Berita & Laporan Terkini

SUA Berangkat Ke United Kingdom

Pada 27 September 2008, SUA ABIM, Saudara Khairul Ariffin Mohd Munir telah berangkat ke Glasgow untuk melanjutkan pelajaran. Beliau akan berada di sana dalam tempoh 2 tahun bagi mengikuti pengajian sarjana ( masters in laws, LLM) dalam bidang undang-undang. Keberangkatan beliau telah diiringi oleh keluarga. Seluruh warga ABIM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat jalan dan selamat melanjutkan pelajaran di bumi perantauan. Mudah-mudahan beliau akan terus membantu menggerakkan dakwah Islam walau di mana beliau berada, dan akan kembali membantu memperkukuh perjuangan ABIM kelak.

Majlis Barbeque Untuk Meraikan Penghuni Rumah Titian Kasih

Pada 30 Ramadhan 1429, bersamaan 30 September 2009, ABIM dengan kerjasama FEDEC telah menganjurkan sebuah majlis ‘ Barbeque’ untuk meraikan para penghuni Rumah Titian Kasih. Majlis tersebut telah diadakan untuk menghiburkan dan meraikan para penghuni RTK menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri.Acara telah dimulakan dengan majlis berbuka puasa, diikuti dengan solat Maghrib secara berjemaah. Laungan Takbir Raya telah turut dilakukan secara beramai-ramai untuk menghidupkan suasana sambutan Aidil Fitri berteraskan prinsip Islam. Beberapa aktivis ABIM dan sukarelawan, seperti Saudara Rashdan Abu Hassan, Saudara Yusni Khusaini dan Faiezal Zainudin ( Jai) telah bertungkus lumus menyediakan hidangan BBQ pada malam tersebut.

Program Ihya Ramadhan

Sesungguhnya Ramadhan setiap tahun memberikan signifikan penting dalam diari setiap Muslim. Bertujuan memperbaiki diri kepada yang lebih baik dan menjadi insan yang bertaqwa dan berdiri teguh menyumbang kepada pembangunan umat. Pada 21 September 2008 bersamaan 21 Ramadhan 1429H, ABIM dengan kerjasama Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat telah berjaya melaksanakan program pengahayatan ramadhan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar kawasan Lembah Keramat. Program bermula pada jam 830 pagi dengan pendaftaran peserta dan pembahagian kumpulan dan juga sesi suai kenal sesama ahli kumpulan. semua fasilitator adalah terdiri dari sukarelawan ABIM. Slot pertama bertajuk Kesatria Melayu memerlukan peserta menjawab soalan berkaitan tugas hamba dan khalifah dan matlamat hidup,selepas menjawab semua soalan fasilitator telah menghuraikan dan mengaitkan dengan kehidupan peserta sekarang.

ABIM Bantu Keluarga Aktivis Yang Terkorban

TERAS JERNANG – 13 September 2008, ABIM Selangor telah menyerahkan sumbangan Tabung Prihatin yang telah dilancarkan selama sebulan dari 17 Julai – 17 Ogos yang lalu kepada balu al marhum Amin Nasir yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Puchong pada bulan Julai yang lalu. Rombongan yang diketuai oleh YDP ABIM Selangor itu turut dihadiri Sdr Khairuddin Abbas ,PSU ABIM Selangor dan Sdr Azman SU ABIM Sepang. Beliau telah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak yang masih kecil.Isterinya bertugas diUniten dibahagian pentadbiran dan mereka tinggal di Kampung Teras Jernang, Bangi. ABIM Bangi telah membantu isteri arwah menguruskan persekolahan anak dan urusan kebajikan yang diperlukan. Walaupun sumbangan yang diberi tidak seberapa, tetapi keprihatinan ini diharap dapat mengurangkan tekanan dan bebannya untuk seketika.Biarpun sumbangannya kepada gerakan dakwah tidak lama tetapi ia tetap pernah melakukan sesuatu untuk agamanya.  Hanya Allah yang dapat menghitung segala amal hamba-hambaNYa. HELWA Selangor diwakili oleh Azareka, Faizah dan Suhaila sedang menyampaikan sumabangan kepada isteri arwah dirumahnya

