Berita & Laporan Terkini

SUA Berangkat Ke United Kingdom

Pada 27 September 2008, SUA ABIM, Saudara Khairul Ariffin Mohd Munir telah berangkat ke Glasgow untuk melanjutkan pelajaran. Beliau akan berada di sana dalam tempoh 2 tahun bagi mengikuti pengajian sarjana ( masters in laws, LLM) dalam bidang undang-undang. Keberangkatan beliau telah diiringi oleh keluarga. Seluruh warga ABIM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat jalan dan selamat melanjutkan pelajaran di bumi perantauan. Mudah-mudahan beliau akan terus membantu menggerakkan dakwah Islam walau di mana beliau berada, dan akan kembali membantu memperkukuh perjuangan ABIM kelak.

Majlis Barbeque Untuk Meraikan Penghuni Rumah Titian Kasih

Pada 30 Ramadhan 1429, bersamaan 30 September 2009, ABIM dengan kerjasama FEDEC telah menganjurkan sebuah majlis ‘ Barbeque’ untuk meraikan para penghuni Rumah Titian Kasih. Majlis tersebut telah diadakan untuk menghiburkan dan meraikan para penghuni RTK menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri.Acara telah dimulakan dengan majlis berbuka puasa, diikuti dengan solat Maghrib secara berjemaah. Laungan Takbir Raya telah turut dilakukan secara beramai-ramai untuk menghidupkan suasana sambutan Aidil Fitri berteraskan prinsip Islam. Beberapa aktivis ABIM dan sukarelawan, seperti Saudara Rashdan Abu Hassan, Saudara Yusni Khusaini dan Faiezal Zainudin ( Jai) telah bertungkus lumus menyediakan hidangan BBQ pada malam tersebut.

Program Ihya Ramadhan

Sesungguhnya Ramadhan setiap tahun memberikan signifikan penting dalam diari setiap Muslim. Bertujuan memperbaiki diri kepada yang lebih baik dan menjadi insan yang bertaqwa dan berdiri teguh menyumbang kepada pembangunan umat. Pada 21 September 2008 bersamaan 21 Ramadhan 1429H, ABIM dengan kerjasama Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat telah berjaya melaksanakan program pengahayatan ramadhan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar kawasan Lembah Keramat. Program bermula pada jam 830 pagi dengan pendaftaran peserta dan pembahagian kumpulan dan juga sesi suai kenal sesama ahli kumpulan. semua fasilitator adalah terdiri dari sukarelawan ABIM. Slot pertama bertajuk Kesatria Melayu memerlukan peserta menjawab soalan berkaitan tugas hamba dan khalifah dan matlamat hidup,selepas menjawab semua soalan fasilitator telah menghuraikan dan mengaitkan dengan kehidupan peserta sekarang.

ABIM Bantu Keluarga Aktivis Yang Terkorban

TERAS JERNANG – 13 September 2008, ABIM Selangor telah menyerahkan sumbangan Tabung Prihatin yang telah dilancarkan selama sebulan dari 17 Julai – 17 Ogos yang lalu kepada balu al marhum Amin Nasir yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Puchong pada bulan Julai yang lalu. Rombongan yang diketuai oleh YDP ABIM Selangor itu turut dihadiri Sdr Khairuddin Abbas ,PSU ABIM Selangor dan Sdr Azman SU ABIM Sepang. Beliau telah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak yang masih kecil.Isterinya bertugas diUniten dibahagian pentadbiran dan mereka tinggal di Kampung Teras Jernang, Bangi. ABIM Bangi telah membantu isteri arwah menguruskan persekolahan anak dan urusan kebajikan yang diperlukan. Walaupun sumbangan yang diberi tidak seberapa, tetapi keprihatinan ini diharap dapat mengurangkan tekanan dan bebannya untuk seketika.Biarpun sumbangannya kepada gerakan dakwah tidak lama tetapi ia tetap pernah melakukan sesuatu untuk agamanya.  Hanya Allah yang dapat menghitung segala amal hamba-hambaNYa. HELWA Selangor diwakili oleh Azareka, Faizah dan Suhaila sedang menyampaikan sumabangan kepada isteri arwah dirumahnya

