|
||||
| Pembangunan Kampung-kampung Melayu Perlu Berteraskan Agama dan Ilmu - Amidi Abdul Manan |
|
Baru-baru ini pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur hangat diperkatakan. Jelas pendirian orang Melayu Kampung Baru tidak menolak pembangunan. Orang Melayu tidak kolot dengan pembangunan. Binalah bangunan setinggi mana pun orang Melayu tidak membantah. Cuma yang menjadi kerisauan orang Melayu adalah hak pemilikan terhadap tanah tersebut. Kampung Baru hanya merupakan satu contoh. Kita percaya satu hari nanti kawasan perkampungan tradisional Melayu seperti di Gombak dan Kelang malah Kampung Melayu Majidee di Johor Baharu pasti akan menerima nasib yang sama. Isu pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur perlu ditangani dengan baik agar kepercayaan dan ketulusan orang Melayu dalam menerima pembangunan tidak dipermainkan. Orang Melayu akan menolak jika terdapat unsur paksaan. Paksaan menunjukkan ada niat yang terselindung. Itulah sifat orang Melayu yang difahami menerusi pemerhatian oleh Sir Frank Swettenham, Residen Inggeris di Selangor. Orang Melayu adalah orang yang taat dengan agamanya. Perkara ini turut disentuh oleh beliau. Ketaatan ini diterjemahkan menerusi gaya hidup dan institusi. Tidak ada orang Melayu yang menolak atau membantah jika cadangan pembangunan turut membabitkan pembangunan pendidikan seperti bangunan sekolah apatah lagi sekolah agama atau pun maahad tahfiz. Itulah sifat kemelayuan yang dibimbangi kepupusannya. Melayu diperteguhkan dengan agamanya. Agamanya adalah Islam. Pembangunan yang mengukuhkan Islam amat dialu-alukan. Pembangunan yang meragut jati diri Melayu yang berteraskan Islam adalah pembangunan yang ditolak oleh orang Melayu. Jangan kita membesar-besarkan persoalan hak semata-mata. Hak melayu akan diubah dalam perlembagaan jika orang Melayu itu lemah. Lemah dari sudut ekonomi, politik dan yang lebih membimbangkan lagi adalah lemah dari sudut agama. Jika pun hak 100% Melayu dapat dilaksanakan, tetapi jika Melayu yang mewarisinya adalah Melayu yang tercabut akar jati dirinya, yang hidup lebih Barat dari orang Barat tiada maknanya. Oleh itu pembangunan kampung-kampung Melayu dibandar-bandar besar perlu mempertahankan jati diri Melayu itu sendiri. Bukan sekadar reka bentuk bangunan tetapi perlu menjurus kepada aktiviti masyarakat Melayu. Sebagai contohnya, kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak yang mampu membentuk dan membina akhlak yang mulia. Ini memandangkan keluarga Melayu di bandar kedua-dua ibu bapanya bekerja. Selain dari itu saiz rumah. Saiz rumah mestilah berpadanan dengan saiz keluarga orang Melayu yang rata-rata mempunyai anak 3 ke 4 orang. Barulah anak-anak akan selesa berada di rumah dalam pengawasan keluarga. Selain dari itu pembangunan yang dihasratkan juga mestilah menggalakkan pembudayaan ilmu. Premis-premis hiburan hendaklah dihadkan. Banyakkan toko-toko buku, begitu juga dengan perpustakaan. Menerusi ilmu, minda orang Melayu dapat diperkayakan dan dibebaskan dari sifat kebergantungan terhadap kerajaan semata-mata. Sekolah-sekolah yang dibina juga hendaklah mampu menampung kehendak dan keperluan masyarakat Melayu. Sekolah satu sesi yang menggabungkan antara akademik dan agama yang tersepadu dengan segala keperluan pembentukan insan kamil hendaklah diwujudkan.Tidaklah nanti generasi Melayu yang bakal lahir dari pembangunan ini buta agama dan buta arah kehidupan. Ramai yang mencemburui kedudukan kampung Melayu yang strategik dibandar. Ia seharusnya menjadikan orang Melayu semakin kuat. Kekuatan orang Melayu terserlah dengan agamanya. Rasulullah s.a.w mengembangkan dakwah Islam dibandar bukan dikampung-kampung. Menerusi masyarakat bandar Baginda membentuk gaya hidup dan budaya yang unik, sehinggakan wujud perbezaan antara penduduk Mekah dan Madinah. Bukan sekadar itu amal kebiasaan penduduk Madinah dijadikan rujukan dalam pembentukkan hukum feqah. Oleh yang demikian satu konsep pembangunan orang Melayu di Bandar perlu diperhalusi bukan setakat mempertahankan hak pemilikan hartanah tetapi juga mampu mempertahankan penghayatan orang Melayu terhadap jati dirinya yang berteraskan Islam.
|

















