Berita & Laporan Terkini

Seminar Celik Emosi Siri 2 P.Pinang

Seminar Celik Emosi di Pulau Pinang berjaya dilangsungkan pada 13 November 2008, hari khamis di Dewan Seminar, Masjid Negeri. Seminar anjuran Pusat Pembangunan Kecemerlangan Keluarga (FEDEC)-ABIM dan ABIM P.Pinang tersebut dijalankan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP). Seramai hampir 100 peserta yang terdiri daripada kaunselor sekolah sekitar Pulau Pinang telah hadir  dan memberikan komitmen yang begitu baik. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah JPN P.Pinang, dan antara panel yang dijemput adalah Prof. Dr. Sidek Baba, Tn. Haji Hassan Ahmad, PM Dr. Mastura Badzis yang merupakan Naib Presiden (HELWA) ABIM, serta PM Dr. Zainal Ariffin Ahmad dari USM. Sesi bengkel juga telah diadakan bagi membincangkan isu-isu yang berlegar di kalangan kaunselor sekolah. Seminar Celik Emosi pada kali ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila peserta yang hadir terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Bengkel Evolusi Pembangunan Keusahawan Belia

Pada 8 November 2008 yang lalu, ABIM Selangor dengan kerjasama ABIM Daerah Sabak Bernam dan Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya menganjurkan Bengkel Evolusi Pembangunan Usahawan Belia di Kelab Resort Rekreasi Sabak Bernam. Program telah dihadiri seramai 102 peserta terdiri dari belia dan pemimpin masyarakat di Daerah Sabak Bernam dari pelbagai bangsa. Program dirasmikan YB Tuan Yaakob bin Sapari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan. Antara penceramah yang telah dijemput ialah Puan Hajjah Nazeerah binti Mustapa pakar perunding Usahawan MARA yang berpengalaman dari Minutes Concept Sdn Bhd, Saudara Samsuddin Bin Zainal Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Belia Islam Malaysia, Saudara Mohd Zairi bin Mujahid pegawai dari Jabatan Pertanian daerah dan Puan Siti Norwina binti Nawari, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Sabak Bernam. Oleh: Muhamad Muszaki bin Mohd ozir (Setiausaha ABIM Selangor).

Taklimat Pencegahan Aedes dan Denggi

Pada 14 November yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menjemput Dr Mohammad Idris Zamhuri, yang bertugas sebagai pegawai perubatan di unit kawalan penyakit berjangkit, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, untuk memberikan taklimat khas berhubung dengan wabak aedes dan demam denggi di samping proses pencegahannya.   Sepanjang sessi tersebut, Dr Mohamad Idris yang juga merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), telah berkongsi pelbagai informasi serta tips berhubung dengan wabak aedes serta kaedah pencegahan dan beberapa informasi berkaitan isu-isu kesihatan lain. 

INSAP Kunjungi Sekretariat ABIM

Pada 6 November yang lalu, Institute of Strategic Analysis and Policy Resarch (INSAP), telah mengunjungi Sekretariat ABIM Pusat, di Kompleks Anjung Rahmat. Sepanjang pertemuan tersebut, kedua-kedua pihak berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat dalam pelbagai isu dengan Presiden, Saudara Yusri Mohamad, serta beberapa orang exco yang turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Wacana Memperingati Trajedi "KASHMIR BLACK DAY"

Pada 25 Oktober yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Global Peace Mission (GPM) telah mengadakan wacana memperingati peristiwa Kashmir Black Day yang berlaku pada 27 Oktober 1947.  Wacana ini telah diisi oleh Prof Madya Rohana Harun dari UKM serta Prof. Dr. Arif Zakaullah dari UIAM dan dipengerusikan oleh Saudara Noryzal Zainal Abidin.  Menerusi wacana ini, ahli panel yang dijemput telah berjaya mengupas pelbagai isu berkenaan dengan kemelut yang berlaku di Kashmir daripada perspektif yang berbeza bersama dengan para hadirin yang hadir.

