GK_TOOLS
A+ R A- wide normal
  • Skip to content
Utama
Thursday, 17 May 2012   25. Jamadil Akhir 1433
  • UTAMA
  • PROFIL
    • SEJARAH
    • VISI,MISI & BUDAYA
    • PIMPINAN
    • SEKRETARIAT ABIM
    • SUMBANGAN
    • LAGU ABIM
    • DAFTAR KEAHLIAN
  • PRODUK
  • PERKHIDMATAN
  • JARINGAN
    • ABIM NEGERI
    • AGENSI
    • JARINGAN ABIM
  • MEDIA ABIM
    • VIDEO ABIM
    • ABIM USTREAM
    • RADIO ABIM
  • FOTO GALERI
  • HUBUNGI KAMI

Ukhuwwah Dalam Gerakan : Catatan Presiden ABIM

Saya menerima jemputan memberikan Tazkirah dalam Tamrin Abim, KPIJ dan Wadah Negeri Johor dengan hati yang lapang. Sememangnya saya tidak begitu asing dengan beberapa pimpinan yang telah saya kenali dari zaman saya di PKPIM lagi. Tambahan pula memang saya merencana untuk pulang berbuka di rumah mertua saya memandangkan ini adalah kali pertama bonda mertua saya melalui Ramadhan tanpa ayahanda mertua yang menyahut panggilan Ilahi pada 2010 yang lalu.


Program yang berlangsung di Masjid Jamek Yong Peng, kira-kira 110km dari Johor Baharu dijadualkan akan memulakan sesi petangnya pada jam 2.00. Alhamdulillah, saya selamat tiba kira-kira 10 minit sebelum masa yang yang ditetapkan. Kelihatan Ustaz Abdul Razak Arifin, YDP ABIM Johor menyapa mesra menyambut ketibaan saya.

Tamrin yang menggabungkan ketiga-tiga komponen jamaah di negeri Johor ini, bukan mudah hendak dilaksanakan. Saya cukup tabik dan hormat dengan kemampuan sahabat-sahabat di Johor menjayakannya. Syabas saya ucapkan.

Saya beregu dengan Sdr Ridhuan, Timbalan Presiden PKPIM. Beliau begitu bersemangat ketika menghujahkan betapa kualiti generasi perlu diberi perhatian dalam memantapkan wadah perjuangan.

Saya sambut saranan beliau dengan menekankan betapa keberkesanan sesebuah gerakan hanya dapat dicapai dengan disiplin ahlinya, menghormati masa dan keteraturan perkerjaan. Saya pertegaskan juga pesan Prof Madya Dr. Abdul Halim El-Muhammady yang mahukan kematangan dalam berorganisasi diberi perhatian, keseimbangan gerakerja perlu difahami dan dikendalikan dengan penuh berhemah.

Saya pulang ke Johor Baharu, sebelum azan asar berkumandang bagi membolehkan saya berbuka puasa bersama keluarga.

Keesokannya paginya saya merancang untuk ke Simpang Renggam atas urusan keluarga. Sampai di susur keluar Sedenak saya menelefon Ustaz Abdul Razak bagi bertanyakan perjalanan program, dengan nada yang sayu beliau menyatakan salah seorang peserta tamrin telah meninggal dunia pagi tadi. Berderau darah saya. Kenapa? Bagaimana terjadi? Dan siapa? Bertubi-tubi soalan saya lontarkan kepada beliau. Lalu beliau menjelaskan bahawa peserta yang meninggal adalah ahli Wadah dari daerah Segamat, Haji Shaari bin Ahmad. Kemungkinan disebabkan serangan jantung.

Berdetik hati saya, bertuahnya allahyarham yang dipanggil ketika umat Islam sedang melalui bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allahyarham dipanggil ketika sedang bertamrin di masjid dan dipanggil pulang Allah ketika mahu bersiap untuk bertahajjud. Allah Maha Pemberi Keampunan dan Dialah yang Maha berkuasa.

Saya meminta izin bonda mertua saya untuk terus ke Masjid Jamek Yong Peng, dan menangguhkan hajat ke Simpang Renggam. Saya ingin bersama dengan para sahabat yang sedang menguruskan jenazah orang yang amat bertuah ini.

Saya amat terharu melihat kasih sayang sahabat seperjuangan yang terus mengalir sehingga ke akhir hayat. Jenazah dimandikan dan dikafankan oleh sahabat-sahabat sejatinya, adik-adik dan anak-anak yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan beliau. Nama beliau akan terus saya ingati walaupun tidak pernah mengenali beliau secara dekat.

Mudah-mudahan keluarga Allahyarham akan terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi kehidupan ini. Buat sahabat yang baru memulakan langkah perjuangan inilah secebis kisah pejuang yang ditakdirkan Allah memperoleh dakapan kasih sayang sahabat seperjuangan yang tidak pernah kering. Moga ukhuwah kita berterusan sehingga ke akhir hayat.

Buat Allahyarham Haji Shaari bin Ahmad, kita doakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan roh para mujahid dan hamba-hamba Allah yang soleh. Amin. Al-Fatihah

Design By ABIM © Angkatan Belia Islam Malaysia 2012. All rights reserved.