Serangan ke atas World Trade Center di Amerika Syarikat (AS) pada tanggal 9 November 2001 mencetuskan 'fenomena' terhadap Islam. Biarpun ia mencetuskan Islamophobia tetapi agama suci yang dijamin membawa penganutnya ke syurga itu terus subur. Malah, statistik membuktikan, insiden itu mengundang perasaan ingin tahu di kalangan penduduk bukan Islam. Ramai yang pada awalnya mengkaji untuk mencari keburukan Islam akhirnya mengucap syahadah.
Semuanya selepas melihat keindahan dan kebenaran yang terkandung di dalam agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW lebih 1,432 tahun hijrah yang lalu. Apa yang penting, umat Islam perlu mengambil peluang daripada situasi ini terutamanya dalam berdakwah kepada orang bukan Islam. Ia supaya mereka memahami Islam sebagai mana yang diajar oleh Rasulullah dan yang terkandung di dalam al-Quran.
Antara lokasi atau ikon untuk mendekati Islam sudah tentu adalah masjid. Maka, umat Islam perlu menggunakan peluang yang ada untuk memperkenalkan Islam kepada golongan ini. Ia boleh dilakukan melalui dakwah bil hal (melalui perbuatan) selain dakwah bil lisan (dakwah melalui tulisan atau kata-kata).
Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. (an-Nahl: 125)
Inilah yang dikongsi oleh bekas ahli geologi, Syed Raziuddin Ali, anak kelahiran India yang kini menetap di Bahrain. Beliau adalah pengasas Discover Islam yang ditubuhkan pada 1987 di Bahrain. Antara matlamat utama adalah mendekati golongan bukan Islam melalui dakwah. Beliau juga berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pengajar Program Pemandu Pelancongan Masjid (ATMT) di negara tempat tinggalnya selain menerbitkan beberapa makalah pengenalan tentang Islam.
Katanya, program ATMT berkesan dalam memberi kesedaran tentang kesucian dan budaya Islam kepada golongan bukan Islam. "Setakat ini, ia telah berjaya di Bahrain selama 13 tahun dan Malaysia (tiga tahun). Ia juga telah diperkenalkan di beberapa negara seperti Oman, Singapura, Turki dan Sri Lanka.
"Pendek kata, ia adalah peluang terbaik memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Konsep Kesedaran Pelancongan di Masjid' pada Konvensyen Kesedaran Dakwah Melalui Pelancongan Masjid di Institut Latihan Islam Malaysia
(ILIM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Konvensyen enam hari itu adalah anjuran ILIM, Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia, Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti (Kesuma) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pelancongan Malaysia. Utusan Malaysia
