Berita & Laporan Terkini

Seminar Celik Emosi Siri 2 P.Pinang

Seminar Celik Emosi di Pulau Pinang berjaya dilangsungkan pada 13 November 2008, hari khamis di Dewan Seminar, Masjid Negeri. Seminar anjuran Pusat Pembangunan Kecemerlangan Keluarga (FEDEC)-ABIM dan ABIM P.Pinang tersebut dijalankan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP). Seramai hampir 100 peserta yang terdiri daripada kaunselor sekolah sekitar Pulau Pinang telah hadir  dan memberikan komitmen yang begitu baik. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah JPN P.Pinang, dan antara panel yang dijemput adalah Prof. Dr. Sidek Baba, Tn. Haji Hassan Ahmad, PM Dr. Mastura Badzis yang merupakan Naib Presiden (HELWA) ABIM, serta PM Dr. Zainal Ariffin Ahmad dari USM. Sesi bengkel juga telah diadakan bagi membincangkan isu-isu yang berlegar di kalangan kaunselor sekolah. Seminar Celik Emosi pada kali ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila peserta yang hadir terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Bengkel Evolusi Pembangunan Keusahawan Belia

Pada 8 November 2008 yang lalu, ABIM Selangor dengan kerjasama ABIM Daerah Sabak Bernam dan Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya menganjurkan Bengkel Evolusi Pembangunan Usahawan Belia di Kelab Resort Rekreasi Sabak Bernam. Program telah dihadiri seramai 102 peserta terdiri dari belia dan pemimpin masyarakat di Daerah Sabak Bernam dari pelbagai bangsa. Program dirasmikan YB Tuan Yaakob bin Sapari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan. Antara penceramah yang telah dijemput ialah Puan Hajjah Nazeerah binti Mustapa pakar perunding Usahawan MARA yang berpengalaman dari Minutes Concept Sdn Bhd, Saudara Samsuddin Bin Zainal Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Belia Islam Malaysia, Saudara Mohd Zairi bin Mujahid pegawai dari Jabatan Pertanian daerah dan Puan Siti Norwina binti Nawari, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Sabak Bernam. Oleh: Muhamad Muszaki bin Mohd ozir (Setiausaha ABIM Selangor).

Taklimat Pencegahan Aedes dan Denggi

Pada 14 November yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menjemput Dr Mohammad Idris Zamhuri, yang bertugas sebagai pegawai perubatan di unit kawalan penyakit berjangkit, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, untuk memberikan taklimat khas berhubung dengan wabak aedes dan demam denggi di samping proses pencegahannya.   Sepanjang sessi tersebut, Dr Mohamad Idris yang juga merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), telah berkongsi pelbagai informasi serta tips berhubung dengan wabak aedes serta kaedah pencegahan dan beberapa informasi berkaitan isu-isu kesihatan lain. 

INSAP Kunjungi Sekretariat ABIM

Pada 6 November yang lalu, Institute of Strategic Analysis and Policy Resarch (INSAP), telah mengunjungi Sekretariat ABIM Pusat, di Kompleks Anjung Rahmat. Sepanjang pertemuan tersebut, kedua-kedua pihak berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat dalam pelbagai isu dengan Presiden, Saudara Yusri Mohamad, serta beberapa orang exco yang turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Wacana Memperingati Trajedi "KASHMIR BLACK DAY"

Pada 25 Oktober yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Global Peace Mission (GPM) telah mengadakan wacana memperingati peristiwa Kashmir Black Day yang berlaku pada 27 Oktober 1947.  Wacana ini telah diisi oleh Prof Madya Rohana Harun dari UKM serta Prof. Dr. Arif Zakaullah dari UIAM dan dipengerusikan oleh Saudara Noryzal Zainal Abidin.  Menerusi wacana ini, ahli panel yang dijemput telah berjaya mengupas pelbagai isu berkenaan dengan kemelut yang berlaku di Kashmir daripada perspektif yang berbeza bersama dengan para hadirin yang hadir.

