|
||||
| Alu-aluan Pengarah Seminar |
|
Assalamu'alaikum Warahmatul'lahi Wabarakatuh Alhamdulil'lah ke hadrat Allah Subhanal'Lahi Taala kerana dengan limpah Rahmat dan kurniaNya, inisiatif untuk menganjurkan seminar yang amat penting ini telah terlaksana. Selawat dan setinggi ucapan selawat dan salam buat junjungan besar Saidina Rasulullah Salla'Lahu 'alaihi Wassalam. Berlatarbelakangkan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara, ABIM mengambil kesempatan strategik ini untuk melakukan satu analisis terhadap kedudukan Islam di Malaysia pasca kemederkaan. Keperluan terhadap analisis ini dirasakan semakin mendesak melihat kepada pelbagai isu-isu yang dibangkitkan kebelakangan ini mempersoalkan kedudukan Islam dalam konsep dan amalan bernegara di Malaysia.
Walaupun kedudukan Islam telah terjamin dalam pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan, namun usaha-usaha berterusan pihak tertentu merungkai kembali kedudukan Islam dilihat sebagai suatu agenda yang berbahaya terhadap keharmonian dan kemakmuran negara. ABIM sentiasa percaya bahawa keutuhan Islam sebagai teras kemakmuran negara. Resipi kemakmuran dan kemajuan beracuan Islam inilah juga yang mendorong pimpinan negara untuk mengistiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Aspek universal dan tolerasi Islam dalam meraikan kepelbagaian agama, etnik, budaya masyarakat Malaysia terbukti berjaya berbanding beberapa negara Islam yang lain, Indonesia misalnya. Adalah diharapkan agar pengisian seminar ini mampu memugar kembali hakikat sejarah yang meletakkan Islam sebagai elemen penting terhadap penubuhan negara Malaysia. Besarlah harapan penganjur agar umat Islam khususnya generasi muda yang menghadiri seminar ini dapat menghargai gagasan yang dilontarkan oleh pembentang yang bukan sahaja arif dalam bidang mereka, tetapi juga merupakan aktivis Islam yang berperanan besar dalam usaha-usaha memartabatkan Islam di Malaysia. Moga seminar ini juga mampu memberikan gambaran sebenar berkaitan kedudukan Islam dalam realiti hari ini seterusnya membangkitkan sensitiviti dan aktivisme umat Islam mendepani isu-isu yang melingkari kedaulatan Islam di Malaysia. Terima kasih kepada ahli Jawatankuasa Seminar dan semua pihak yang menjayakan seminar ini. 'Keteguhan Islam Teras Kemakmuran Negara!' Mohamad Raimi Ab.Rahim Pengarah Seminar |




