Berita & Laporan Terkini

Lawatan Ke Rumah Titian Kasih

Pada 22 Ogos 2008, ABIM telah menganjurkan lawatan muhibah ke rumah anak-anak yatim Titian Kasih di Jalan Kuantan, berhampiran Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Lawatan ini telah dianjurkan untuk meninjau nasib anak-anak yatim yang bernaung di bawah Rumah Titian Kasih tersebut sambil melihat ruang-ruang kerjasama antara ABIM dan pengelola rumah tersebut. Rombongan ABIM telah diketuai oleh Penyelaras FEDEC, Puan Azini Othman. Rombongan ABIM telah meluangkan masa hampir satu jam setengah dengan beramah mesra dengan anak-anak yatim yang bernaung di rumah tersebut.

Muktamar Sanawi ABIM ke-37

Pada 15-17 Ogos 2008, Angkatan Belia Islam Malaysia telah menganjurkan Muktamar Sanawi kali ke 37 di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan. Presiden ABIM, Tn.Hj.Yusri Mohamad telah menyampaikan ucapan dasar bertajuk Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa Dalam Realiti Politik Baru.  Serentak dengan sambutan Muktamar pada tahun ini, ABIM turut menganjurkan Seminar Islam dan Cabaran Semasa dengan mengambil tema Memperkasa Perjuangan Agama Dan Bangsa. Seminar pada kali ini telah dihadiri oleh lebih daripada 1000 orang peserta, terdiri daripada ahli-ahli ABIM, pelajar dan tetamu jemputan.

Pemandu Pelancong Masjid diperluaskan

KUALA LUMPUR Program Pemandu Pelancong Masjid yang diwujudkan oleh Islamic Outreach ABIM (IOA) dengan kerjasama Masjid Negara akan diperluaskan ke lima buah masjid utama bagi menyampaikan usaha dakwah kepada para pelancong yang berkunjung ke masjid.Pengerusi IOA, Azril Mohd. Amin berkata, buat masa ini, program itu hanya terdapat di Masjid Negara sahaja dan pihaknya mahu memperluaskannya ke beberapa masjid yang menjadi tumpuan pelancong. Antaranya ialah Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Al-Azim, Melaka; Masjid Jamek Kuala Lumpur; Masjid Jamek Sabah dan Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Katanya, menerusi program itu, ia dapat menjadi saluran untuk memberi penjelasan mengenai kesyumulan Islam dan pengikutnya di samping memperbetulkan tanggapan Barat mengenai Islam.

Kunjungan Ke Berita Harian

Pada 1 Ogos 2008, ABIM telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Berita Harian di Bangsar. Rombongan ABIM telah diketuai oleh Timbalan Presiden, Dr.Mohd Farid Mohd Shahran. Kunjungan ABIM ini telah disambut oleh Ketua Editor Berita Harian, Datuk Manja Ismail.Pertemuan ini telah berlansung selama hampir satu jam setengah. Sepanjang tempoh pertemuan tersebut, ABIM telah bertukar-tukar pandangan dan maklum balas dengan pihak Berita Harian dalam pelbagai isu, khususnya dalam isu-isu politik dan kemasyarakatan. Di samping itu, pertemuan ini juga membolehkan ABIM mendapat maklumat tentang persepsi media terhadap gerak kerja ABIM selama hampir 37 tahun di persada da’wah.

Kunjungan Ke Berita Harian

Pada 1 Ogos 2008, ABIM telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Berita Harian di Bangsar. Rombongan ABIM telah diketuai oleh Timbalan Presiden, Dr.Mohd Farid Mohd Shahran. Kunjungan ABIM ini telah disambut oleh Ketua Editor Berita Harian, Datuk Manja Ismail.Pertemuan ini telah berlansung selama hampir satu jam setengah. Sepanjang tempoh pertemuan tersebut, ABIM telah bertukar-tukar pandangan dan maklum balas dengan pihak Berita Harian dalam pelbagai isu, khususnya dalam isu-isu politik dan kemasyarakatan. Di samping itu, pertemuan ini juga membolehkan ABIM mendapat maklumat tentang persepsi media terhadap gerak kerja ABIM selama hampir 37 tahun di persada da’wah.