Lawatan Delegasi Leaders of Influence, Bangladesh

Pada 23 Oktober 2008 yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),telah menerima kunjungan daripada orang tokoh agama yang berpengaruh dari Bangladesh. Tokoh-tokoh agama ini merupakan peserta program "Leaders of Influence" yang dianjurkan oleh Asian Foundation.Sepanjang pertemuan tersebut, ABIM yang diwakili oleh Saudara Azril Mohd Amin serta Noryzal Zainal Abidin, telah mengambil kesempatan untuk menerangkan latar belakang ABIM serta bertukar-tukar pandanganserta pengalaman dalam pelbagai perkara. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Saudara Mohd Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

ABIM Hantar Delegasi ke NIEW International Forum 2008

Pada 22 dan 23 Oktober 2008, ABIM telah menghantar delegasi untuk menyertai NIEW International Forum 2008 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dianjurkan bersama oleh NAM Institute for the Empowerment of Women ( NIEW), Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat dan Pusat Antarabangsa UiTM. Delegasi ABIM telah diketuai oleh Penyelaras FEDEC, Puan Azini Othman, Saudara Mohd  Firdaus ‘Bob’ Hamsin, Saudara Yusni Mohd Yussof dan beberapa wakil ABIM daripada UIA. Persidangan ini antara lain telah mengetengahkan isu-isu gender dalam konteks  pengupayaan dan sektor pekerjaan. Di samping itu, para hadirin juga telah didedahkan dengan konsep ESQ yang kini semakin mendapat sambutan di Malaysia.

Rumah Terbuka & Sambutan Aidil Fitri ABIM 2008

Pada 17 Oktober 2008, Angkatan Belia Islam Malaysia, dengan kerjasama PKPIM, WADAH, KBI, Pusat Rawatan Al Islam dan beberapa agensi bersekutu telah bersama-sama menganjurkan rumah terbuka di Dewan Seminar, Kompleks Anjung Rahmat. Tujuan penganjuran rumah terbuka ini adalah untuk mengeratkan ukhuwwah dan tali silaturrahim antara kepimpinan tertinggi ABIM, para aktivis dan tetamu-tetamu daripada pelbagai pertubuhan dan institusi.  Majlis ini telah bermula pada pukul 3 petang dan berlanjutan sehingga 7 malam. Pelbagai hidangan dan juadah telah disediakan bagi meraikan tetamu-tetamu yang hadir. Kumpulan Usratika juga turut diundang untuk mengadakan persembahan jemputan dengan lagu-lagu puisi dan berkonsep da’wah.

Wacana Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani

Seperti sudah menjadi tradisi, Wacana Pemikiran menjadi program yang 'evergreen'. Wacana yang bertujuan mengupas idea, berkongsi sejarah hidup dan seterusnya mengakar umbikan personaliti atau tokoh dikalangan masyarakat. Tokoh yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat lebih bermakna sekiranya beliau meninggalkan khazanah berharga kepada ummat, seperti kitab- kitab, anak murid yang berdedikasi, serta manhaj dakwah yang boleh dimanfaatkan oleh ummat Islam secara keseluruhan.Pada 12 Oktober yang lepas, Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), Yayasan Sofa, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menganjurkan Wacana Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani. Bertempat di Masjid Wilayah Jalan Duta, berjaya mengumpulkan hampir 1,200 peserta. Wacana dirasmikan oleh Dato' Hj Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan.

Iklaneka & Pengumuman

Agama, Bangsa Sensitif PDF Print E-mail
bb Negara dikejutkan dengan penganjuran pelbagai bentuk acara oleh pihak tertentu yang menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini apabila sentimen agama dan bangsa dimainkan terutama sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang lalu. Kalau sebelum pilihan raya umum itu, negara menyaksikan ribuan pengikut Hindu Rights Action Force (Hindraf) berarak di jalan raya menghantar memorandum ke Kedutaan British, Majlis Peguam pula sudah menunjukkan belang dengan menganjur forum ‘Memeluk Islam’ yang menaikkan kemarahan orang Melayu. Bagi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang mempunyai 80,000 ahli berdaftar di seluruh negara, senario sebegini tidak sihat, boleh menggugat kestabilan, harus dibendung segera dan ia diperbincangkan secara serius semasa berlangsungnya Muktamar Sanawi ke-37 ABIM dengan tema tahun ini, ‘Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa’.
Sebagai kesimpulan, muktamar yang sertai 800 peserta mendokumentasikan enam resolusi yang berkisar mengenai cubaan demi cubaan bagi membentuk persepsi baru sejarah Malaysia dengan merubah kontrak sosial dan menggubal dasar pendidikan dan bahasa yang baru dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Presiden ABIM, Yusri Mohamad dalam pertemuan selama hampir satu jam dengan wartawan Mingguan Malaysia, AMRAN AHMAD menjelaskan secara terperinci enam resolusi itu dan sebab-musabab ia dirumuskan sedemikian demi kepentingan agama Islam dan orang Melayu, seterusnya perpaduan kaum dan kemakmuran Malaysia. Pada masa yang sama, Yusri turut menjawab kaitan antara trend tuntutan perubahan oleh segelintir orang bukan Islam dengan pilihan raya umum yang lalu, campur tangan parti politik dan sistem dua parti dalam politik negara.

