GK_TOOLS
A+ R A- wide normal
  • Skip to content
Utama
Thursday, 17 May 2012   25. Jamadil Akhir 1433
  • UTAMA
  • PROFIL
    • SEJARAH
    • VISI,MISI & BUDAYA
    • PIMPINAN
    • SEKRETARIAT ABIM
    • SUMBANGAN
    • LAGU ABIM
    • DAFTAR KEAHLIAN
  • PRODUK
  • PERKHIDMATAN
  • JARINGAN
    • ABIM NEGERI
    • AGENSI
    • JARINGAN ABIM
  • MEDIA ABIM
    • VIDEO ABIM
    • ABIM USTREAM
    • RADIO ABIM
  • FOTO GALERI
  • HUBUNGI KAMI

Tuntutan Bersahur - Timbalan Presiden Abim

Sahur merupakan satu ibadah yang amat dituntut ketika bulan Ramadhan. Sahur memberikan makna yang tersendiri terhadap puasa seperti yang disabdakan oleh Baginda s.a.w:

عن عمرو بن أتعاص ان رسول الله صلى الله عايه وسلم قال فصل ما بين صيام اهل الكتاب اكلة السهور

Dari ‘Amru Al-‘Ash r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Perbezaan puasa kita dengan puasa Ahli Kitab, ialah makan sahur”. (Sahih Muslim Hadith no: 1060)

Begitu besar ertinya ibadah bersahur sehingga ia membezakan puasa ummat Muhammad dengan ahli kitab yang sebelumnya. Sahur adalah makan sebelum bermulanya puasa. Jelasnya sahur mestilah dengan niat untuk berpuasa. Jika tidak ia menjadi seperti sarapan pagi yang dimakan setiap hari.

Waktu bersahur seperti mana yang disebutkan dalam hadith:

عن زيد بن ثابت رضى الله عنه قال تسحرنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ثم قمنا الى اصلاة قلت كم كان قدرما بينهما قال خمسين آية

Dari Anas r.a dari Zaid bin Tsabit r.a katanya: “Kami pernah makan sahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Tidak berapa lama kemudian kami pergi solat.” Tanya Anas, “Kira-kira berapa lama jaraknya antara waktu makan sahur dengan solat?” Jawab Zaid, “Kira-kira selama membaca 50 ayat”.(Sahih Bukhari: 950)

Read More

Itulah jarak waktu yang pernah ditunjukkan oleh Baginda s.a.w dalam bersahur. Jika dalam masyarakat kita hari ini ia lebih dikenali sebagai waktu imsak. Walau ada yang tersalah faham tentang waktu imsak yang mengatakan ia waktu tamat untuk makan dan minum, namun dalam masyarakat kita secara umumnya menerima bahawa sahur elok atau sunat dilewatkan. Agak janggal jika sahur dilakukan pada tengah malam atau lebih awal dari itu.

Terdapat juga disesetengah tempat aktiviti ‘kejut sahur’ dilakukan. Ia menjadi seperti satu keraian demi menunjukkan keutamaan bersahur. Mungkin inilah antara keseriusan ulama’ terdahulu dalam mengamalkan sunnah dan mahukan masyarakat umum memahami dan mengamalkannya.

Perkara ini dinyatakan dalam sepotong hadith:

عن انس رضى الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم تسحروا فان فى سحور بركة

Dari Anas r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Bersahurlah kamu, kerana bersahur itu mengandungi berkat.” (Sahih Bukhari: 952)

Itulah pernyataan ringkas dari Baginda s.a.w dalam mengalakkan ummatnya bersahur. Pesanan yang ringkas tetapi mempunyai makna yang mendalam dalam menterjemahkan Islam sebagai agama fitrah.

Menurut kajian pemakanan, sepanjang 24 jam sehari hidangan yang banyak mempengaruhi tubuh badan kita adalah sarapan pagi. Sebagaimana yang kita ketahui perut kita akan mengeluarkan jus gastrik yang antara kandungannya adalah asid hidroklorik. Asid hidroklorik yang dihasilkan oleh perut amat pekat sehingga boleh mencederakan dinding perut. Maka makanan yang dimakan ketika pagi dapat mengelakkan dinding perut dari tercedera.

Maka mereka yang mengatakan bahawa puasa boleh mendatangkan gastrik (atau lebih tepatnya gastritis) adalah tidak benar. Yang sebetulnya gastritis hadir jika berpuasa tidak mengikut kaedah yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w.

BBC News mengeluarkan satu kenyataan pada 7 Mac 2003, sarapan pagi mampu memelihara kesihatan dengan lebih baik lagi.