Smart Solat ABIM Mendapat Sambutan Hangat

JALAN KEBUN, 21 September ’08 – Seramai 160 orang remaja berusia 9 tahun hingga 16 tahun telah mengikuti Program ‘Smart Solat’ yang dianjurkan oleh ABIM Selangor dan PEPIAS di Masjid An Naim, Jalan Kebun ( Utara ) dan Masjid Al Falah, Jalan Kebun ( Selatan ). Seramai 20 orang pendakwah muda dari kalangan pimpinan dan ahli PEPIAS dari berbagai universiti telah turun padang membantu melancarkan program tersebut. Program kali ke tiga ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan menandakan kesedaran umat tentang perlunya pendidikan ibadah anak-anak diberi keutamaan semakin meningkat. Program ini telah telah mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak terutamanya pihak MAIS yang telah menyediakan dana dakwah, pihak masjid yang telah memberikan kebenaran dan jemputan kepada peserta, Blue T  Publication Sdn Bhd yang telah menyumbangkan majalah ANA MUSLIM untuk semua peserta dan semua pihak yang membantu menjayakan program tersebut.

Pengagihan Barangan Sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras

Rabu (24 September 2008) - Sebanyak 22 set beras dan barangan keperluan harian telah diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan bertempat di Dewan JKKK Kampung Selayang Baru. Majlis pemberian sumbangan dipengerusikan oleh Ketua Kampung Selayang Baru, Ustaz Azizan Ali dan dirasmikan oleh Penghulu Mukim Batu, Saudara Zamani Karulani. Majlis disusuli ucapan ringkas daripada Naib Presiden Kebangsaan ABIM, Saudara Fauwaz Hasbullah.Seterusnya pengagihan sumbangan dijalankan di perkarangan Dewan JKKK. Sumbangan diagihkan oleh Jawatankuasa JKKK Kampung Selayang Baru diketuai Ustaz Azizan Ali, Penghulu Zamani dan Saudara Fauwaz Hasbullah. Rata-rata penerima sumbangan terdiri daripada ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan kurang upaya.

Iltizam Staf : Selamat Berangkat Buat SUA ABIM

Pada 22 September 2008, ABIM telah menganjurkan sesi Iltizam Staf khas bagi menyampaikan sumbangan kepada para staf ABIM dan agensi-agensinya. Majlis ini diadakan dengan tujuan untuk menghargai sumbangan semua petugas dalam suasana menyambut ketibaan hari raya Aidil Fitri yang bakal menjelma. Selain itu, sesi Iltizam kali ini juga diadakan khusus untuk memberi peluang kepada semua yang hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Setiausaha Agung ABIM, Saudara Khairul Ariffin Mohd Munir yang akan berlepas ke United Kingdom bagi melanjutkan pelajaran. Di dalam ucapan, Saudara Khairul Ariffin telah menyampaikan harapan agar semua petugas dan aktivis ABIM untuk meneruskan kerja-kerja da’wah ABIM dengan penuh komitmen.

Majlis Berbuka Puasa ( Iftar) HELWA

Pada 20 September 2008, HELWA telah menganjurkan majlis berbuka puasa di FEDEC, Ampang. Penganjuran majlis berbuka puasa ini antara lain adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli ABIM dan penggerak Helwa. Kira-kira 30 orang ahli-ahli ABIM dan penggerak Helwa beserta keluarga masing-masing telah memeriahkan majlis ini. Majlis berbuka puasa ini telah terlebih dahulu dimulakan dengan penyampaian tazkirah oleh Saudara Asri Abdul. Selanjutnya, selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, majlis diteruskan dengan solat sunat Isyak dan tarawikh secara berjemaah. Majlis ini ditutup dengan ucapan oleh Puan Azini Othman, Penyelaras Fedec.