Lawatan Delegasi Leaders of Influence, Bangladesh

Pada 23 Oktober 2008 yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),telah menerima kunjungan daripada orang tokoh agama yang berpengaruh dari Bangladesh. Tokoh-tokoh agama ini merupakan peserta program "Leaders of Influence" yang dianjurkan oleh Asian Foundation.Sepanjang pertemuan tersebut, ABIM yang diwakili oleh Saudara Azril Mohd Amin serta Noryzal Zainal Abidin, telah mengambil kesempatan untuk menerangkan latar belakang ABIM serta bertukar-tukar pandanganserta pengalaman dalam pelbagai perkara. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Saudara Mohd Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

ABIM Hantar Delegasi ke NIEW International Forum 2008

Pada 22 dan 23 Oktober 2008, ABIM telah menghantar delegasi untuk menyertai NIEW International Forum 2008 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dianjurkan bersama oleh NAM Institute for the Empowerment of Women ( NIEW), Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat dan Pusat Antarabangsa UiTM. Delegasi ABIM telah diketuai oleh Penyelaras FEDEC, Puan Azini Othman, Saudara Mohd  Firdaus ‘Bob’ Hamsin, Saudara Yusni Mohd Yussof dan beberapa wakil ABIM daripada UIA. Persidangan ini antara lain telah mengetengahkan isu-isu gender dalam konteks  pengupayaan dan sektor pekerjaan. Di samping itu, para hadirin juga telah didedahkan dengan konsep ESQ yang kini semakin mendapat sambutan di Malaysia.

Rumah Terbuka & Sambutan Aidil Fitri ABIM 2008

Pada 17 Oktober 2008, Angkatan Belia Islam Malaysia, dengan kerjasama PKPIM, WADAH, KBI, Pusat Rawatan Al Islam dan beberapa agensi bersekutu telah bersama-sama menganjurkan rumah terbuka di Dewan Seminar, Kompleks Anjung Rahmat. Tujuan penganjuran rumah terbuka ini adalah untuk mengeratkan ukhuwwah dan tali silaturrahim antara kepimpinan tertinggi ABIM, para aktivis dan tetamu-tetamu daripada pelbagai pertubuhan dan institusi.  Majlis ini telah bermula pada pukul 3 petang dan berlanjutan sehingga 7 malam. Pelbagai hidangan dan juadah telah disediakan bagi meraikan tetamu-tetamu yang hadir. Kumpulan Usratika juga turut diundang untuk mengadakan persembahan jemputan dengan lagu-lagu puisi dan berkonsep da’wah.

Wacana Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani

Seperti sudah menjadi tradisi, Wacana Pemikiran menjadi program yang 'evergreen'. Wacana yang bertujuan mengupas idea, berkongsi sejarah hidup dan seterusnya mengakar umbikan personaliti atau tokoh dikalangan masyarakat. Tokoh yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat lebih bermakna sekiranya beliau meninggalkan khazanah berharga kepada ummat, seperti kitab- kitab, anak murid yang berdedikasi, serta manhaj dakwah yang boleh dimanfaatkan oleh ummat Islam secara keseluruhan.Pada 12 Oktober yang lepas, Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), Yayasan Sofa, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menganjurkan Wacana Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani. Bertempat di Masjid Wilayah Jalan Duta, berjaya mengumpulkan hampir 1,200 peserta. Wacana dirasmikan oleh Dato' Hj Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan.

Iklaneka & Pengumuman

Dakwah ABIM Manhaj Maliziy PDF Print E-mail

seminar “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Demikian ungkapan yang sering kita dengar bagi menggambarkan betapa besarnya harapan dan tanggungjawab pemuda-pemudi atau belia dan beliawanis di negara ini. Tanggungjawab itu lebih berat bagi para belia Islam sebagai pelapis kepada kepimpinan negara di masa hadapan. Mereka bukan sahaja perlu bersatu memperkukuhkan perpaduan tetapi juga melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu bagi memastikan kedudukan Islam sentiasa di tempat yang tinggi.Menyedari hakikat itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menekankan keperluan memantapkan aspek dalaman gerakannya. Ini merangkumi persoalan tarbiah (pendidikan), tazkiah (penyucian jiwa) dan kerohanian.

