GK_TOOLS
A+ R A- wide normal
  • Skip to content
Utama
Thursday, 17 May 2012   25. Jamadil Akhir 1433
  • UTAMA
  • PROFIL
    • SEJARAH
    • VISI,MISI & BUDAYA
    • PIMPINAN
    • SEKRETARIAT ABIM
    • SUMBANGAN
    • LAGU ABIM
    • DAFTAR KEAHLIAN
  • PRODUK
  • PERKHIDMATAN
  • JARINGAN
    • ABIM NEGERI
    • AGENSI
    • JARINGAN ABIM
  • MEDIA ABIM
    • VIDEO ABIM
    • ABIM USTREAM
    • RADIO ABIM
  • FOTO GALERI
  • HUBUNGI KAMI

Ramadan Dan Erti Kesabaran - Amidi Manan

Bulan Ramadan juga dikenali sebagai bulan kesabaran. Bulan untuk memahami dan menghayati  silibus tarbiah Allah yang datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Tarbiah Allah yang penuh dengan hikmah tidak terduga yang tiba tanpa mengenal masa. Maka bagi meningkatkan lagi pemahaman kita mengenai semangat atau ruh Ramadan memerlukan kita memahami erti kesabaran terlebih dahulu. Sabar juga perlu terjelma dalam segala bentuk aspek kehidupan. Ia menjadi salah satu kriteria manusia kerana kesabaran bukan sifat bagi haiwan kerana kekurangannya dan juga sifat malaikat lantaran kesempurnaannya. (Al-Ghazali)


Sabar dari sudut bahasanya menahan diri terhadap sesuatu. Kalimah sabar dalam berbagai-bagai bentuk diulang-ulang sebanyak tidak kurang dari 70 kali dalam Al-Quran (Al-Ghazali). Jumlah ini member indikasi bahawa sabar merupakan satu sifat utama yang ditekankan oleh Al-Quran.

Firman Allah s.w.t:

28. Dan Bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya Telah kami lalaikan dari mengingati kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.

Surah Al-Kahfi: 28

Bersabar ketika musibah datang melanda merupakan lumrah yang sering kita lalui, tetapi bersabar ketika berhadapan kesenangan sering kita alpa. Tatkal senang kita sering lalai dari mengingati Allah, lupa kepada azab neraka dan lupa terhadap hari pembalasan. Imam Al-Ghazali membahagikan sabar kepada dua bahagian iaitu sabar zahir dan sabar batin. Sabar zahir adalah kesabaran tubuh badan kita secara fizikal ditimpa kesakitan. Penyakit itu mungkin sekejap atau pun berpanjangan. Atau juga fizikal kita menjadi cacat sejak lahir mahu pun setelah kita membesar. Tambahan pula ketika ini dunia ditimpa segala macam penyakit yang boleh diistilahkan baru dan ganjil. Penyakit yang amat jarang kita dengar dulu tetapi kini menjadi kebiasaan. Begitu juga dengan kecacatan. Semakin maju dunia perubatan semakin rumit pula penyakit yang dihidapi oleh manusia.

Bahagian yang kedua ialah sabar batin. Sabar batin ini agak luas perbincangannya. Inilah sabar yang diperlukan oleh manusia untuk berhadapan dengan ujian hidup. Saya tidak berhasrat untuk mengupas dan mengulas kesemua jenis sabar batin tetapi cukuplah sekadar jenis-jenis yang penting untuk kita renungi. Sabar ketika ditimpa musibah, seperti kehilangan sanak saudara atau rakan taulan kerana meninggal dunia, hilang harta benda kerana banjir dan bencana alam yang lain. Tatkala ini seseorang yang kehilangan sabar akan merasa resah gelisah. Ada yang mencari pihak atau individu untuk dipersalahkan bagi menghilangkan kegundahan. Ada pula yang menyalahkan diri sendiri dan tak kurang juga yang menyalahkan Allah s.w.t. Kita lihat sahaja perangkaan kes bunuh diri yang semakin meningkat. Peningkatan jumlah kes ini turut melibatkan orang Islam. Beberapa tahun dulu kita dikejutkan dengan seorang pelajar sekolah rendah di utara semenanjung membunuh diri kerana kecewa tidak mendapat 5 A dalam peperiksaan UPSR.