Smart Solat ABIM Mendapat Sambutan Hangat

JALAN KEBUN, 21 September ’08 – Seramai 160 orang remaja berusia 9 tahun hingga 16 tahun telah mengikuti Program ‘Smart Solat’ yang dianjurkan oleh ABIM Selangor dan PEPIAS di Masjid An Naim, Jalan Kebun ( Utara ) dan Masjid Al Falah, Jalan Kebun ( Selatan ). Seramai 20 orang pendakwah muda dari kalangan pimpinan dan ahli PEPIAS dari berbagai universiti telah turun padang membantu melancarkan program tersebut. Program kali ke tiga ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan menandakan kesedaran umat tentang perlunya pendidikan ibadah anak-anak diberi keutamaan semakin meningkat. Program ini telah telah mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak terutamanya pihak MAIS yang telah menyediakan dana dakwah, pihak masjid yang telah memberikan kebenaran dan jemputan kepada peserta, Blue T  Publication Sdn Bhd yang telah menyumbangkan majalah ANA MUSLIM untuk semua peserta dan semua pihak yang membantu menjayakan program tersebut.

Pengagihan Barangan Sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras

Rabu (24 September 2008) - Sebanyak 22 set beras dan barangan keperluan harian telah diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan bertempat di Dewan JKKK Kampung Selayang Baru. Majlis pemberian sumbangan dipengerusikan oleh Ketua Kampung Selayang Baru, Ustaz Azizan Ali dan dirasmikan oleh Penghulu Mukim Batu, Saudara Zamani Karulani. Majlis disusuli ucapan ringkas daripada Naib Presiden Kebangsaan ABIM, Saudara Fauwaz Hasbullah.Seterusnya pengagihan sumbangan dijalankan di perkarangan Dewan JKKK. Sumbangan diagihkan oleh Jawatankuasa JKKK Kampung Selayang Baru diketuai Ustaz Azizan Ali, Penghulu Zamani dan Saudara Fauwaz Hasbullah. Rata-rata penerima sumbangan terdiri daripada ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan kurang upaya.

Iltizam Staf : Selamat Berangkat Buat SUA ABIM

Pada 22 September 2008, ABIM telah menganjurkan sesi Iltizam Staf khas bagi menyampaikan sumbangan kepada para staf ABIM dan agensi-agensinya. Majlis ini diadakan dengan tujuan untuk menghargai sumbangan semua petugas dalam suasana menyambut ketibaan hari raya Aidil Fitri yang bakal menjelma. Selain itu, sesi Iltizam kali ini juga diadakan khusus untuk memberi peluang kepada semua yang hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Setiausaha Agung ABIM, Saudara Khairul Ariffin Mohd Munir yang akan berlepas ke United Kingdom bagi melanjutkan pelajaran. Di dalam ucapan, Saudara Khairul Ariffin telah menyampaikan harapan agar semua petugas dan aktivis ABIM untuk meneruskan kerja-kerja da’wah ABIM dengan penuh komitmen.

Majlis Berbuka Puasa ( Iftar) HELWA

Pada 20 September 2008, HELWA telah menganjurkan majlis berbuka puasa di FEDEC, Ampang. Penganjuran majlis berbuka puasa ini antara lain adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli ABIM dan penggerak Helwa. Kira-kira 30 orang ahli-ahli ABIM dan penggerak Helwa beserta keluarga masing-masing telah memeriahkan majlis ini. Majlis berbuka puasa ini telah terlebih dahulu dimulakan dengan penyampaian tazkirah oleh Saudara Asri Abdul. Selanjutnya, selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, majlis diteruskan dengan solat sunat Isyak dan tarawikh secara berjemaah. Majlis ini ditutup dengan ucapan oleh Puan Azini Othman, Penyelaras Fedec.