Presidennya, Yusri Mohamad berkata, ijtihad ini bertujuan menggarap sisi yang agak terabai, mengisi yang agak lompong dan memperkasa aspek yang kurang kuat. “ABIM juga perlu meningkatkan keseimbangan antara teori dan amali, fahaman dan amalan manhaj (pendekatan) gerakan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar bertajuk ‘Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa Dalam Lanskap Politik Baru’ pada Seminar Islam dan Cabaran Semasa ABIM di Pusat Dakwah Islam, Negeri Sembilan, Sabtu lalu. Seminar sehari itu diadakan bersempena Muktamar Sanawi ke-37 ABIM. Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan termasuk ‘Islam, Negara dan Masyarakat di Alam Melayu Moden: Cabaran Kepelbagaian Budaya dan Demokrasi’.

Ahli panel yang membentangkan kertas kerja itu ialah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr. Siddiq Fadzil, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Dr. Hassan Ahmad. Menurut Yusri, ABIM turut memperjuangkan agenda Melayu kerana Islam dan Melayu itu tidak boleh dipisahkan. Katanya, harus diingat makna Melayu itu sendiri mengikut Perlembagaan negara tidak dapat dipisahkan dengan Islam.

“Tambahan pula, hakikatnya majoriti besar umat Islam di Malaysia adalah bangsa Melayu. Lemahnya Melayu tidak dapat tidak akan melemahkan Islam di negara kita,” jelasnya.Yusri berkata, walaupun turut terimbau dengan aliran modenis-reformis namun ABIM beruntung kerana tidak mengikuti aliran itu secara menyeluruh. Aliran tersebut antara lain kurang menghargai sumber dan khazanah tradisi Islam dan terlalu kuat menekankan perubahan terhadap sistem seperti politik, ekonomi dan sosial walaupun yang diwarisi dari kerangka Barat.

Katanya, ABIM bertuah kerana mendapat pelbagai sentuhan dan pengaruh yang mencorakkan pertubuhan itu sebagai gerakan yang menghargai khazanah tradisi. “Ini tergambar dalam rangkaian ulama dan pemikir yang menjadi ideologi-ideologi ABIM, bahan rujukan dan terbitan serta seminar-seminar tokoh yang kita anjurkan. “Ia juga tergambar dalam sebahagian manhaj gerakan pelbagai sikap dan pendirian ABIM termasuk sebahagian daripada manhaj Maliziy, salah satu konsep yang mencorakkan pendekatan gerakan kita,” katanya.

Muktamar itu dihadiri oleh lebih 500 peserta dari seluruh negara termasuk beberapa pemerhati dari Indonesia, Selatan Thailand dan Turki. Turut dilancarkan adalah Projek Kewangan ABIM 25 (PKA 25) merupakan projek khas yang diberi nafas baru. Pengembelengan projek ini adalah bertujuan memperkasa perjalanan dan gerak kerja ABIM seperti melengkapkan ABIM dengan sumber manusia terbaik, prasarana organisasi, saluran komunikasi penerbitan dan projek-projek khusus yang dirancang.

Hal ini selaras dengan fungsinya menerusi pendekatan pembela, prihatin dan pendidik. Oleh itu, mekanisme PKA 25 disusun untuk memudahkan anggota dan individu yang menyokong perjuangan ABIM melakukan amal jariah.

Namun begitu, cabaran yang lebih rencam mendorong ABIM melakukan persedian secara lebih tersusun dalam memastikan jentera dan sumber manusia yang ada cukup kompeten untuk menggerakkan program dakwah, advokasi dan pendidikan untuk umat. Semua ini adalah sangat penting dalam membina masyarakat Islam untuk menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial dewasa ini.

Yusri berkata, PKA 25 adalah nama kepada projek sumbangan dana oleh ahli ABIM secara tetap sebanyak RM 25 setiap bulan kepada tabung ABIM. “Sumbangan itu adalah satu bentuk amal jariah kepada masyarakat secara berkala dan konsisten. Sebabnya, walaupun money is not everything, but everything is money,” jelasnya. Sementara itu, Profesor Akademi Kajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Dr. Awang Sariyan berkata, falsafah pendidikan bahasa itu mesti selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.

“Pertama, dari segi upaya pengembangan berterusan potensi individu secara seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. “Kedua daripada segi sumbangan bahasa terhadap pembangunan masyarakat dan negara,” katanya. Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Islam sebagai teras Ilmu, Bahasa dan Budaya Melayu. Dr. Awang berkata, kini budaya ilmu semakin dikesampingkan akibat kurang penghayatan terhadapnya. Katanya, ini membawa kepada hilangnya keberkatan apabila para ilmuwan ‘dizalimi’ dari segi kepakaran mereka tidak dijadikan asas membuat sesuatu dasar.