Iftar Jamaie ABIM

Pada 13 September 2008, bersamaan 13 Ramadhan 1429H, ABIM bersama-sama dengan agensi-agensinya iaitu WADAH, PKPIM, Kolej Darul Hikmah, GPM, IKRAK, KBMC dan lain-lain lagi telah menganjurkan majlis Iftar Jamaie di Kolej Darul Hikmah, Sungai Ramal, Kajang Selangor. Majlis tersebut telah dihadiri  oleh hampir 500 orang ahli-ahli ABIM. Majlis telah dimulakan dengan sesi berbuka puasa dengan juadah ringan. Selepas menunaikan solat Maghrib, semua yang hadir telah dijemput sekali lagi untuk menjamu selera dengan hidangan makan malam. Selepas itu, mantan Presiden ABIM, Dato’ Dr.Siddiq Fadhil telah menyampaikan tazkirah ringkas. Selanjutnya, majlis diteruskan dengan acara solat Isyak dan Tarawikh secara berjemaah.

Iklaneka & Pengumuman

Memorandum ABIM Terhadap Cadangan Program Perintis (Pilot Programme) Kementerian Kesihatan Malaysia PDF Print E-mail
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) difahamkan menerusi media cetak dan elektronik bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia mengusulkan satu cadangan untuk melaksanakan program perintis bertujuan mengurangkan jangkitan HIV/AIDS di Malaysia.

Cadangan tersebut ialah mengagihkan secara percuma jarum suntikan, kondom dan sejenis dadah “methadone” untuk mengurangkan ketagihan dadah, kepada sejumlah 1,200 orang penagih dadah menerusi 10 klinik kerajaan dan 10 klinik swasta di empat (4) zon di Semenanjung Malaysia iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Timur., mulai Oktober 2005 nanti selama enam (6) bulan.

2. Media juga melaporkan bahawa seandainya program perintis ini berjaya, program ini akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh. Cadangan ini dilaporkan media akan dibincangkan di mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan dan Rawatan Majlis Tindakan Membasmi Dadah yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri sendiri, sebelum dikemukakan ke Mesyuarat Jemaah Menteri. Pengumuman cadangan ini secara terbuka dikatakan bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas (feedback) dari masyarakat Malaysia.
3. Berdasarkan kepada fakta cadangan tersebut dan maklumbalas dari rakyat Malaysia pelbagai agama, budaya dan kaum, serta para pemimpin masyarakat, ABIM merasa bertanggungjawab untuk mengemukakan pendirian dan pandangannya seperti berikut:

a. Ada yang menganggap bahawa pengagihan kondom adalah langkah pragmatik kerana hakikatnya manusia akan terus melakukan amalan seks. Bagi mereka yang bersetuju dengan kaedah ini, pemberian kondom untuk menggalakkan seks rambang perlu dibezakan dengan pemberian kondom untuk mencegah wabak jangkitan HIV.

Pendirian ABIM: Kaedah ini akan hanya menggalakkan gejala maksiat dan perzinaan, khususnya di kalangan penagih dadah dan/atau pelaku seks yang tidak bernikah. Bagi mereka ini, sememangnya tidak ada perbezaan langsung sama ada pemberian kondom tersebut adalah untuk pencegahan HIV atau meningkatkan aktiviti perzinaan. Mereka akan tetap melakukan seks rambang; yang bezanya ialah kali ini mereka dibekalkan dengan kondom secara percuma dari sumbangan dana rakyat (public funds) seperti pembayaran cukai pendapatan dan pelbagai bentuk cukai lain. Statistik yang ada belum cukup kuat untuk membuktikan progam ini berjaya mengurangkan pesakit ini.