Jenis sabar kategori batin yang seterusnya adalah sabar ketika berhadapan dengan kemewahan hidup. Seorang yang begitu lama hidup dalam kemiskinan mungkin akan melepaskan geram apabila mendapat kemewahan secara tiba-tiba. Tabiat seperti boros, berbelanja tanpa had, pembaziran adalah sifat yang dicela oleh Allah sehingga dilabel sebagai sekutu syaitan. Kita seharusnya membina generasi muda untuk mempunyai daya tahan yang kuat. Generasi yang kuat adalah generasi yang lasak. Lasak bermakna tidak manja dan mampu mengharungi kehidupan dengan jati diri yang terpuji. Satu kisah apabila Saidina Ali mencadangkan kepada isterinya Siti Fatimah untuk meminta pembantu rumah atau hamba. Kebetulan pula ketika itu Rasullullah s.a.w sedang membahagi-bahagikan tawanan perang. Cadangan ini dikemukakan oleh Saidina Ali lantaran kasihan melihat lebam di tengkuk Siti Fatimah kerana mengangkut air. Begitu juga tangan Fatimah yang kasar kerana mengisar gandum. Apabila Siti Fatimah berjumpa dengan ayahandanya Rasulullah, maka jawab Rasulullah ada amalan yang lebih berharga dari menerima seorang hamba. Maka disuruh Siti Fatimah untuk mengamalkan wirid Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar sebanyak 33 kali setiap hari bagi memudahkan urusan sehariannya.

Begitu juga dalam konteks ini, Rasulullah amat menyarankan agar anak-anak lelaki tidur diatas tempat yang keras. Mereka diajar untuk berenang, memanah dan menunggang kuda. Apakah tidak ada ketika itu bagi mereka yang berada tidak mempunyai kereta kuda? Makanan terhidang tanpa perlu pergi memburu dan memanah haiwan? Ini semua adalah bagi melahirkan generasi Islam yang lasak. Kita amat hairan apabila ada ibu bapa yang memanjakan anak secara keterlaluan. Ada yang agak liat untuk balik ke kampong dengan alasan dikampung tidak ada alat pendingin hawa. Anak sukar untuk tidur kerana kepanasan. Ada pula yang sanggup untuk menyewa hotel berdekatan kampung semata-mata melayani karenah anak. Jenis sabar yang seterusnya adalah sabar dalam menyimpan rahsia. Rahsia itu mengkin berbentuk maklumat yang berharga, fakta atau data yang membahayakan negara atau mungkin juga ia adalah keaiban seseorang. Keaiban kini merupakan suatu aset. Aset untuk mengugut dan menjatuhkan air muka seseorang. Sedangkan Islam dengan jelas melarang perbuatan ini. Dunia hiburan hari ini penuh dengan insiden yang memualkan. Kisah rumah tangga dan pergaulan luar batasan seolah-olah menjadi penyeri yang wajib. Tidak seronok membaca kisah peribadi jika tanpa berita yang mengaibkan.

Sekiranya perkara ini berterusan dan berleluasa, maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang hilang adab dan tatasusila. Perkara yang aib akan menjadi topic seharian yang dibincangkan sehingga generasi muda kehilangan qudwah hasanah atau contoh teladan yang boleh diikuti. Timbullah situasi dunia sensasi dengan keaiban dijaja merata-rata. Ada satu kisah yang menarik untuk direnungi. Ketika pulang dari peperangan Uhud yang menyaksikan ramai golongan sahabat yang awal memeluk Islam gugur syahid maka turunlah ayat ini:

142. Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.