Kunjungan Ke Yayasan Karyawan Malaysia

Pada 29 Julai 2008, ABIM dengan diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Saudara Khairul Ariffn Mohd Munir telah mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Karyawan Malaysia di Pusat Bandar Damansara. Kunjungan ini telah secara khususnya diadakan untuk melakukan lawatan hormat kepada Ketua Pengarah Eksekutifnya, Dato’ Dr. Hassan Ahmad.Pertemuan selama hampir 2 jam itu telah diadakan bagi membolehkan ABIM bertukar-tukar pandangan dengan beliau tentang permasalahan-permasalahan umat Melayu terkini. Selain itu, pertemuan tersebut turut memberi peluang kepada rombongan ABIM untuk mendengar penerangan beliau terhadap kepentingan karya-karya klasik Melayu yang sewajarnya diangkat sebagai bahan bacaan yang serius.

Temubual Dengan Bernama

Pada 28 Julai 2008, Timbalan Presiden ABIM, Dr.Farid Mohd Shahran dan Setiausaha Agung ABIM, Saudara Khairul Arifin Mohd Munir telah ditemubual oleh Radio 24, stesen radio yang dikendalikan oleh Berita Nasional, BERNAMA. Temubual secara lansung tersebut telah diadakan pada pukul 8:15 malam, dikelolakan oleh penyampai radio 24, Saudara Yunus Sabri.Di dalam sesi temu bual tersebut yang berlangsung hampir 45 minit, kedua-dua EXCO Kanan ABIM tersebut telah diminta untuk memberikan penerangan serba sedikit tentang organisasi, misi dan gerak kerja ABIM. Selain itu, temu bual juga tertumpu kepada penganjuran Seminar Islam dan Cabaran Semasa yang akan berlansung pada 16 Ogos 2008 bersempena Muktamar Sanawi ABIM.

Program ‘Training Of Trainers’ PKPIM- ABIM

Pada 25-27 Julai 2008, Biro PEMBINA dan Latihan & Pembangunan PKPIM dengan kerjasama ABIM GOMBAK telah melangsungkan satu program berbentuk latihan iaitu program Training of Trainers yang mengkhususkan kepada pemantapan skill kejurulatihan ataupun fasilitator. Program ini bertempat di Kem Belia Bukit Lagong, Selayang. Peserta yang hadir kebanyakkannya adalah dari kalangan mahasiswa IPTA di seluruh negara, termasuklah UIAM, UTM, USM, USIM, KUITHO, KUIS, IIC, IPBM, METC  serta beberapa badan gabungan negeri PKPIM. Kebanyakkan akitviti yang dijalankan adalah berbentuk LDK, mass dan aktiviti luar seperti flying fox dan night walk. Secara keseluruhannya program ini berjaya mencapai matlamatnya apabila banyak maklum balas yang diberikan oleh peserta menyatakan program ini banyak memberi mereka pendedahan dan ilmu baru dalam bidang kefasilitatoran. Siri training of trainers yang kedua akan dilaksanakan sebagai satu program follow up kepada program ini.

Tafsir Maudhuiy Siri Ke 54

Pada 26 Julai 2008, penganjuran Tafsir Maudhu’iy siri ke 54 telah berjaya diteruskan di Pusat Latihan ABIM, Sungai Ramal, Kajang.Seramai hampir 150 orang telah menghadiri siri tafsir buat kali ini yang telah disampaikan oleh mantan Presiden ABIM, YBhg. Dato’ Dr.Siddiq Fadhil.Bagi siri ini, Kuliah Tafsir yang disampaikan oleh beliau tertumpu kepada perihal sejarah dan pengkisahan watak Firaun yang menindas golongan lemah Bani Israel. Dato’ Siddiq di dalam pembentangannya menyeru agar kita untuk mengasihi, jangan menghina dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang miskin dan lemah (mustad’afin). Hal ini demikian memandangkan golongan ini merupakan golongan yang mendapat pembelaan daripada Allah SWT.