MINGGUAN: Apa perlunya Muktamar ABIM membuat enam resolusi berkenaan?


YUSRI MOHAMAD: Enam resolusi itu terhasil dari sesi perbincangan yang sangat ilmiah, objektif dan lahir berasaskan isu-isu semasa yang relevan dan boleh dikatakan agak panas kerana melibatkan persoalan mengenai agama dan bangsa yang sedang hangat diperkatakan. Secara asas, enam resolusi itu dicetuskan kerana ABIM percaya dan merasakan wujudnya cubaan dan usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk memberi tafsiran atau pengolahan semula tentang agama Islam dan bangsa Melayu dalam aspek yang berbeza daripada apa yang kita biasa fahami selama ini.

Cubaan dan usaha berkenaan dilihat sebagai niat atau agenda untuk melaksanakan penafian atau tidak peka terhadap latar belakang sejarah dan realiti kontrak sosial yang sudah lama kita amalkan. Trend seperti itu sudah mula wujud dan kita merasakan keperluan untuk menegaskan semula mengenai perkara-perkara asas berkaitan agama dan bangsa ini bagi mereka yang tidak peka mengenai latar belakang sejarah negara manakala diperjelaskan semula bagi pihak terkeliru atau pihak yang cuba memberi gambaran mengelirukan. Penegasan dan penjelasan semula itu harus dilakukan bagi mengelak salah faham dan kekeliruan yang boleh mencetus kepada gangguan kestabilan dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Bukankah sukar untuk membetulkan keadaan berbanding cubaan mencetuskan fahaman baru?

YUSRI MOHAMAD: Semua pihak harus menerima hakikat bahawa isu atau sebarang bentuk sentimen mengenai agama dan bangsa ini adalah sangat sensitif di kalangan rakyat negara ini. Kita bukan seperti rakyat di negara lain yang tidak mementing serta menitik beratkan mengenai soal agama dan bangsa untuk diperkatakan. Justeru, kita mesti mengambil kira semua tahap sensitiviti masyarakat dalam isu berhubung agama dan bangsa. Rakyat Malaysia juga tidak boleh terbawa-bawa atau terpengaruh dengan apa jua trend atau budaya masyarakat luar yang tidak sesuai atau sejajar dengan realiti masyarakat negara ini sama ada atas nama liberalisasi, globalisasi mahupun hak-hak asasi.

Kita tidak boleh meletakkan nilai yang sama dalam semua aspek yang diamalkan di negara luar dan di negara ini kerana tahap sensitiviti antara mereka berada pada tahap yang berlainan. Nilai masyarakat di Malaysia tidak sama, oleh itu kita tidak boleh memadankan secara mutlak segala hak asasi yang wujud di negara luar dengan acuan di negara sendiri. Mungkin juga ada pihak tertentu yang terpengaruh dan terbawa-bawa arus takut kepada Islam dan umatnya atau Islamofobia dengan dilihat mempunyai tahap kecenderungan yang tinggi untuk menyalahkan ajaran Islam dan umatnya. Apabila berlaku apa-apa masalah di dalam negara, seolah-olah meletak Islam dan umatnya dalam kandang tertuduh.


Tidak adakah cara lain untuk membaiki kontrak sosial yang ada?

YUSRI MOHAMAD: Malaysia mempunyai satu suasana yang unik dengan pengisian demografi masyarakat yang pelbagai kaum dan bangsa. Oleh itu, kita tidak boleh menerima pakai sentimen dari luar kerana itu adalah sangat berbahaya. Bahaya kerana boleh mencetuskan ketegangan kaum dan konflik yang tajam. Sebaiknya kita dapat menerima kontrak sosial yang ada dan memupuk persefahaman antara kaum dan agama agar dua elemen utama perpaduan kaum terus dipelihara dan dipertahankan. Jangan terus cuba untuk merombak atau membuangnya. Jika ada pihak yang mendapati wujudnya kepincangan atau kelemahan dalam kontrak sosial sedia ada, kita seharusnya mengadakan perbincangan dan dialog dalam semangat kekeluargaan. Kita harus berprasangka baik bagi mencapai penyelesaian yang baik dan menyeluruh yang membabitkan soal agama dan bangsa.

