|
Oleh: Muhamad Razak Idris
Ada dua perkara penting yang harus disedari berkaitan tentang Ramadhan oleh umat Islam. Pertama, bulan ini ialah detik kelahiran umat Islam itu sendiri. Detik ini dikaitkan dengan penurunan wahyu al-Quran di bulan Ramadhan dan kesannya ialah kelahiran sebuah masyarakat dan peradaban yang sungguh bermakna di pentas sejarah kemanusiaan hingga ke hari ini. Kedua, Ramadhan ialah madrasah bagi mencapai taqwa. Penghayatan secara menyeluruh terhadap ibadah berpuasa di bulan ini akan membawa manusia menuju tingkat tertinggi kesempurnaan seorang insan di sini Allah yang dikenal sebagai taqwa. Ramadhan sebagai bulan kelahiran umat Islam dapat kita telusuri menerusi firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 185: “Ramadhan ialah bulan di mana al-Quran telah diturunkan, sebagai petunjuk bagi manusia dan sebagai pembeda antara yang benar dan batil. Kerana itu, sesiapa yang berada di bulan itu, maka berpuasalah”.
Peristiwa penurunan wahyu ini amat bermakna sekali kepada seluruh kehidupan. Ini kerana, pedoman wahyu telah menjadi sumber dan pelita menerangi cara hidup yang bertamadun bagi seluruh manusia. Di era awal perkembangan Islam, ajaran wahyu telah berjaya merubah watak dan keperibadian masyarakat Arab yang pada keadaan yang amat mundur sebelumnya menjadi tonggak kepada pembinaan peradaban Islam yang unggul di pentas sejarah. Sejarah ini amat bermakna sekali dan ia telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai detik yang amat bermakna kepada seluruh umat Islam. Di bulan ini juga, ibadah berpuasa menjadi kefardhuan. Perintah ibadah ini bertujuan membawa masyarakat menujuk kepada taqwa. Hal ini boleh dilihat di dalam firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 184. “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” Cita-cita dan tujuan ibadah bagi membawa manusia menuju taqwa telah menjadikan Ramadhan amat istimewa sekali kepada kita.
|
|
|
|
Oleh : Hasri bin Harun (Presiden MISG ABIM UK-Eire)
Alhamdulilah, Ramadan kembali menjelma pada tahun ini dalam suasana yang cukup menggembirakan umat yang benar-benar beriman. Dikala perjalanan hidup yang banyak sekali cabaran dan dugaan ini, kita masih diberi kesempatan oleh Allah untuk melangkah ke Ramadan dengan penuh syukur dan kegembiraan. Namun disebalik ketenangan dan kegembiraan kita menanti Ramadan mulia yang ini, berapa ramai dikalangan umat islam di seluruh dunia yang menyambut Ramadan dengan darah dan airmata tatkala dibelenggu dengan kemiskinan, bencana alam dan kesusahan, peperangan dan sebagainya. Namun kita percaya bahawa dengan pelbagai rencam kehidupan tersebut sudah pasti ada hikmah dan pengajaran buat kita umat islam untuk saling meletakkan diri kita menghayati makna kehadiran Ramadan dengan jiwa yang murni. Lantas bimbingilah hati dan jiwa kita dengan tasyakur terhadapnya atas nikmat iman dan islam kita yang masih teguh walau dihalang dengan onak dan duri. Firma Allah yang bermaksud :
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun” (2:155-156)
Justeru jadikanlah Ramadan ini sebagai medan memugarkan keimanan yang murni terhadap Allah dengan membuka lembaran kesedaran bahawa Ramadan membawa pelbagai cahaya kehidupan yang cukup besar dalam dunia yang penuh liku. Ramadan al-mubarak yang dating kembali membawa rahmat dan anugerah Ilahi secara langsung mampu memperteguh kualiti umat yang jitu melalui amalan solat, bacaan quran dan amalan sedekah yang merupakan aplikasi yang disukai oleh yang Maha Pencipta. Mari kita lihat dimana kedudukan kita diawal Ramadan. Apakah kita benar-benar mampu menggapai rahmat Allah diawal Ramadan ini atau sebaliknya.
Menghayati makna kehadiran Ramadan
Bulan Ramadan cukup sinonim dengan bulan menahan diri daripada makan dan minum. Ia juga adalah bulan untuk mendidik jiwa, nafsu, akal supaya taat dan patuh dengan perintah Allah swt yang telah memerintahkan hambanya untuk melaksanakan tugas berpuasa dengan baik dan sempurna. Sudah pastilah pensyariatan ini membawa erti yang cukup besar dalam mendidik jiwa kita bukan sahaja melakukan puasa semata-mata tetapi melihat akan falsafah puasa tersebut iaitu merasai kepayahan dan keperitan orang lain dan melatih diri taat dan patuh dengan perintah Allah SWT. Manusia sememangnya dihadirkan oleh Allah dengan perasaan dan jiwa yang murni secara azalinya. Jiwa yang lembut dan luhur yang disirami dengan keputihan iman itu pastinya mampu untuk memahami akan kepayahan umat lain dalam melaksanakan puasa secara menyeluruh.
|
|
|
|
Disediakan oleh: Jufitri Joha
TANGGAL 12 Ogos (hari ini), dunia menyambut Hari Belia Antarabangsa. Berdasarkan Resolusi 54/120 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999, badan dunia tersebut telah mengisytiharkan tarikh 12 Ogos sebagai Hari Belia Antarabangsa. Hari tersebut didedikasikan oleh PBB bagi meraikan dan mengiktiraf sumbangan aktif belia di seluruh dunia kepada pembangunan masyarakat global.
Bermula tarikh ini juga, PBB telah memutuskan untuk mengisytiharkan 2010 sebagai International Year of Youth (IYY) dengan tema Dialogue and Mutual Understanding. Di Eropah, IYY disambut di Brussel dengan mengajak para belianya berkumpul untuk bersama-sama menikmati jamuan tengah hari ala perkelahan yang dipanggil Picnic Eurotastic bertempat di Royal Park yang terletak di antara Istana Diraja dan Parlimen Belgium. Acara seumpama ini akan dianjurkan di seluruh Eropah oleh para belia memandangkan 2010 merupakan tahun bermulanya IYY.
Di Malaysia, walaupun mungkin tiada sambutan khusus sempena IYY, namun sudah memadai diperuntukkan satu hari khas untuk negara meraikan dan mengiktiraf sumbangan belia iaitu pada 15 Mei setiap tahun di peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai Hari Belia Negara. Ia disusuli dengan sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri yang dihadiri oleh pemimpin kerajaan negeri dan negara sekali gus menggambarkan kesungguhan mereka meletakkan belia sebagai aset dan modal yang amat berharga bagi Malaysia.
Secara umumnya, belia di mana sahaja mereka berada sentiasa diraikan, diiktiraf, dihargai, didengari, dan diberi perhatian khusus. Terbaru, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menubuhkan Makmal Transformasi Pembangunan Belia yang bertujuan mengkaji kehendak dan keperluan belia dengan fokus utama kepada generasi Y yang berumur 10 hingga 28 tahun. Ini bermakna segala program yang dirancang kerajaan berkaitan belia adalah berdasarkan kajian kepada perubahan semasa minda generasi Y yang memberikan impak positif kepada pembangunan negara.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Page 3 of 168 |