Dr. Mark Periera dan rakan-rakanya dari Universiti Harvard, menyatakan dalam hasil kajiannya bahawa sarapan pagi dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, obesiti dan diabetes. Ini kerana paras gula dalam darah dapat dikawal dengan lebih baik oleh badan. Perkara ini terjadi kerana rangsangan yang diberikan oleh hormon glukagon yang menukarkan glikogen (sejenis makanan simpanan dalam badan) kepada glukosa. Paras glukosa menurun ketika waktu kita tidur kerana kita tidak memerlukan tenaga yang banyak. Lantas apabila kita bangun pagi dan melakukan aktiviti yang berat maka tenaga yang banyak perlu dijanakan. Ketika inilah glikogen akan ditukarkan kepada glukosa bagi diproses kepada tenaga. Penukaran ini akan menaikkan paras glukosa atau gula dalam darah.

Kesan sarapan pagi dan juga sahur lebih besar pada kanak-kanak. Jika kita ingin melatih anak-anak kecil berpuasa maka latihlah dengan menitik beratkan sahur.  Ini kerana kanak-kanak lebih aktif dan energetik kerana mereka belajar sepanjang masa sambil bermain, mandi dan lain-lain aktiviti seharian. Selain dari itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa pengabaian sarapan boleh meyumbang kepada kekurangan sel darah merah atau juga dikenali sebagai anaemia.

Apakah makanan yang sebaik-baiknya diambil ketika bersahur. Untuk menjawab pertanyaan ini saya bawakan sepotong hadith :

Dari Rasulullah s.a.w : “ Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah tamar”.

HR Ibnu Hibban dan Baihaqi

Tamar mengandungi berbagai-bagai khasiat.Maka tidak hairanlah tamar disebut sebanyak 21 kali dalam Al-Quran. Maka kita perlu memperbanyakkan makan tamar bukan sekadar pada waktu berbuka tetapi juga pada waktu bersahur.

Sahur juga memberikan satu isyarat terhadap jadual kehidupan seharian bagi seorang muslim. Seorang muslim perlu bangun awal yakni sebelum subuh bagi memulakan kehidupannya. Bangun awal juga mampu meningkatkan daya melawan penyakit oleh tubuh badan.

Justeru itu puasa jika dilakukan mengikut kaedah yang tepat mampu meningkatkan produktiviti bukan mengurangkannya. Ini kerana puasa mampu meningkatkan kecergasan badan, mempunyai masa yang banyak untuk berkerja dan menjaga kesihatan. Inilah rahsia kekuatan umat terdahulu yang mampu menempuh perjalanan yang jauh dipadang pasir untuk berperang. Perang Badar, perang yang menentukan hidup mati perjuangan Islam ditempuh dengan jayanya oleh para sahabat radiallahuanhum. Tiada sekelumit alasan yang dikeluarkan lantaran berpuasa untuk meloloskan diri dari medan jihad peperangan.

Inilah keindahan Islam yang menterjemah keselamatan dan kedamaian bukan sahaja dalam bentuk konseptual tetapi biologikal. Islam yang syumul memberikan hak kepada semua peringkat masyarakat dan juga hak kepada tubuh badan sebagaimana satu kisah dalam hadith Baginda s.a.w maksudnya:

Dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a, katanya Rasulullah bersabda kepadanya: “Wahai Abdullah! Benarkah khabar orang kepadaku, bahawa engkau puasa sepanjang siang dan bangun untuk solat sepanjang malam?” Jawabku (Abdullah) “Benar Rasulullah s.a.w”. Sabda Nabi s.a.w ‘Janganlah engkau lakukan lagi. Puasalah sehari dan berbukalah sehari. Bangunlah dan tidurlah! Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu; matamu mempunyai hak atasmu; isterimu mempunyai hak atasmu; dan tamumu mempunyai hak atasmu. Dan sesungguhnya cukuplah kiranya engkau puasa tiap-tiap bulan tiga hari. Maka setiap kebaikanmu akan digandakan sebanyak sepuluh kali. Sesungguhnya yang demikian itu sama dengan puasa sepanjang masa’. Aku (Abdullah) minta diperbanyakkan, maka diperbanyakkan untukku Aku berkata “Ya rasulullah aku sanggup”. Jawab Baginda “Puasalah seperti puasa Nabi Daud a.s dan janganlah engkau lebihi dari itu.” Aku bertanya “Bagaiman puasa Nabi Daud a.s?” Sabda Baginda, “seperdua masa” Setelah masa tuanya, Abdullah berkata ‘Wahai kiranya, saya terima kelonggaran dari Nabi s.a.w.”

Inilah keindahan Islam sebagai Rahmat sekalian alam.

Design By ABIM © Angkatan Belia Islam Malaysia 2012. All rights reserved.