Setakat ini, negara tidak menghadapi masalah yang serius dalam mengamalkan kontrak sosial yang ada kerana hubungan yang terjalin antara kaum di Malaysia sangat baik dengan orang Melayu menjadi penduduk paling ramai dan diikuti bangsa Cina dan India yang merangkumi peratusan agak besar juga. Formula yang ada dalam kontrak sosial perlu dipertahankan kerana ia terbukti menjadi asas perpaduan dan keharmonian serta kestabilan negara sejak merdeka.


Apakah trend ini ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu?


YUSRI MOHAMAD: Muktamar ABIM yang lalu tidak dapat tidak terpaksa menyentuh soal pilihan raya umum dan kita melihat rakyat telah menghantar mesej perubahan, arus yang menuntut perubahan. Tetapi kita kena berhati-hati mengenai apa yang hendak diubah. ABIM percaya pilihan raya lalu tidak secara sepakat menghantar mesej yang menggambarkan rakyat menuntut perubahan dalam aspek amalan agama dan bangsa di negara ini. Cuma ada sesetengah pihak yang ada agenda sedemikian dan cuba merubah amalan agama dan bangsa yang sekiranya dilakukan, bakal menjurus kepada penentangan oleh pihak lain.

Kita bersetuju juga, mesej perubahan yang dihantar itu lebih kepada tuntutan agar Malaysia mengamalkan penghayatan sistem demokrasi yang lebih sihat, pentadbiran kerajaan yang lebih telus, menghapuskan salah guna kuasa dan rasuah. Itulah sentimen orang ramai. Kita memang silap jika kita anggap keputusan pilihan raya itu sebagai ‘cek kosong’ yang boleh digunakan untuk menggugat atau merombak kontrak sosial yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sejak lebih 50 tahun yang lalu.


Apakah cetusan enam resolusi itu turut berkait rapat dengan forum anjuran Majlis Peguam baru-baru ini?

YUSRI MOHAMAD: ABIM mengadakan muktamar yang berseminar dengan latar belakang pelbagai isu dan cabaran terkini, termasuk pilihan raya umum dan tindakan Majlis Peguam. Kita mendapati ada kecenderungan bagi menggunakan kesempatan atau ruang terbuka selepas pilihan raya umum yang lalu untuk menggugat atau mempertikaikan perkara yang selama ini kita dihormati bersama untuk memelihara asas keharmonian negara. Adalah tidak adil jika kita tidak mengatakan kecenderungan ini diterajui atau didorong oleh mana-mana pihak. Cuma apa yang saya boleh katakan di sini ialah ‘siapa makan cili, dia terasa pedasnya’.

Kepada semua yang terasa pedasnya itu, kita menyeru agar semua pihak termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan agar menimbang semula trend semasa itu dan mengambil sikap bertanggungjawab dalam hal ini. ABIM bukan kata isu agama dan bangsa ini tidak boleh dibincangkan langsung. Cuma perlu dilakukan mengikut caranya, seboleh-boleh tidak terlalu terbuka bagi menjaga sensitiviti kaum lain kerana jika ia boleh menimbulkan kemarahan, takut-takut kita sudah tidak mampu mengawalnya. Akhirnya matlamat perbincangan tidak tercapai.


Kritikal sangatkah keadaan ini?

YUSRI MOHAMAD: Kita tidak boleh tunggu sampai ‘meletup’ baru nak mengundur, seperti ‘terlajak perahu sudah tidak boleh undur balik’. Apabila suasana sudah menjadi tegang dan sentimen perkauman terlalu tinggi, kita bimbang, lebih sukar lagi untuk berbincang. Pada masa sekarang, kita lihat trend ke arah luar kawalan ini sudah ada. Kita lihat sahaja Hindraf, Majlis Peguam yang giat menganjurkan satu demi satu perkara yang mengundang maklum balas yang agresif daripada orang Islam. Kalau keadaan seperti ini dibiarkan maka suasana akan menjadi di luar kawalan.

Kita faham peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 tidak mudah untuk berlaku lagi. Tetapi kita juga tidak dapat menolak mengatakan ia tidak mustahil berlaku kerana tahap sensitiviti terhadap hal-hal berkaitan agama dan bangsa terlalu tinggi di kalangan rakyat. Kita tidak boleh terlalu ideal dalam hal sedemikian. Tuntutan Hindraf selama ini sangat tajam bunyinya dan telah mengguris perasaan orang Melayu. Nasib baik orang Melayu tidak cepat melatah. Kalau orang Melayu juga sudah mula turun ke jalan raya, kedua-dua pihak boleh bergaduh.