Kaedah ini akan hanya akhirnya membina sebuah masyarakat permisif, yang terpaksa berkompromi dan merelakan sesuatu kemungkaran atau keburukan untuk menjustifikasi sesuatu yang belum terbukti kebenaran dan keberkesanannya.

b.Ada juga yang mengatakan bahawa sudah ada kajian yang membuktikan penurunan jangkitan HIV di bandar-bandar yang melaksanakan program pengedaran jarum berbanding dengan bandar-bandar yang tidak melaksanakan program ini. Menurut pandangan ini lagi, pengedaran kondom di kalangan penagih dadah HIV positif dapat mengawal jangkitan HIV daripada merebak. Di antara negara-negara yang berjaya mengawal wabak HIV melalui pendekatan ini ialah Australia dan Thailand. Negara Iran dan Bangladesh juga dikatakan telah melaksanakan kaedah ini berdasarkan beberapa prinsip asas Islam seperti prinsip darurat yang terpaksa dilaksanakan dalam keadaan luar biasa di mana ratusan ribu insan terkorban. Turut dikemukakan bahawa 75% daripada mereka yang dijangkiti HIV (yang setakat ini melebihi 61,486 orang) ialah penagih dadah.

Pendirian ABIM: Kerajaan perlu mengenalpasti terlebih dahulu apakah punca utama merebaknya wabak HIV ini di negara kita. Sekiranya yang dijangkiti HIV itu majoritinya adalah penagih dadah, maka barangkali program perintis ini boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan dengan pemberian jarum suntikan terlebih dahulu secara terkawal, sepertimana yang diutarakan oleh Dato’ Dr Ismail Ibrahim, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan. Tetapi kaedah ini perlu dilaksanakan dengan menekankan aspek-aspek kaunseling, nasihat dan pendidikan kerana aspek-aspek ini lebih penting untuk keberkesanan jangka panjang.

c. Mereka yang mendokong cadangan ini menyatakan bahawa kaedah pengagihan kondom secara percuma telah berjaya di negara-negara luar, dan dengan demikian perlu ditiru pelaksanaannya di Malaysia.

Pendirian ABIM: Kaedah pengedaran kondom percuma kepada penagih dadah kononnya berjaya dilaksanakan di negara-negara luar kerana majoriti yang dijangkiti HIV/AIDS adalah mereka yang mengamalkan seks rambang. Tetapi gejala ini agak berlainan dengan keadaan dan budaya di negara kita. Hakikat ini juga telah diperakui oleh YB Datuk Noh Omar, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Meniru eksperimen sebegini di negara-negara lain secara semberono belum tentu dapat menjamin keberkesanannya.

d. Ada juga pandangan yang menggalakkan program terapi penggantian dadah dengan memberi sejenis dadah “methadone” yang dikatakan mampu mengurangkan ketagihan.

Pendirian ABIM: Kaedah ini akan hanya melanjutkan ketagihan dadah kerana yang berubah hanyalah jenis dadah. Tetapi ketagihan tetap akan berlaku. Secara logiknya, penagih dadah ini akan hanya mempelbagaikan ketagihan bahan-bahan lain seperti ketagihan menghidu gam, ubat batuk dan seumpamanya. Sesungguhnya kita tidak boleh memadamkan api dengan api (fighting fire with fire).

Yang turut menjadi isu di sini ialah dengan pengagihan jarum suntikan dan dadah “methadone” oleh Kerajaan. Apakah para penagih ini akan didakwa sekiranya ditangkap memiliki dadah? Apakah akan wujud apa yang disifatkan sebagai najis dadah yang haram atau najis dadah yang halal? Malah ABIM memandang berat kenyataan konvenor Malaysian Harm Reduction Working Group bahawa Akta Dadah Berbahaya 1952 (Dangerous Drugs Act 1952) perlu dipinda untuk membolehkan cadangan ini dilaksanakan. Ini merupakan satu lagi langkah berkompromi dan permisif terhadap gejala penyalahgunaan dadah. Lebih parah lagi sekiranya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) terpaksa melonggarkan usaha penangkapan penagih dadah. Akhirnya, hanya segelintir rakyat Malaysia yang menagih dadah mendapat manfaat penyalahgunaan dadah secara percuma tajaan negara, manakala rakyat terbanyak yang lain terpaksa menanggung bukan hanya risiko jangkitan HIV bahkan risiko terperangkap dalam gejala penyalahgunaan najis dadah halal.

e. Kementerian Kesihatan telah menganggarkan bahawa kos pelaksanaan cadangan kaedah ini adalah lebih kurang RM 145 juta (untuk 1,200 orang penagih dadah) setahun.

