Berita & Laporan Terkini

SUA Berangkat Ke United Kingdom

Pada 27 September 2008, SUA ABIM, Saudara Khairul Ariffin Mohd Munir telah berangkat ke Glasgow untuk melanjutkan pelajaran. Beliau akan berada di sana dalam tempoh 2 tahun bagi mengikuti pengajian sarjana ( masters in laws, LLM) dalam bidang undang-undang. Keberangkatan beliau telah diiringi oleh keluarga. Seluruh warga ABIM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat jalan dan selamat melanjutkan pelajaran di bumi perantauan. Mudah-mudahan beliau akan terus membantu menggerakkan dakwah Islam walau di mana beliau berada, dan akan kembali membantu memperkukuh perjuangan ABIM kelak.

Majlis Barbeque Untuk Meraikan Penghuni Rumah Titian Kasih

Pada 30 Ramadhan 1429, bersamaan 30 September 2009, ABIM dengan kerjasama FEDEC telah menganjurkan sebuah majlis ‘ Barbeque’ untuk meraikan para penghuni Rumah Titian Kasih. Majlis tersebut telah diadakan untuk menghiburkan dan meraikan para penghuni RTK menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri.Acara telah dimulakan dengan majlis berbuka puasa, diikuti dengan solat Maghrib secara berjemaah. Laungan Takbir Raya telah turut dilakukan secara beramai-ramai untuk menghidupkan suasana sambutan Aidil Fitri berteraskan prinsip Islam. Beberapa aktivis ABIM dan sukarelawan, seperti Saudara Rashdan Abu Hassan, Saudara Yusni Khusaini dan Faiezal Zainudin ( Jai) telah bertungkus lumus menyediakan hidangan BBQ pada malam tersebut.

Program Ihya Ramadhan

Sesungguhnya Ramadhan setiap tahun memberikan signifikan penting dalam diari setiap Muslim. Bertujuan memperbaiki diri kepada yang lebih baik dan menjadi insan yang bertaqwa dan berdiri teguh menyumbang kepada pembangunan umat. Pada 21 September 2008 bersamaan 21 Ramadhan 1429H, ABIM dengan kerjasama Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat telah berjaya melaksanakan program pengahayatan ramadhan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar kawasan Lembah Keramat. Program bermula pada jam 830 pagi dengan pendaftaran peserta dan pembahagian kumpulan dan juga sesi suai kenal sesama ahli kumpulan. semua fasilitator adalah terdiri dari sukarelawan ABIM. Slot pertama bertajuk Kesatria Melayu memerlukan peserta menjawab soalan berkaitan tugas hamba dan khalifah dan matlamat hidup,selepas menjawab semua soalan fasilitator telah menghuraikan dan mengaitkan dengan kehidupan peserta sekarang.

ABIM Bantu Keluarga Aktivis Yang Terkorban

TERAS JERNANG – 13 September 2008, ABIM Selangor telah menyerahkan sumbangan Tabung Prihatin yang telah dilancarkan selama sebulan dari 17 Julai – 17 Ogos yang lalu kepada balu al marhum Amin Nasir yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Puchong pada bulan Julai yang lalu. Rombongan yang diketuai oleh YDP ABIM Selangor itu turut dihadiri Sdr Khairuddin Abbas ,PSU ABIM Selangor dan Sdr Azman SU ABIM Sepang. Beliau telah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak yang masih kecil.Isterinya bertugas diUniten dibahagian pentadbiran dan mereka tinggal di Kampung Teras Jernang, Bangi. ABIM Bangi telah membantu isteri arwah menguruskan persekolahan anak dan urusan kebajikan yang diperlukan. Walaupun sumbangan yang diberi tidak seberapa, tetapi keprihatinan ini diharap dapat mengurangkan tekanan dan bebannya untuk seketika.Biarpun sumbangannya kepada gerakan dakwah tidak lama tetapi ia tetap pernah melakukan sesuatu untuk agamanya.  Hanya Allah yang dapat menghitung segala amal hamba-hambaNYa. HELWA Selangor diwakili oleh Azareka, Faizah dan Suhaila sedang menyampaikan sumabangan kepada isteri arwah dirumahnya