Saya bimbang jika trend seperti ini berterusan. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat kerana apabila orang ramai mula berhimpun dan suasana bertukar menjadi tidak terkawal, akan berlaku sesuatu yang tidak baik dan sekarang sudah ada elemen luar kawalan dan kita tidak boleh tunggu sampai ada yang cedera baru mahu bertindak. Kita kena lebih bertanggungjawab dengan mencegah lebih baik daripada mengubati.

Apakah kelahiran Hindraf dan tindak-tanduk Majlis Peguam ada kaitan kewujudan sistem dua parti dalam politik negara?


YUSRI MOHAMAD:
Kita tidak menafikan kaitan senario politik dan sosial. Cuma kalau ada orang yang merasakan senario politik berubah sehingga menghalalkan apa sahaja sehingga membuka ruang untuk semua perkara, itu satu kesilapan. Semua pemimpin sama ada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang perlu menghantar mesej, jika mahu melakukan perubahan, mesti ada batasan dan bukan ‘cek kosong’. Kalau pun ada sistem dua parti, kedua-dua parti perlu ada persepakatan dalam elemen agama dan bangsa yang diamalkan.

Kalau mahu bersaing, tunjukkan kepada rakyat dalam aspek siapa lebih cekap, lebih telus, siapa yang boleh menjana ekonomi tetapi dalam hal mempertahankan keunikan aspek sosial dan budaya, kedua-dua mesti bersatu bagi menepis elemen ekstrem dalam hak-hak asasi dan budaya barat melampau.


Demi agama Islam dan orang Melayu, parti yang mana satu dalam sistem dua parti ini yang mampu menjamin keteguhan amalan ajaran Islam dan pembelaan berterusan orang Melayu?

YUSRI MOHAMAD: Saya kira dua-dua gabungan ini mempunyai potensi. kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dan dalam dua gabungan ini ada elemen Islam, BN ada UMNO dan pakatan pembangkang ada Pas yang turut mempunyai elemen Islam dan Melayu. Oleh itu, agak sukar untuk menilai yang mana lebih baik kerana politik itu sendiri bersifat dinamik, sentiasa berubah-ubah. Yang menarik bagi ABIM ialah melihat komunikasi dan perbincangan antara parti-parti politik berteraskan Islam walaupun berlainan fahaman, tidak sekadar berseteru sahaja dan saling serang-menyerang terutama ketika pilihan raya.

Bukan negatif untuk kita berkongsi pandangan. Apa yang lebih penting ialah parti bukan Islam di negara ini mendapat mesej bahawa jika orang bukan Islam terlalu melampau dalam tuntutan dan tindakan, mereka akan hilang sokongan dan setiakawan dari parti politik Islam.


Berbalik kepada enam resolusi tadi, bagaimana mahu menerangkan kepentingannya kepada orang ramai termasuk bukan Islam?

YUSRI MOHAMAD: ABIM sedang menggerakkan usaha untuk membuat penerangan kepada ahli untuk disampaikan kepada semua umat Islam di negara ini selain menggunakan saluran media agar penyampaian lebih menyeluruh. Penggunaan media adalah sejajar dengan sasaran kepada semua termasuk bukan Melayu dan kepada sesetengah orang Melayu pun memerlukan penegasan semula. Mesej kita mudah iaitu jangan terbawa-bawa dengan menerima hakikat orang Islam sebagai tonggak negara ini, wujudkan sikap mahu terus bertolak-ansur, bertimbang rasa.

ABIM juga bersedia untuk mengadakan perbincangan atau dialog dengan mana-mana pertubuhan atau badan bukan kerajaan Islam dan bukan Islam termasuk Majlis Peguam tetapi hendaklah dijalankan secara tertutup. Kalau tidak tertutup, khuatir ia menjadi debat.


Sumber Dipetik : Utusan Malaysia
 
 

Alamat Perhubungan

 
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700

Email
sap@abim.org.my
atau
abimhq@gmail.com

Peta Lokasi

* Perhubungan Negeri

LAMAN AGENSI ABIM & BERKAITAN

 

Kalendar ABIM

<<  November 2008  >>
 Mo  Tu  We  Th  Fr  Sa  Su 
       1  2
  3  4  6  7  8  9
101112131416
17181920212223
24252627282930

Program Terkini

Projek Kewangan ABIM

 
PKA

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
who's online