ABIM mempunyai wawasan untuk melihat kemunculan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bermaruah yang mampu mendepani cabaran zaman. Untuk ini ABIM amat prihatin terhadap pelbagai isu sosial, ekonomi dan politik negara. ABIM sedia mendokong dan memperjuangkan usaha-usaha
(a) mewujudkan perpaduan ummah,
(b) memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum dalam rangka membina integrasi nasional,
(c) membina rupa budaya bangsa yang sihat,
(d) meningkatkan kualiti alam sekitar,
(e) memperjuangkan keadilan,
(f) membanteraskan kemiskinan, dan
(g) membudayakan amalan politik yang bersih.
Perpaduan Ummah
ABIM sentiasa konsisten dalam usahanya membina kesatuan ummah. Usaha ABIM mempertemukan dua pemimpin parti terbesar negara telah terakam dalam sejarah melalui Syarahan Perdana Palestin anjuran bersama ABIM dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada 8 Mei 2002. Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Dr. Seri Mahathir Mohamad yang juga merupakan Presiden UMNO telah dipertemukan dengan almarhum Dato’ Fadzil Nor (Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang Parlimen ketika itu) di Balai Tun Syed Nasir, DBP. Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ini disaksikan di secara langsung di seluruh negara.
Rakan Dalam Pembangunan Belia
ABIM juga telah diberikan kepercayaan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadi rakan pembangunan belia. Dengan mandat ini, ABIM bertanggungjawab memberi pengkhususan kepada program pembinaan insan melalui penganjuran aktiviti keagamaan dan kerohanian di seluruh negara. Bengkel Penghayatan Ramadhan merupakan salah satu produk dakwah yang dirangka oleh ABIM untuk memenuhi matlamat tersebut. Sebanyak 555 buah masjid, 111 buah daerah seluruh negara terlibat serta seramai 25,000 orang remaja dan belia seluruh negara telah mendapat manfaat dari pengisian bengkel tersebut yang berupa pendedahan teori dan praktikal amalan murni di bulan Ramadhan, pengendalian aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan kawasan setempat.
Pembangunan Komuniti
Hari Bersama Komuniti yang dianjurkan di peringkat daerah dan mukim merupakan aktiviti lapangan ABIM yang menawarkan peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan pelbagai manfaat melalui penglibatan agensi kerajaan, penguasa tempatan, sektor swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan. Pelbagai pertandingan menarik untuk kanak-kanak, para ibu, remaja, belia, dan keluarga seperti sukaneka, pertandingan melukis, mewarna dan gubahan kraftangan, pameran dan khidmat nasihat oleh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan swasta, aneka jualan gerai amal, pemeriksaan dan ceramah kesihatan secara percuma, kaunter menderma darah serta persembahan hiburan dan kesenian Islam.
Jaringan Dakwah Antarabangsa
ABIM adalah sebuah organisasi belia berorientasi dakwah yang aktif dalam pelbagai gabungan induk badan Islam sedunia seperti World Assembly of Muslim Youth (WAMY), Regional Islamic Southeast Asia and the Pacific (RISEAP), dan World Council of Muslim Inter-Faith Relations (WCMIR). Di samping itu, ABIM juga menjalin hubungan yang akrab dengan badan belia lain di peringkat serantau dan antarabangsa. Antaranya ialah Asean Youth Council (AYC), Council of ASEAN Youth Coordination (CAYC), ASEAN Muslim Secretariat (AMSEC), Dewan Dakwah Islamiah, Muhammadiyah, Nahdatul Ulama (Indonesia), Young Muslim Association of Thailand (YMAT), Darul Arqam Singapura, Rabitah Islami (Arab Saudi), International Institute of Islamic Thought (IIIT), Jamaat-e Islami (Pakistan), Islami Chhatra Shibir (Bangladesh), Australian Federation of Islamic Council (AFIC), dan The Islamic Foundation (England).
Bantuan Kemanusiaan
Projek kemanusiaan ABIM adalah bersifat jangka masa panjang melibatkan mangsa-mangsa peperangan seperti membekalkan makanan dan ubat-ubatan, bekalan air bersih, pembangunan prasana dan kemudahan pendidikan serta kesihatan. ABIM memimpin gabungan 76 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Misi Keamanan Sejagat (Global Peace Mission) dan penaja kepada Malaysian Relief Agency – Sarajevo (MRA), Malaysian Relief International (MRI) selain aktif sebagai badan gabungan dalam Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (AMAN).
Kerjasama dan persefahaman erat dengan badan kemanusiaan antarabangsa seperti Islamic Relief Agency (ISRA), Hashimite Charity (Jordan) dan United Nations on Human Committee Relief (UNHCR) telah membolehkan ABIM melaksanakan projek bantuan kemanusiaan dan menjalin kerjasama dengan agensi bantuan tempatan di pelbagai pelusuk dunia. ABIM terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa seperti di Bosnia, Kosovo, Uzbekistan, Peshawar (sempadan Pakistan-Afghanistan), Kabul (Afghanistan), Kashmir (sempadan India-Pakistan), Qasr-e-Shirin (sempadan Iran-Iraq), Baghdad dan Najaf di Iraq serta Amman di Jordan.