Smart Solat ABIM Mendapat Sambutan Hangat

JALAN KEBUN, 21 September ’08 – Seramai 160 orang remaja berusia 9 tahun hingga 16 tahun telah mengikuti Program ‘Smart Solat’ yang dianjurkan oleh ABIM Selangor dan PEPIAS di Masjid An Naim, Jalan Kebun ( Utara ) dan Masjid Al Falah, Jalan Kebun ( Selatan ). Seramai 20 orang pendakwah muda dari kalangan pimpinan dan ahli PEPIAS dari berbagai universiti telah turun padang membantu melancarkan program tersebut. Program kali ke tiga ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan menandakan kesedaran umat tentang perlunya pendidikan ibadah anak-anak diberi keutamaan semakin meningkat. Program ini telah telah mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak terutamanya pihak MAIS yang telah menyediakan dana dakwah, pihak masjid yang telah memberikan kebenaran dan jemputan kepada peserta, Blue T  Publication Sdn Bhd yang telah menyumbangkan majalah ANA MUSLIM untuk semua peserta dan semua pihak yang membantu menjayakan program tersebut.

Pengagihan Barangan Sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras

Rabu (24 September 2008) - Sebanyak 22 set beras dan barangan keperluan harian telah diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan bertempat di Dewan JKKK Kampung Selayang Baru. Majlis pemberian sumbangan dipengerusikan oleh Ketua Kampung Selayang Baru, Ustaz Azizan Ali dan dirasmikan oleh Penghulu Mukim Batu, Saudara Zamani Karulani. Majlis disusuli ucapan ringkas daripada Naib Presiden Kebangsaan ABIM, Saudara Fauwaz Hasbullah.Seterusnya pengagihan sumbangan dijalankan di perkarangan Dewan JKKK. Sumbangan diagihkan oleh Jawatankuasa JKKK Kampung Selayang Baru diketuai Ustaz Azizan Ali, Penghulu Zamani dan Saudara Fauwaz Hasbullah. Rata-rata penerima sumbangan terdiri daripada ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan kurang upaya.

Iltizam Staf : Selamat Berangkat Buat SUA ABIM

Pada 22 September 2008, ABIM telah menganjurkan sesi Iltizam Staf khas bagi menyampaikan sumbangan kepada para staf ABIM dan agensi-agensinya. Majlis ini diadakan dengan tujuan untuk menghargai sumbangan semua petugas dalam suasana menyambut ketibaan hari raya Aidil Fitri yang bakal menjelma. Selain itu, sesi Iltizam kali ini juga diadakan khusus untuk memberi peluang kepada semua yang hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Setiausaha Agung ABIM, Saudara Khairul Ariffin Mohd Munir yang akan berlepas ke United Kingdom bagi melanjutkan pelajaran. Di dalam ucapan, Saudara Khairul Ariffin telah menyampaikan harapan agar semua petugas dan aktivis ABIM untuk meneruskan kerja-kerja da’wah ABIM dengan penuh komitmen.

Majlis Berbuka Puasa ( Iftar) HELWA

Pada 20 September 2008, HELWA telah menganjurkan majlis berbuka puasa di FEDEC, Ampang. Penganjuran majlis berbuka puasa ini antara lain adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli ABIM dan penggerak Helwa. Kira-kira 30 orang ahli-ahli ABIM dan penggerak Helwa beserta keluarga masing-masing telah memeriahkan majlis ini. Majlis berbuka puasa ini telah terlebih dahulu dimulakan dengan penyampaian tazkirah oleh Saudara Asri Abdul. Selanjutnya, selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, majlis diteruskan dengan solat sunat Isyak dan tarawikh secara berjemaah. Majlis ini ditutup dengan ucapan oleh Puan Azini Othman, Penyelaras Fedec.

Iftar Jamaie ABIM

Pada 13 September 2008, bersamaan 13 Ramadhan 1429H, ABIM bersama-sama dengan agensi-agensinya iaitu WADAH, PKPIM, Kolej Darul Hikmah, GPM, IKRAK, KBMC dan lain-lain lagi telah menganjurkan majlis Iftar Jamaie di Kolej Darul Hikmah, Sungai Ramal, Kajang Selangor. Majlis tersebut telah dihadiri  oleh hampir 500 orang ahli-ahli ABIM. Majlis telah dimulakan dengan sesi berbuka puasa dengan juadah ringan. Selepas menunaikan solat Maghrib, semua yang hadir telah dijemput sekali lagi untuk menjamu selera dengan hidangan makan malam. Selepas itu, mantan Presiden ABIM, Dato’ Dr.Siddiq Fadhil telah menyampaikan tazkirah ringkas. Selanjutnya, majlis diteruskan dengan acara solat Isyak dan Tarawikh secara berjemaah.

