Jaringan Dakwah Antarabangsa
ABIM adalah sebuah organisasi belia berorientasi dakwah yang aktif dalam pelbagai gabungan induk badan Islam sedunia seperti World Assembly of Muslim Youth (WAMY), Regional Islamic Southeast Asia and the Pacific (RISEAP), dan World Council of Muslim Inter-Faith Relations (WCMIR). Di samping itu, ABIM juga menjalin hubungan yang akrab dengan badan belia lain di peringkat serantau dan antarabangsa. Antaranya ialah Asean Youth Council (AYC), Council of ASEAN Youth Coordination (CAYC), ASEAN Muslim Secretariat (AMSEC), Dewan Dakwah Islamiah, Muhammadiyah, Nahdatul Ulama (Indonesia), Young Muslim Association of Thailand (YMAT), Darul Arqam Singapura, Rabitah Islami (Arab Saudi), International Institute of Islamic Thought (IIIT), Jamaat-e Islami (Pakistan), Islami Chhatra Shibir (Bangladesh), Australian Federation of Islamic Council (AFIC), dan The Islamic Foundation (England).
Bantuan Kemanusiaan
Projek kemanusiaan ABIM adalah bersifat jangka masa panjang melibatkan mangsa-mangsa peperangan seperti membekalkan makanan dan ubat-ubatan, bekalan air bersih, pembangunan prasana dan kemudahan pendidikan serta kesihatan. ABIM memimpin gabungan 76 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Misi Keamanan Sejagat (Global Peace Mission) dan penaja kepada Malaysian Relief Agency – Sarajevo (MRA), Malaysian Relief International (MRI) selain aktif sebagai badan gabungan dalam Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (AMAN).
Kerjasama dan persefahaman erat dengan badan kemanusiaan antarabangsa seperti Islamic Relief Agency (ISRA), Hashimite Charity (Jordan) dan United Nations on Human Committee Relief (UNHCR) telah membolehkan ABIM melaksanakan projek bantuan kemanusiaan dan menjalin kerjasama dengan agensi bantuan tempatan di pelbagai pelusuk dunia. ABIM terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa seperti di Bosnia, Kosovo, Uzbekistan, Peshawar (sempadan Pakistan-Afghanistan), Kabul (Afghanistan), Kashmir (sempadan India-Pakistan), Qasr-e-Shirin (sempadan Iran-Iraq), Baghdad dan Najaf di Iraq serta Amman di Jordan.