NAIB Presiden Helwa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq, berkata apabila wanita mengandung kerana terlanjur, tetapi teman lelaki enggan bertanggungjawab, mula timbul rasa panik, takut dan serta benci sehingga tidak ada perasaan keibuan terhadap anak berkenaan.
“Rasa kebencian yang mempengaruhi pemikiran menjadi faktor penolakan yang amat kuat terhadap bayi sehingga menyebabkan tidak ada perasan belas terhadap bayi berkenaan.“Ciri-ciri dalam diri pembuang bayi antaranya kecelaruan jiwa akibat keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak. Tiga golongan disasarkan ialah golongan yang tiada langsung asas, pendidikan dan perasaan terhadap agama; golongan yang mempunyai pendidikan agama, mengetahui hukum-hakam, tetapi kerana sesuatu yang mengecewakan, mereka memilih jalan yang menyeleweng dan golongan yang tahu agama, tetapi masih memilih jalan yang tersasar,” katanya.
Hakikatnya punca awal iaitu kehamilan perlu dielakkan dengan menggerakkan komuniti Islam yang komited dalam melaksanakan tugas amal melalui pembudayaan masjid, surau dan komuniti setempat.“Mandat mesti diberikan kepada institusi ini supaya masyarakat yakin dengan kredibiliti institusi agama. Penegasan dan penghayatan solat sebagai mekanisme menghalang perbuatan mungkar dengan pengertian menyeluruh sebagai ‘imad ad-dinn’ selain membugar inspirasi solat bukan setakat membina peribadi, malah komitmen umat Islam. Kempen solat besar-besaran pada Hari Kemerdekaan, Tahun Baru, perlawanan bola sepak, konsert perlu diadakan, bukan hanya ketika ditimpa musibah.
“Saya fikir masyarakat hari ini perlu menjaga dan mengetahui perihal keluarga jiran tetangga masing-masing seperti suasana di kampung. Dulu orang tidak buat maksiat kerana takut dan malu dengan orang kampung, tetapi hari ini apabila adanya sikap keakuan, perasaan malu semakin terhakis, menyebabkan keadaan persekitaran boleh menjadi semakin buruk,” katanya. Masyarakat kini tidak dinafikan semakin terhakis adab dan lahirnya biadap yang menjadikan disiplin dalam keluarga semakin longgar.
Malah, katanya, wadah cerita di televisyen yang menayangkan hiburan semata-mata menjadikan ‘kiblat’ anak-anak yang mana ibu bapa sibuk dengan urusan dunia, selain ibu bapa sendiri yang cetek ilmu agama. “Dulu ada perbezaan aktiviti siang dan malam. Malam orang sibuk membaca al-Quran dan berjemaah, tetapi hari ini berapa ramai ibu bapa yang tidak peduli waktu untuk berhibur atau membawa anak-anak keluar malam sama ada sekadar untuk makan malam, bermain boling dan menonton wayang?
“Menangani bayi di buang merata-rata pula, banyak negara ada Baby Hatch iaitu konsep meninggalkan bayi di tempat yang disediakan dan boleh ambil semula dalam tempoh dua tahun. Tetapi sampai bila? Ibu dan bapa anak itu perlu diambil tindakan, sama ada di bantu, dijatuhkan hukuman dan sebagainya kerana sekali hamil dan membuang anak berkenaan, memungkinkan ia berlaku lagi. Dan bagi lelaki pula, mereka akan terus mencari wanita sebagai mangsa kerana mereka tidak menghormati wanita,” katanya.
