|
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan tidak wajar sama sekali iklan-iklan arak seperti Carlsberg dipaparkan di dinding bas seperti yang disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia hari ini. Walaupun iklan-iklan diperlukan bagi tujuan publisiti serta sumber kewangan bagi membiayai SUKOM, namun pihak yang bertanggungjawab seharusnya lebih selektif dengan mengambilkira budaya dan agama serta sensitiviti masyarakat.
Sebagai sebuah negara Islam yang dibanggakan, iklan-iklan arak seharusnya bersifat terbatas dan tidak menonjol sebagaimana yang dipaparkan di dinding-dinding bas. Ia memberi imej yang salah tentang Malaysia sebagai sebuah negara Islam bahkan boleh menimbulkan rasa marah umat Islam terhadap publisiti seumpama itu.
Berdasarkan gambar yang disiarkan, ternyata syarikat yang mengiklankan minuman keras tersebut cuba mengambil kesempatan dari ruang yang diperolehi bagi mengiklankan barangannya lebih dari publisiti untuk sukan itu sendiri.
ABIM mengongsi pandangan beberapa pihak yang ditemui yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka dengan penggunaan Bahasa Inggeris pada iklan-iklan. Kesempatan seperti semasa SUKOM inilah sewajarnya digunakan untuk menonjolkan sikap patriotik kita dengan menonjolkan bahasa kita sendiri di samping Bahasa Inggeris.
Kita tidak seharusnya mempunyai jatidiri yang demikian rapuh; hanya kerana ingin melayani peserta-peserta antarabangsa, kita sanggup mengenepikan bahasa, budaya dan aspirasi nasional kita. Dengan iklan-iklan dan publisiti yang hanya berbahasa Inggeris di mana-mana, ditambah pula dengan iklan seperti Carlsberg, kita ragu apakah yang kita lihat ini di Kuala Lumpur atau di London!
ABIM meminta supaya iklan-iklan yang dipaparkan mengutamakan Bahasa Malaysia di samping Bahasa Inggeris, dan menuntut supaya iklan arak serta rokok atau seumpamanya dihentikan segera.
ABDUL HALIM ISMAIL Naib Presiden (Kebangsaan) |