 dan 2005 melalui laman web rasmi Badan Penyiaran British. (
www.bbc.co.uk)