Pendirian ABIM: Sekiranya kaedah tersebut diperluaskan kepada 70,000 orang pengidap virus HIV, maka anggaran kos pelaksanaan kaedah ini adalah berjumlah RM 8.5 billion setahun. Ini tidak termasuk pelbagai kos lain yang berkaitan dengan langkah mencegah penyalahgunaan dadah seperti kos pembinaan lebih banyak pusat serenti, kos pengoperasian pusat serenti, kos penguatkuasaan dan penangkapan penagih dadah, kos mewujudkan pusat pengagihan jarum suntikan, kondom dan dadah “methadone” dan seumpamanya.

Jelas bahawa kos yang sebanyak itu bukanlah satu penjimatan dan pasti akan menjejaskan pengurusan kewangan Kerajaan. Akhirnya ialah kemungkinan Kerajaan terpaksa menimbang kenaikan cukai pendapatan dan pelbagai cukai lain atau mengorbankan projek-projek kemudahan kepada rakyat hanya untuk membiayai pelaksanaan eksperimen kaedah yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan ini.

4. Sehubungan ini, adalah dicadangkan bahawa langkah-langkah berikut dipertimbangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan dan Rawatan Majlis Tindakan Membasmi Dadah yang akan datang:

a. Ketiga-tiga kaedah yang dicadangkan ini merupakan kaedah yang kurang berkesan berbanding dengan kaedah yang telah jelas terbukti iaitulah perubatan terapeutik (therapeutic medicine) sepertimana yang berjaya dilaksanakan dengan berkesan oleh PEMADAM dan Pengasih.

Paling minima, ketiga-tiga kaedah yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan ini hanyalah penyelesaian second best kerana yang ditanganinya hanyalah gejala (symptoms) dan bukannya punca serta kesan ketagihan tersebut, yang sememangnya lebih bersifat jangka panjang.

b. Pemberian kondom sekiranya hendak dilaksanakan juga perlulah dikawal hanya kepada penghidap HIV yang telah berumahtangga untuk mengelak isterinya yang sah dari dijangkiti virus HIV. Pengagihan kondom kepada mereka yang sememangnya mengamalkan seks rambang akan menggalakkan lagi mereka melakukan hubungan sekd luar nikah. Bagi umat Islam, keinsafan dan kesedaran perlu dititikberatkan kepada para penghidap HIV kerana virus HIV merupakan satu musibah atau bala bagi sesetengah pihak yang enggan dan engkar di atas perlakuan mereka sendiri. Namun secara khusus bagi golongan isteri yang dijangkiti menerusi suami mereka, pemberian kondom mungkin boleh dibenarkan, dengan syarat bahawa rawatan kepada suami yang dijangkiti HIV itu dilakukan serentak.

5. Sesungguhnya rakyat tidak dapat diyakinkan bahawa kaedah-kaedah ini merupakan penyelesaian kepada krisis ketagihan dadah dan jangkitan wabak HIV. Meskipun kaedah-kaedah ini cuba dihujahkan sebagai langkah pencegahan, tetapi ternyata dari fakta cadangan tersebut, yang akan diagihkan jarum suntikan, kondom dan dadah gantian ini adalah di kalangan mereka yang telahpun dijangkiti HIV. Maka hujah “preventive is better than cure” sudah tidak lagi relevan. ABIM akur dengan pendirian majoriti rakyat yang tidak dapat menerima cadangan kaedah ini. Dalam pada itu, pandangan Timbalan Pengerusi PEMADAM bahawa cadangan kaedah ini telah terbukti tidak berkesan di banyak negara-negara lain perlu juga diambilkira.