Iklaneka & Pengumuman

Pilihanraya Turki 2007 PDF Print E-mail

 Pilihanraya adalah manifestasi perjalanan demokrasi sesebuah negara. Melalui pilihanraya, rakyat telah diberikan kuasa untuk mencorakkan masa depan negara mereka. Untuk berbuat demikian, rakyat perlu memilih sesebuah parti ataupun individual yang dirasakan mampu memenuhi harapan serta cita-cita mereka. Untuk 16.34 juta rakyat Turki yang turun mengundi pada 22 Julai yang lalu, tarikh itu adalah manifestasi jelas dukungan mereka terhadap AKP di bawah kepimpinan Recep Tayyip Erdogan.

Meskipun ramai telah meramalkan kemenangan akan berpihak kepada AKP, namun ramalan itu sama sekali tidak menjangka AKP akan mencapai kejayaan yang gemilang dalam pilihanraya yang mempertaruhkan 550 kerusi parlimen. Meskipun AKP hanya mampu meraih 341 kerusi jika dibandingkan dengan 363 yang diperolehi pada November 2002 yang lalu, namun ia berjaya meningkatkan jumlah undi popular yang diraih untuk pilihanraya pada kali ini.
 
Secara keseluruhan AKP telah meraih sebanyak 46.6% undi popular daripada 35,017,315 undi yang dikira secara keseluruhan. Jumlah itu sangat besar jika dibandingkan dengan jumlah yang diperolehi oleh dua pencabar terdekatnya iaitu CHP (20.85%) dan MHP (14.29%). Kejayaan AKP lebih bermakna apabila ia telah berjaya menembusi beberapa kubu kuat CHP dan MHP seperti di Ankara dan Izmir . Walaupun AKP tewas di kawasan yang dimenangi oleh kedua-dua parti tersebut, namun ia telah berjaya meraih undi popular yang sangat menggalakkan di sesetengah kawasan tersebut.
 
MENGAPA AKP MENANG?
 
Kegagalan CHP, MHP serta deretan parti sekular yang lain amat mengejutkan. Kenyataan adalah berdasarkan kepada siri-siri demonstrasi yang diadakan oleh rakyat Turki beberapa bulan menjelang pilihanraya. Bahkan dalam tinjauan yang dilakukan oleh akhbar-akhbar harian utama di Turki, seakan ia menggambarkan kebimbangan rakyat Turki terhadap peningkatan proses “Islamisasi” yang didakwa didalangi oleh AKP. Ia termasuk meningkatnya jumlah wanita Turki yang mengenakan tudung di tempat-tempat awam.
 
Bahkan ada akhbar-akhbar harian di Turki mendakwa bahawa golongan wanita merupakan penggerak utama di sebalik siri-siri demonstrasi yang diadakan sebelum ini. Kebimbangan ini seakan dapat dikesani oleh AKP yang turut membariskan sejumlah calon wanita yang tidak mengenakan tudung! Untuk pilihanraya kali ini, 26 daripada 46 calon wanita di parlimen berasal daripada AKP. Dalam struktur hirearki politik Turki, wanita menduduki tangga terbawah serta sering dipinggirkan. Meskipun calon wanita AKP tidak ramai, namun sedikit sebanyak ia dapat mempengaruhi pertimbangan golongan tersebut pada 22 Julai yang lalu.
 
Kejayaan AKP juga turut dibantu dengan kegagalan pesaing-pesaing politiknya dalam memikat hati para pengundi. Sebagai contoh, dalam merangka proses pemulihan ekonomi negara itu, CHP yang dipimpin oleh Deniz Baykal dilihat lebih banyak menyogok para pengundi dengan penyelesaian yang bersifat jangka pendek. Antaranya ialah dengan memberikan bantuan kewangan kepada golongan muda serta wanita di samping menawarkan beberapa subsidi, yang turut menerima kritikan hebat di kalangan pengamat ekonomi Turki.
 
Bahkan pada saat-saat akhir sebelum pilihanraya, Baykal menuduh Erdogan mengamalkan nepotisme di samping mempertikaikan jumlah keseluruhan harta peribadi milik beliau. Nyata serangan samasekali tidak menggoyahkan kepercayaan rakyat Turki terhadap kemampuan AKP untuk menerajui negara itu untuk beberapa tahun akan datang. Dalam erti kata lain, retorik sebagai pendukung tegar fahaman sekular sahaja tidak memadai untuk membina keyakinan mereka untuk menyokong parti-parti tersebut.
 