Ini termasuklah dalam bab pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
“Saya berharap dapat diwujudkan pemikir untuk Islam supaya kita tidak kehilangan barakah dan rahmat dalam keilmuan,” jelasnya.Sempena muktamar itu, turut diadakan forum perdana bertajuk Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa di Masjid Bandar Baru Senawang, Negeri Sembilan. Ahli panelnya ialah Timbalan Presiden ABIM, Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran dan Yang Dipertua ABIM Negeri Sembilan, Shamsul Azhar Yahya.

Gerai-gerai jualan turut disediakan untuk kemudahan para pengunjung dan peserta membeli pelbagai barangan untuk dijadikan oleh-oleh apabila pulang ke rumah masing-masing. Adalah diharap semua pihak terutama umat Islam di negara ini menghargai kenikmatan hidup aman damai dan harmoni serta berusaha mengekal dan memperkukuhkan lagi perpaduan. Ingatlah firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka... (ar-Ra’d: 11)

Apa Kata Pemerhati Asing

“Muktamar ABIM ini memberi peluang kepada saya mewujudkan rangkaian kerjasama dalam bidang dakwah. “Kerjasama itu meliputi bagaimana mengangkat tokoh ulama kedua-dua negara untuk membangunkan Islam tanpa mempolitikkannya. “Inilah juga perjuangan kami di Indonesia untuk mengembalikan ajaran Islam mengikut al-Quran dan sunnah,” katanya.
- IRFAN ALI R. ANSHARY, penuntut Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.

“Walaupun ini kali pertama menghadiri muktamar ABIM, saya melihat ia berjaya sebagai wadah memperjuangkan Islam. “ABIM juga dilihat mampu menyatukan umat Islam di Malaysia melalui pendekatannya yang sederhana. “Saya berharap dapat memperluaskan lagi kerjasama dengan ABIM selepas ini,” katanya.
- NASRUL, wakil pemerhati dari Pesantren Buya Hamka, Sumatera Barat, Indonesia.

“Kami dan ABIM sudah menjalin persahabatan yang cukup lama ibarat ‘adik dengan abang’. “Ucapan dasar Presiden ABIM, Yusri Mohamad tentang memperkasa agama dan bangsa itu boleh kami jadikan sebagai pengajaran untuk memajukan lagi umat Islam di selatan Thailand. “Dari segi dakwah, kami turut menganjurkan kelas agama untuk belia seperti kelas qiraati dan kempen Anti-HiV,” kata beliau.
- NIK MOHD. NASIR NIK ABDULLAH, Presiden Persatuan Muslim Muda Thailand.

Peserta Seminar


“Muktamar kali ini membincangkan isu-isu berkaitan Islam yang bersifat setempat. “Perbincangan tentang soal bangsa Melayu juga membuktikan bahawa ABIM memperjuangkan hal yang merentasi sempadan politik dan budaya. “Cuma muktamar kali ini tidak membincangkan secara khusus isu berkaitan wanita,” katanya.
- HAZLINA ABDUL RAZAK, Ketua Helwa ABIM Selangor

“Seminar yang diadakan kali ini memang baik kerana ia membicarakan secara menyeluruh tajuk bangsa dan agama. “Perkembangan ini antara lain hikmah natijah pilihan raya umum ke-12. “Saya akan menyampaikan segala maklumat di dalam seminar dan muktamar ini kepada ahli-ahli lain menerusi usrah yang dijalankan,” jelasnya.
- SUZANA JA’AFAR, Ketua Helwa ABIM Serdang, Selangor

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Sumber Dipetik: Utusan Malaysia

 
 

Alamat Perhubungan

 
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700

Email
sap@abim.org.my
atau
abimhq@gmail.com

Peta Lokasi

* Perhubungan Negeri

LAMAN AGENSI ABIM & BERKAITAN

 

Kalendar ABIM

<<  November 2008  >>
 Mo  Tu  We  Th  Fr  Sa  Su 
       1  2
  3  4  6  7  8  9
101112131416
17181920212223
24252627282930

Program Terkini

Projek Kewangan ABIM

 
PKA

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
who's online