Iklaneka & Pengumuman

Kebangkitan Parti Politik Islam Di Turki : Dari MNP ke AKP (Siri 1) PDF Print E-mail
Oleh Mohd Firdaus Mohd Hamsin
JK Biro Penerangan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Arus kebangkitan parti politik Islam di Turki bermula semenjak 1947, apabila kerajaan di bawah pimpinan Parti Republikan Rakyat Turki (CHP), mula melonggarkan kawalan ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam, yang telah dilaksanakan semenjak 1924. Ia termasuk memberi kebenaran untuk sekolah-sekolah agama dibuka semula serta memberikan kebebasan bersuara, yang bakal menjadi duri dalam daging kepada penganut fahaman sekular yang dipelopori oleh Kamal Attaturk.
Dasar ini dirangka bertujuan untuk mendapatkan sokongan di kalangan rakyat di kawasan pedalaman, yang rata-ratanya masih berpegang kuat dengan ajaran Islam serta tidak menyokong pemerintahan CHP, di samping sebagai tindak balas terhadap kempen parti-parti pembangkang yang mahukan kebebasan bersuara diterapkan di negara itu.


Meskipun begitu, dasar ini tidak dapat membantu CHP untuk memenangi pilihanraya umum negara itu pada 1950, yang menyaksikan kemenangan besar di capai oleh Parti Demokrat. Meskipun tetap komited untuk mengamalkan dasar sekular, ia tidak dapat memadamkan kebimbangan terutama sekali di kalangan golongan tentera, yang bertindak menggulingkan kerajaan Parti Demokrat pada rampasan kuasa 1960.

Ia berikutan daripada beberapa tindakan Parti Demokrat menggunakan imej Islam serta menjalin hubungan yang akrab dengan beberapa tokoh agama, sebagai usaha untuk menjalin sokongan di peringkat akar umbi. Situasi ini jelas tidak disenangi golongan tentera di Turki, yang menggangap diri mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan dasar sekular negara tersebut.

NECMETTIN ERBAKAN

Sebelum penubuhan Parti Refah (Parti Kebajikan) pada 1983, Necmettin Erbakan terlibat di dalam penubuhan dua parti politik berorientasikan Islam. Selepas parti pertamanya, Mili Nizam Partisi (MNP), diharamkan pada 1970, beliau telah menubuhkan MSP (Mili Selamet Partisi), yang berhasil membentuk kerajaan campuran dengan CHP, selepas pilihanraya umum Turki 1973.

Dalam pilihanraya tersebut, MSP mendapat sokongan yang meluas di kalangan golongan miskin, yang tertarik dengan keprihatinan yang diberikan oleh parti tersebut ke atas mereka. Kerajaan campuran ini hanya bertahan sehingga September1980, apabila ia digulingkan melalui satu lagi rampasan kuasa tentera. Rampasan kuasa tersebut telah menyaksikan Erbakan dipenjarakan atas tuduhan mencabar dasar sekular yang diamalkan oleh negara tersebut.

Penubuhan Parti Refah pada 19 Julai 1983, berlaku ketika kerajaan Turki di bawah pimpinan Perdana Menteri, Korkut Ozal, mengamalkan kebebasan berpolitik di negara tersebut. Seperti MNP dan MSP, Parti Refah telah menjalinkan hubungan yang rapat dengan tokoh-tokoh agama di samping menerapkan pendekatan mendampingi golongan miskin.