 
TURKI DAN EROPAH
  
Kejayaan Erdogan ini juga merupakan simbol keyakinan rakyat Turki terhadap usaha jangka panjang beliau untuk memajukan Turki. Ia termasuk usahanya untuk membawa Turki menggangotai Kesatuan Eropah (EU). Jika ia menjadi kenyataan, Turki akan mendapat peluang perdagangan yang lebih luas untuk menjana proses pemulihan ekonominya. Ini sekaligus membuka lebih peluang pekerjaan kepada penduduk Turki. Namun, Erdogan serta Turki perlu melalui beberapa halangan sebelum perkara ini menjadi kenyataan.
 
Halangan paling besar hadir daripada Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy, yang menentang kuat usaha EU untuk membuka pintunya kepada Turki. Walaupun berulang-kali menegaskan bahawa penentangan ini dibuat bersandarkan kepada alasan geografi serta politik, namun ia turut dibayangi oleh kenyataan Jacques Myard yang khuatir kemenangan AKP akan mengancam keteguhan ideologi sekular yang telah didirikan di Turki. Beliau adalah ahli jawantankuasa hal ehwal luar Perancis. Ia jelas bertentangan dengan reaksi positif di kalangan negara anggota EU seperti Britain, Sweden , German dan Austria.
 
Bahkan Amerika Syarikat menerusi kenyataan yang dibuat oleh pembantu setiausaha negara untuk hal ehwal Eropah dan Eurasia, Matt Bryza, menggangap bahawa kemenangan ini merupakan isyarat positif terhadap perkembangan demokrasi di negara itu. Meskipun begitu, Turki masih memerlukan masa sebelum keanggotaannya diterima oleh EU. Ia berasaskan kepada kenyataan Presiden EU, Jose Manuel Barosso bahawa Turki masih belum bersedia untuk diterima sebagai anggota keluarga terbaru EU. Kenyataan ini dilihat cuba untuk mengambil hati beberapa negara yang menentang kemasukkan Turki seperti Perancis dan Greece . Justeru, adalah sukar untuk meramalkan bilakah Turki itu akan menjadi kenyataan.
 
KEMENANGAN UNTUK DEMOKRASI
 
Dalam artikelnya yang disiarkan oleh akhbar Zaman, John Esposito menggangap bahawa golongan sekularis merupakan ancaman yang terbesar kepada kestabilan politik Turki. Dengan merujuk secara khusus kepada siri-siri campurtangan yang dilakukan oleh pihak tentera pada masa lalu, Esposito menggangap bahawa golongan sekularis Turki merupakan ancaman sebenar kepada demokrasi serta kebebasan bersuara di negara itu. Bahkan, beliau menyelar tindakan golongan sekularis ala Turki yang tidak menghormati kebebasan hak asasi manusia.
 
Sebagai contoh, isu wanita mengenakan tudung di tempat-tempat awam tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman utama kepada ideologi sekular di negara tersebut. Esposito menegaskan bahawa sekularisme tidak menghalang seseorang individu itu dari mengamalkan kehendak agamanya, selagi mana individu itu tidak mencampur adukkan ia dengan urusan politik serta pentadbiran negara! Bahkan isu ini juga (kebebasan bersuara serta hak asasi manusia) merupakan antara syarat utama yang dikenakan oleh EU sebelum keanggotaan Turki boleh dipertimbangkan. Sebarang tindakan yang boleh mengancam perjalanan demokrasi di negara itu, akan hanya menjejaskan peluang negara itu untuk diterima ke dalam EU!
 
Akhbar Zaman juga turut menyiarkan keyakinan di kalangan wakil masyarakat minoriti Yahudi , Greece serta Armenia terhadap pentadbiran AKP. Kenyataan adalah sebagai membalas propaganda bahawa golongan-golongan ini menjadi mangsa diskriminasi di bawah “kerajaan Islam” yang diterajui oleh Erdogan. Meskipun keyakinan tidak dapat melindungi AKP daripada sebarang kritikan serta serangan daripada pencabar politiknya, sekurang-kurangnya ia merupakan manifestasi terhadap kemenangan rakyat Turki yang mendambakan perubahan setelah sekian lama. Dalam erti kata lain, ia adalah simbol kemenangan demokrasi di Turki.    
        

 
 
helwa my Madani tv minda madani
 

Alamat Perhubungan

 
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700

Email
sap@abim.org.my
atau
abimhq@gmail.com

Peta Lokasi

* Perhubungan Negeri

Kalendar ABIM

<<  October 2008  >>
 Mo  Tu  We  Th  Fr  Sa  Su 
    1  2  3  4  5
  6  7  8  9101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Program Terkini

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
who's online