Allah s.w.t menyindir tentang kebenaran berjihad yang dilalui oleh para sahabat ketika itu. Ini disebabkan insiden sebahagian sahabat yang ditugaskan sebagai pasukan pemanah telah lari meninggalkan posisi lantaran mengejar harta yang ditinggalkan oleh musuh. Walau pun kekalahan dalam Perang Uhud telah ditentukan Allah tetapi Allah mahu mendidik sahabat agar sabar ketika berhadapan dengan detik-detik kemenangan yang hampir menjelma. Tetapi disebabkan kegelojohan dan hilang pertimbangan apabila melihat harta yang ditinggalkan tentera Islam menerima padah dengan Rasulullah sendiri hampir terkorban.  

Firman Allah s.w.t :

45.  Hai orang-orang yang beriman. apabila kamu memerangi pasukan (musuh), Maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya (zikir dan doa) agar kamu beruntung.

46.  Dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

47.  Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya' kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan.

Surah Al-Anfal: 45 – 47

Dalam ayat ini dengan jelas dinyatakan 6 perkara ketika berhadapan dengan musuh iaitu:

1. Keteguhan hati – tekad dan semangat yang tinggi bagi berhadapan dengan musuh kerana salah satu kunci kejayaan adalah keyakinan. Seorang mujahid dakwah mestilah yakin dengan mesej yang akan disampaikannya. Ia mampu diperolehi dengan ilmu yang sahih dan sikap yang sihat. Tanpa ilmu dan sikap keyakinan yang mantap tidak akan terbina.
2. Berzikir dan berdoa kepada Allah – Inilah amalan yang menjadi rahsia kegemilangan umat terdahulu. Rasulullah s.a.w mendidik para sahabat agar sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dengan melakukan amalan-amalan sunat. Bermunajat kepada Allah menginsafi kelemahan dan kekerdilan diri ketika berhadapan dengan musuh.
3. Mentaati Allah dan Rasul – sudah tentu ia merupakan sesuatu yang wajib. Kerana dengan manhaj Allah sahaja kita akan berjaya dan mendapat kemenangan. Kemenagan yang hakiki bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
4. Jangan berbantahan sehingga menjadi gentar – fokus kepada matlamat perjuangan dan hindarkan diri dari perbuatan berbantahan yang melemahkan. Dalam banyak pertempuran yang melibatkan pertempuran tentera yang tidak seimbang maka taktik memecahkan perpaduan musuh sentiasa menjadi pilihan. Kita ambil iktibar dari peperangan Khandak. Rasulullah sendiri menghantar seorang sahabat, Naim bin Masud bin Amir Al-Asyja’ie dari suku Yahudi Al-Ghatfan yang baru memeluk Islam untuk memecahkan persepakatan antara kafir Quraisy yang mengepung diluar dengan kelompok Yahudi yang memberi tekanan dari dalam.
5. Bersabarlah – ini merupakan kunci kejayaan di dunia dan akhirat. Dalam berhadapan dengan musuh banyak cabaran yang mesti di lalui. Keperitan perjuangan boleh melunturkan semangat dan memusnahkan impian. Suruhan ini diperkukuhkan lagi dengan kesanggupan Allah bersama dengan orang yang sabar. Apa lagi yang diharapkan selain Allah bersama dalam perjuangan.
6. Elakkan keangkuhan dan rasa riya’ sehingga menghalangi orang dari jalan Allah – Inilah sifat yang keji. Angkuh dengan kejayaan dan merendah-rendahkan orang lain. Menafikan kehebatan orang lain. Sanggup menghapuskan sejarah, menipu fakta demi menunjukkan kejayaan yang dikecapi tidak boleh ditandingi. Ini bertentangan dengan sikap yang dianjurkan oleh Islam.

Jelas kepada kita kepentingan kesabaran dalam menghadapi ranjau kehidupan. Puasa melatih kita bersabar. Sabar dengan segala karenah ketika berpuasa. Keletihan ketika berpuasa jangan dibiarkan meragut kesabaran. Allah ingin mendidik kita bahawa kekuatan hati dengan sifat sabar jauh lebih berharga dari kekuatan jasad dalam berhadapan dengan musuh.

SMA Al-Ihsan, Kuantan

4 September 2009, 9.20 pagi.
Design By ABIM © Angkatan Belia Islam Malaysia 2012. All rights reserved.