Ucapan Alu - aluan

Muktamar Sanawi ABIM kali ke 37
Oleh : Pimpinan ABIM Pusat
 
muktamar
 
 

Brosur Seminar Islam Dan Cabaran Semasa

seminar

Memperkasa Perjuangan Agama Dan Bangsa

Attention: open in a new window. PDFPrintE-mail

Seminar Islam Dan Cabaran Semasa : Memperkasa Perjuangan Agama Dan Bangsa

Sejurus berakhirnya pilihanraya umum ke 12, pelbagai isu berkait dengan kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam telah hangat  didebatkan oleh pelbagai kelompok masyarakat di negara ini. Antara yang menjadi perbahasan ialah isu berkaitan takrif Melayu dan kepentingannya serta persoalan berkaitan hak ketuanan Melayu telah diketengahkan sebagai mauduk utama debat awam dan diskusi ilmiah. Walaupun keprihatinan utama perdebatan ini bermula di ruang siyasah,  namun ia juga menyangkut ke bidang-bidang lain seperti bahasa, budaya, ekonomi serta kelangsungan (survival) umat Melayu itu sendiri.  Menyedari kepentingan untuk memberi arah tuju yang jelas terutama mengenai hubungkait Islam dengan jaditidiri bangsa Melayu, serta kedudukannya dalam masyarakat dan negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu seminar yang bakal mengamati isu tersebut secara lebih mendalam. Seminar ini secara khusus akan menekankan peranan agama Islam yang telah sekian lama memberi makna dan jati diri yang ampuh kepada umat Islam di Alam Melayu. Bermula dari kekuatan akidah Islam yang telah merubah pandangan alam masyarakat Melayu terhadap hakikat-hakikat yang lebih tinggi seperti faham ketuhanan, kenabian, kebenaran, agama dan nilai-nilai akhlakiyah, kemudiannya kepada kekuatan bahasa Melayu yang telah menjadi salah satu lingua franca terpenting di rantau ini, sehinggalah kepada undang-undang Islam yang telah mewarnai kehidupan siyasah dan sosial masyarakat Islam di rantau ini, kesemua ini ternyata telah mengangkat kehidupan umat Islam di alam Melayu ke tahap yang tinggi. Dengan tema Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa”, ABIM berharap agar seminar ini dapat memberikan gagasan-gagasan penting terhadap pengukuhan semula Islam sebagai teras kepada masyarakat dan negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Di samping itu, seminar ini juga bakal menyuburkan lagi peranan Islam sebagai agama Rahmatan li al-’Alamin dalam melahirkan tamadun.
 
Sinopsis Seminar Islam & Cabaran Semasa :
 
Sesi 1: Islam, Negara dan Masyarakat di Alam Melayu: Cabaran Kepelbagaian Budaya dan Demokrasi

Kedatangan Islam ke Alam Melayu merupakan titik besar sejarah yang merubah pandang alam masyarakat terhadap kehidupan beragama, budaya dan sistem negara. Falsafah dan amalan Islam meresap ke dalam kehidupan umat Melayu, memberi makna kepada jatidiri mereka dan mempengaruhi hubungan negara dan masyarakat. Walaupun kolonialisme dan kemunculan negara-bangsa telah merubah rupa wajah Alam Melayu - yang ditandai oleh arus pemodenan, kepelbagaian budaya, pengenalan kepada sistem demokrasi dan kemunculan masyarakat sivil - Islam masih lagi menunjangi kehidupan masyarakat di Alam Melayu. Di Malaysia, Islam bukan sahaja agama rasmi, tetapi juga merupakan sebahagian daripada sistem politik, pendidikan, ekonomi dan undang-undang negara. Arus pemodenan, kepelbagaian budaya dan pengenalan kepada sistem demokrasi tidak menjadikan Alam Melayu sebagai daerah yang didiami oleh masyarakat yang sekular. Topik ini akan mengupas kedudukan Islam dalam masyarakat dan negara di Alam Melayu khususnya tentang kekentalan dan keanjalannya dalam menghadapi cabaran kepelbagaian budaya dan demokrasi.

Sesi 2: Islam Sebagai Teras Ilmu dan Bahasa dan Budaya Melayu

Kedatangan Islam ke Alam Melayu bukan sekadar menukar rupa luaran Masyarakat Melayu yang terserlah dari amalan keagamaan mereka, akan tetapi yang lebih utama ia telah merubah  keseluruhan kerangka pandangan hidup mereka terutama yang berkaitan dengan faham-faham penting dalam kehidupan seperti Tuhan, manusia, agama, ilmu,  kebahagiaan dan lain-lain. Perubahan pandangan hidup ini tidak akan berlaku tanpa dimulakan dengan  dua asas penting iaitu asas epistemologi yang berkaitan dengan sumber dan saluran ilmu dan juga asas bahasa. Melalui proses Islamisasi dimensi Ilmu, Umat Melayu mampu untuk melihat hakikat sesuatu dari sudut pandangan yang lebih luas dan menyeluruh meliputi alam inderawi dan alam ruhani yang lebih kekal. Kemampuan akliyah mereka juga diangkat sehingga mampu untuk membahaskan hakikat-hakikat yang lebih tinggi dalam kehidupan di samping bersikap rasional dan saintifik. Melalui pengislaman bahasa, istilah-istilah penting yang mencerminkan faham-faham utama dalam pandangan hidup islam telah diubah maknanya bersesuaian dengan akidah Tauhid dan epistemologi Islam yang lebih bersepadu dan menyeluruh. Kesemua ini telah membina cara berfikir yang lebih ilmiah di kalangan masyarakat Melayu Islam sehingga mereka mampu melahirkan sebuah tamadun yang tinggi dan luhur.

Sesi 3: Peta Politik Ummat Pasca Pilihanraya Umum Ke 12


Pilihanraya Umum Ke 12 menyaksikan dominasi Barisan Nasional (BN) digugat Pakatan Rakyat (PR) yang menguasai lima buah negeri di Semenanjung Malaysia (di samping memenangi hampir kesemua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Para penganalisis politik melihat ”kejayaan” Pakatan Rakyat sebagai permulaan kepada perubahan politik di Malaysia. Seolahnya sudah hampir pasti bahawa sistem politik berasaskan kaum (dan agama) akan digantikan oleh sistem politik bukan berasaskan kaum yang lebih demokratik.
Persoalan yang timbul ialah apakah perubahan politik yang sedang berlaku ini menandakan perubahan mendasar kepada terma-terma persefahaman kaum yang dicapai ketika negara beroleh kemerdakaan lima dekad yang lalu? Bagaimanakah pula kedudukan serta arah tuju ummat Islam/Melayu dalam proses perubahan politik ini?