PARTI REFAH


Petanda awal kebangkitan Parti Refah kelihatan, apabila ia telah memenangi sebilangan besar kerusi dalam pilihanraya peringkat bandaran yang diadakan pada 1994. Ia disusuli dengan kejayaan parti tersebut memenangi 158 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum Turki 1995. Dengan jumlah kerusi yang diperolehi itu, Parti Refah berjaya membentuk kerajaan campuran bersama dengan Parti Haluan Benar (DYP), pimpinan Tansu Ciller, yang memperolehi 135 kerusi.

Sekaligus, Parti Refah menjadi parti politik berorientasikan Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan di Turki. Meskipun melaksanakan beberapa polisi seperti menggalakkan debat terbuka mengenai sekularisme, membenarkan pemakaian tudung di tempat-tempat awam serta menjalinkan hubungan rapat dengan tokoh-tokoh ulama’, namun kerajaan pimpinan Erbakan tidak sunyi daripada menghadapi kritikan.


Antara kritikan utama ialah tindakan kerajaan pimpinannya, menjalinkan kerjasama ketenteraan dengan Israel , yang dianggap bertentangan dengan pendirian yang diamalkan oleh Parti Refah sebelum ini. Keadaan ini berlaku berikutan kerjasama politik yang dijalinkan oleh Erbakan dan Ciller, yang memerlukan kedua-dua pihak untuk bertolak ansur.


Ia dapat dilihat dari pendekatan Ciller, yang dianggap bersikap terbuka terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Parti Refah. Bahkan, beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam merupakan sumber utama yang membentuk identiti rakyat Turki, justeru ia (Islam), tidak sepatutnya diketepikan daripada kehidupan rakyat Turki. Dengan mengambil kira latar belakang Ciller yang dianggap sebagai simbol wanita Turki moden, kenyataan ini jelas amat mengejutkan!

KEBANGKITAN AKP

Selepas Parti Refah diharamkan pada 16 Januari 1998, sebahagian besar dari bekas anggota parti tersebut telah mengasaskan Parti Fazilet, yang berjaya memperolehi 111 kerusi parlimen dalam pilihanraya 1999. Salah seorang dari ahli parlimen tersebut, Merve Kavakci, telah mencetuskan kontroversi kerana mengenakan tudung ketika menghadiri persidangan parlimen.


Ekoran daripada itu, Kavakci telah dilucutkan tarafnya selaku ahli parlimen kerana beliau memegang kewarganegaraan asing ketika bertanding. Namun kenyataan itu tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa penyingkiran Kavakci ini dilakukan atas dasar untuk memelihara institusi sekular negara tersebut. Ekoran daripada itu, Parti Fazilet telah diharamkan pada Jun 2001, atas tuduhan menjadi pelopor gerakan anti-sekular.


Parti Keadilan serta Pembangunan atau Adeletve Kolkima Partisi (AKP), telah diasaskan oleh Recep Tayyip Erdogan, yang juga merupakan bekas ahli parti Fazilet yang diharamkan. Dalam pilihanraya umum Turki yang diadakan pada November 2002, AKP telah mencipta sejarah selaku parti politik Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan tanpa sebarang kerjasama dengan parti politik lain.

Dalam pilihanraya tersebut, AKP telah memperolehi 363 kerusi daripada 550 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Selain daripada mendampingi golongan miskin, AKP turut mengatakan komitmennya untuk menjalankan dasar ekonomi terbuka untuk membolehkannya menjalin jaringan ekonomi di peringkat antarabangsa. Nyata dasar ini telah membuahkan hasil buat AKP, yang berjaya meluaskan sokongan parti tersebut di kalangan rakyat Turki, yang telah bosan berada di bawah kepimpinan beberapa kerajaan campuran yang tidak stabil sebelum ini.
 
 

Alamat Perhubungan

 
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700

Email
sap@abim.org.my
atau
abimhq@gmail.com

Peta Lokasi

* Perhubungan Negeri

Inspirasi

 pka
 

Kalendar ABIM

<<  August 2008  >>
 Mo  Tu  We  Th  Fr  Sa  Su 
      1  2  3
  4  5  6  7  8  910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Program Terkini

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
who's online