Iftar Jamaie ABIM

Pada 13 September 2008, bersamaan 13 Ramadhan 1429H, ABIM bersama-sama dengan agensi-agensinya iaitu WADAH, PKPIM, Kolej Darul Hikmah, GPM, IKRAK, KBMC dan lain-lain lagi telah menganjurkan majlis Iftar Jamaie di Kolej Darul Hikmah, Sungai Ramal, Kajang Selangor. Majlis tersebut telah dihadiri  oleh hampir 500 orang ahli-ahli ABIM. Majlis telah dimulakan dengan sesi berbuka puasa dengan juadah ringan. Selepas menunaikan solat Maghrib, semua yang hadir telah dijemput sekali lagi untuk menjamu selera dengan hidangan makan malam. Selepas itu, mantan Presiden ABIM, Dato’ Dr.Siddiq Fadhil telah menyampaikan tazkirah ringkas. Selanjutnya, majlis diteruskan dengan acara solat Isyak dan Tarawikh secara berjemaah.

Iklaneka & Pengumuman

Ambil Kira Jumlah Rumah Ibadat Bukan Islam PDF Print E-mail
KUALA LUMPUR 9 Jun - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan negeri Selangor supaya mengambil kira tentang kewujudan rumah ibadat bukan Islam yang jauh lebih banyak daripada masjid dan surau sebelum mahu menghapuskan syarat had keluasannya.

Setiausaha Agungnya, Khairul Arifin Mohd. Munir berkata, sepatutnya bagi mengelakkan masalah berkaitan rumah ibadat bertambah rumit, kerajaan negeri itu perlu memastikan terlebih dahulu tiada lagi rumah ibadat dibina tanpa kebenaran.

Katanya, ini termasuk sama ada di atas tanah kerajaan mahupun persendirian yang kini menimbulkan masalah ketika hendak dirobohkan apabila tanah berkenaan yang bernilai komersial tinggi ini ingin dibangunkan.
 
''Justeru sebarang perubahan syarat pembinaan rumah ibadat bukan Islam perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam terutama yang melibatkan kawasan majoriti penduduk Islam.

''Ini semestinya memerlukan kajian terperinci sebelum langkah menggugurkan had keluasan rumah ibadat bukan Islam dilaksanakan,'' katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Khairul turut memaklumkan adanya usaha pihak tertentu yang cuba menggambarkan bahawa jumlah masjid dan surau melebihi rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.

Katanya, sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya apabila kajian ABIM pada hujung tahun lalu mendapati rumah ibadat bukan Islam yang sebenarnya melebihi masjid dan surau di Lembah Klang.

''Sebab itu ABIM menekankan keperluan kepada kajian terperinci sebelum perubahan hendak dibuat terhadap peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

''Faktor kewujudan terlalu banyak rumah ibadat yang dibina di atas tanah kerajaan dan persendirian tanpa kebenaran PBT juga perlu diambil kira dalam hal ini,'' jelasnya.

Sementara itu, Khairul turut menyelar usaha pihak tertentu untuk mewajarkan penambahan peruntukan bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam atas alasan umat Islam menerima peruntukan besar bagi tujuan yang sama.

Katanya, sedangkan peruntukan ini diperoleh melalui konsep zakat dan derma di samping ia merupakan hak-hak yang telah jelas diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

''Situasi umat Islam juga berbeza kerana mempunyai keperluan tersendiri terhadap masjid dan surau kerana kewajipan untuk menunaikan solat lima waktu sehari selain solat Jumaat di masjid dan surau.

''ABIM menegaskan Perkara 3 Perlembagaan mengenai kedudukan Islam sebagai agama kepada Persekutuan perlu diberi keutamaan dalam sebarang perubahan yang hendak dibuat dengan kita tidak menafikan hak bukan Islam termasuk terhadap rumah-rumah ibadat,'' katanya.

Sewajarnya, jelasnya, sebarang tindakan perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah berasaskan semangat toleransi, prinsip Perlembagaan dan keadilan sosial tanpa menafikan hak dan sensitiviti majoriti umat Islam di Malaysia.
 
Sumber dipetik : Utusan Malaysia
 
 
helwa my Madani tv minda madani
 

Alamat Perhubungan

 
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700

Email
sap@abim.org.my
atau
abimhq@gmail.com

Peta Lokasi

* Perhubungan Negeri

Kalendar ABIM

<<  October 2008  >>
 Mo  Tu  We  Th  Fr  Sa  Su 
    1  2  3  4  5
  6  7  8  9101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Program Terkini

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
who's online