Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Generasi Muda & Keberanian Zaman Featured

Aug 15, 2017 Hit: 119 Written by 
Generasi Muda & Keberanian Zaman

Oleh:- Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Generasi muda sinonim dengan perubahan dan pembaharuan. Dengan jumlah belia dianggarkan seramai 50% daripada 28.4 juta rakyat Malaysia pada tahun 2016, tidak menghairankan seandainya belia menjadi tumpuan pelbagai pihak berkepentingan, dari promoter bisnes atas talian hinggalah ke politikus yang menagih undi!

Tinjauan terhadap kajian- kajian terkini berkaitan belia di institusi penyelidikan belia dan universiti menjurus kepada tema besar iaitu aspek kesejahteraan hidup belia. Indeks Belia Malaysia misalnya mengukur tahap 12 domain kesejahteraan meliputi pembangunan kendiri, hubungan sosial dan tingkah laku devian.

Dapatan Indeks Belia tahun 2015 menunjukkan bahawa dua domain dengan skor terendah, dan untuk itu harus diberikan perhatian ialah domain sosialisasi politik dan kesejahteraan ekonomi. Inilah dua bidang yang dijangka menjadi tumpuan sepanjang sebarang diskusi serta wacana dalam tahun- tahun mendatang, khususnya aspek kesejahteraan sosio-ekonomi belia.

Hakikatnya, tanpa merujuk statistik sekalipun, kita dapat dengan mudah mengenalpasti permasalahan dan keluhan yang dihadapi oleh belia hari ini seperti pengangguran, komitmen kewangan dan beban hutang yang tinggi, kemuflisan, rumah tidak mampu milik, dan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.

Inilah masalah- masalah yang menjadi keluhan generasi muda. ABIM akan mengambil pendekatan membangunkan sepenuhnya potensi dan kreativiti generasi muda dalam rangka menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi. Sudah tiba masanya anak muda yang berjumlah hampir 14 juta orang membentuk keberanian zamannya sendiri, bebas dari sindrom kebergantungan dan mentaliti subsidi.

Sebagai sebuah organisasi yang menghargai bakat dan kreativiti orang muda, ABIM menjemput dengan tangan terbuka para belia yang mempunyai wawasan dan cita-cita besar di luar sana untuk berkongsi dan berkolaborasi bersama-sama kami dalam gelombang perubahan baharu ini.

Teknologi dan kepercayaan masyarakat merupakan dua aset terpenting generasi muda yang harus digembeleng sepenuhnya ke arah perubahan. Berbekal keyakinan yang tinggi masyarakat terhadap NGO, para penggerak ABIM akan tampil lebih bertenaga bagi menggerakkan inisiatif-inisiatif inovasi sosial untuk memberdaya umat.

Projek rintis yang digerakkan oleh ABIM Selangor, menerusi rangkaian pusat sehenti sosial Adab Youth Garage (ADAB) dan konsep Sekolah Masa Depan akan mengembangkan lagi peranan ABIM memberdayakan generasi muda di lapangan.

Last modified on Tuesday, 15 August 2017 04:05
Read 119 times
Rate this item
(1 Vote)