7. Kita mendapati model yang telah dimulakan oleh Barat ini tidak pernah menampakkan kejayaan dan perubahan dalam masyarakatnya, apakah kita (rakyat Malaysia) akan boleh berubah berdasarkan kaedah mereka ?. Kita tidak perlu mengikut model Barat. Kita seharusnya mengajak rakayat mengelakkan tingkahlaku yang boleh membawa kepada epidemic tersebut. Adakah logik seseorang itu apabila semasa berkongsi jarum (disebabkan isi yang sama/jimat kos/dalam keadaan khayal) punyai kesempatan untuk menukar jarum tersebut ? Apakah dengan memakai kondom, menjamin 100% tidak berlaku jangkitan tersebut (disebabkan kebocoran dan tidak pandai menggunakannya)? Jangan sampai rakyat dapat merasakan bahawa kerajaan kini langsung tidak lagi mahu berfikir dan tidak dapat mempertahankan lagi nilai serta budaya, agama bangsa negara ini. Yang kita dapat akhirnya, isu dan kos semakin meningkat, cadangan yang merugikan umat khasnya umat Melayu Islam. Adalah lebih baik sekiranya pengalaman program pencegahan HIV-AIDS di Uganda yang telahpun diiktiraf oleh WHO keberkesanannya.

8. Yang sewajarnya menjadi langkah-langkah pencegahan (preventive measures) adalah penutupan “saluran-saluran” yang akan melorongkan mereka kepada jangkitan HIV (sama ada yang sudah dijangkiti mahupun yang berpotensi untuk dijangkiti). Kaedah ini memang dianjurkan oleh Islam dan disepakati oleh agama-agama lain di dunia. Di antara langkah-langkah pencegahan “saluran-saluran” tersebut ialah pembenterasan gejala maksiat di pelbagai peringkat masyarakat, gerak-gempur kepada sarang-sarang penagih dadah dan sarang maksiat, penyederhanaan program dan budaya hiburan yang semakin keterlaluan, dan seumpamanya. Di atas asas pertimbangan inilah juga barangkali cadangan Sahibus-Samahah Dato’ Seri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak, agar mereka yang dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS dikuarantinkan agar kaedah pengubatan terhadap mereka ini boleh ditumpukan secara intensif dan jangkitan dapat dikawal, seperti mana yang telah Kerajaan laksanakan terhadap para pesakit tuberculosis (TB), Japanese Encephalitis (JE) dan kusta.

9. ABIM dengan ini memohon pertimbangan Jemaah Menteri untuk mengkaji semula kebijaksanaan dan keperluan cadangan ini. Janganlah terburu-buru melaksanakan sesuatu perkara sekadar untuk mempertahankan fakta yang tidak tepat. ABIM menggesa agar cadangan ini tidak dilaksanakan demi kebaikan umat seluruhnya. Dana yang diperuntukkan ini boleh dimanfaatkan untuk program-program perubatan ketagihan dadah yang sudah terbukti keberkesanannya dan pembelaaan kepada mereka yang telah terjebak dalam kancah pelacuran.

“Hadith dari Ibn Majah: If fahishah or fornication and all kinds of sinful intercourse become rampant and openly practiced without inhibition in any group or nation, Allah will punish them and with new epidemics and new diseases which were not known to their forefathers and earlier generations.”

Yang benar, bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia

AZIZUDDIN AHMAD
Setiausaha Agung ABIM
 
 
helwa my Madani tv minda madani
 

Alamat Perhubungan

 
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700

Email
sap@abim.org.my
atau
abimhq@gmail.com

Peta Lokasi

* Perhubungan Negeri

Kalendar ABIM

<<  October 2008  >>
 Mo  Tu  We  Th  Fr  Sa  Su 
    1  2  3  4  5
  6  7  8  9101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Program Terkini

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
who's online