|
||||
| Aktiviti Nasional |
|
ABIM mempunyai wawasan untuk melihat kemunculan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bermaruah yang mampu mendepani cabaran zaman. Untuk ini ABIM amat prihatin terhadap pelbagai isu sosial, ekonomi dan politik negara. ABIM sedia mendokong dan memperjuangkan usaha-usaha (a) mewujudkan perpaduan ummah, (b) memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum dalam rangka membina integrasi nasional, (c) membina rupa budaya bangsa yang sihat, (d) meningkatkan kualiti alam sekitar, (e) memperjuangkan keadilan, (f) membanteraskan kemiskinan, dan (g) membudayakan amalan politik yang bersih. Perpaduan Ummah ABIM sentiasa konsisten dalam usahanya membina kesatuan ummah. Usaha ABIM mempertemukan dua pemimpin parti terbesar negara telah terakam dalam sejarah melalui Syarahan Perdana Palestin anjuran bersama ABIM dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada 8 Mei 2002. Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Dr. Seri Mahathir Mohamad yang juga merupakan Presiden UMNO telah dipertemukan dengan almarhum Dato’ Fadzil Nor (Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang Parlimen ketika itu) di Balai Tun Syed Nasir, DBP. Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ini disaksikan di secara langsung di seluruh negara. Rakan Dalam Pembangunan Belia ABIM juga telah diberikan kepercayaan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadi rakan pembangunan belia. Dengan mandat ini, ABIM bertanggungjawab memberi pengkhususan kepada program pembinaan insan melalui penganjuran aktiviti keagamaan dan kerohanian di seluruh negara. Bengkel Penghayatan Ramadhan merupakan salah satu produk dakwah yang dirangka oleh ABIM untuk memenuhi matlamat tersebut. Sebanyak 555 buah masjid, 111 buah daerah seluruh negara terlibat serta seramai 25,000 orang remaja dan belia seluruh negara telah mendapat manfaat dari pengisian bengkel tersebut yang berupa pendedahan teori dan praktikal amalan murni di bulan Ramadhan, pengendalian aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan kawasan setempat. Pembangunan Komuniti Hari Bersama Komuniti yang dianjurkan di peringkat daerah dan mukim merupakan aktiviti lapangan ABIM yang menawarkan peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan pelbagai manfaat melalui penglibatan agensi kerajaan, penguasa tempatan, sektor swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan. Pelbagai pertandingan menarik untuk kanak-kanak, para ibu, remaja, belia, dan keluarga seperti sukaneka, pertandingan melukis, mewarna dan gubahan kraftangan, pameran dan khidmat nasihat oleh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan swasta, aneka jualan gerai amal, pemeriksaan dan ceramah kesihatan secara percuma, kaunter menderma darah serta persembahan hiburan dan kesenian Islam.
|










