ABIM @ #Akhbar

Published in ABIM @ #Akhbar

Selatan Thailand Yang Dilupakan

Feb 12, 2018 Hit: 163
Selatan Thailand Yang Dilupakan

Oleh: Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim (Exco Pembangunan Sosial ABIM)

Tragedi Masjid Takbai dan Krue Sae (Masjid Kerisik) yang berlaku 13 tahun yang lalu pasti masih segar di ingatan kita rakyat Malaysia. Atau setidaknya masih kekal di ingatan penduduk Selatan Thailand kerana bertitik tolak melalui peristiwa itulah, Wilayah Selatan Thailand saban waktu bermandi darah dan penduduknya hidup dalam keadaan ketakutan kerana setiap hari ada sahaja siri pembunuhan, pengeboman serta serangan-serangan hendap lain hingga saat ini.

Sejak insiden berdarah itu juga, Selatan Thailand terus bergolak hingga dilihat tiada harapan untuk kembali aman walaupun telah belasan tahun ia berlalu. Masjid tersebut menjadi batu aras, dan tanda sejarah bermulanya Wilayah Selatan Thailand ini bermandi darah sehingga ke hari ini, walaupun setelah berdekad-dekad konflik di Selatan ini berlangsung. Percaturan kuasa-kuasa utama di Thailand sedikit sebanyak mempengaruhi kebangkitan rakyat Selatan Thailand yang mahu bangkit dan membela maruah keluarga dan tanah air mereka.

Persoalannya, sampai bilakah keadaan ini akan berlanjutan? Dan masihkah ada ruang untuk guru-guru kecil, bapa-bapa yang tak berbaju perisai dan tak bersenjata, kanak-kanak miskin, ibu-ibu lemah di daerah-daerah sunyi Selatan Thailand ini keluar belajar, mencari rezeki, melunaskan perkerjaan tanpa diikuti oleh hujung senapang?

Pertelingkahan ini awalnya berlaku sejak berabad lalu iaitu sejak 1786 disebabkan oleh wilayah kesultanan Melayu Fathoni telah dikuasai oleh kerajaan Siam. Walaupun konflik ini kelihatan terkawal dan tiada insiden besar berlaku, pada hakikatnya ia masih berlangsung sehinggalah kita semua dikejutkan dengan peristiwa 4 Januari 2004.

Rakyat Patani di empat daerah dikatakan mahu bangkit menuntut kembali wilayah Patani dan mahukan pemerintahan seperti zaman dahulu. Namun yang uniknya, serangan besar kali ini menarik perhatian luar kerana disusun dengan begitu berstrategi, corak serangan yang berbeza dan juga menyasarkan sekolah-sekolah kerajaan, tempat awam, sami Budha dan juga tok imam Muslim.

Ketika itu, pelbagai sentimen agama dan semboyan perpecahan dimainkan dan menyemarakkan lagi kebangkitan rakyat dan menambah mekar pembunuhan besar-besaran penduduk di Wilayah Selatan Thailand. Tidak terkecuali, serangan-serangan hendap oleh pihak polis terhadap para imam, guru-guru agama, dan penduduk tempatan giat dilakukan dan ditambah pula oleh diskriminasi oleh pegawai Thailand, perpecahan itu semakin retak dan berderai.

Guru-guru yang dibekalkan dengan senjata api pula dituduh menyebarkan agama Buddha dalam kalangan pelajar Islam dan sebilangan penjenayah dengan rakusnya mengambil peluang melakukan kekacauan termasuk pembunuhan ke atas pegawai polis yang dianggap menjadi penghalang untuk aktiviti haram mereka.

Dalam masa 10 tahun bermula pada 1993 hingga 2004, sebanyak 2,593 insiden berkaitan dengan keganasan berlaku. Sepanjang tempoh itu, 29% berlaku sepanjang tahun 1993 hingga 2003, manakala 71% berlaku dalam tahun 2004. Narathiwat merupakan wilayah yang paling kerap berlaku insiden keganasan dan diikuti pula wilayah Patani dan Yala. Antara insiden dan peristiwa yang berlaku hari ini lebih kepada penyerangan, pertempuran, sabotaj dan demonstrasi. Sehingga 2013 sahaja, angka kematian dicatatkan mencecah 5,700 kematian dan 7,500 lagi cedera.

Beberapa alternatif perdamaian telah dicadangkan, antaranya model Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan kerajaan Indonesia yang disarankan oleh Surin Pitsuwan, pembentukan kabinet menteri yang baru, dengan memasukkan menteri beragama Islam sebagai ahli kabinet, dilihat sebagai suatu harapan baru yang memberikan sinar kepada penduduk Muslim di Selatan Thailand berserta nasihat dan rundingan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (pada tahun 2005) sebagai alternatif dalam pelan perdamaian konflik di Selatan Thailand.

Namun begitu, mutakhir ini, konflik ini dilihat terus berlangsung walaupun tiada laporan antarabangsa dan media kelihatan diam. Oleh kerana itulah, penulis sendiri mengambil peluang untuk melihat sendiri kesan-kesan yang masih ada di wilayah selatan Thailand ini di samping menyampaikan sendiri sumbangan rakyat Malaysia yang masih lagi peka akan isu yang melanda penduduk di wilayah Selatan Thailand ini melalui bantuan yang digerakkan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang saban tahun setia menghantar sumbangan dan bantuan samada dari segi bantuan pembiayaan pendidikan, bantuan ekonomi, bantuan makanan asasi, bantuan perubatan, bantuan di musim perayaan dan juga keperluan-keperluan yang lain yang dilihat penting dan mendesak.

Sejak dari awal penubuhan GPM, ratusan ribu wang telah disalurkan kepada rakyat Selatan Thailand yang memerlukan di sana terutamanya ibu tunggal, anak yatim berserta mereka yang hilang upaya bergerak disebabkan oleh pergolakan yang berlaku. Pernah penulis dibawa menziarahi seorang pemuda yang diberi nama Matyi Di Jun 2017 yang lalu.

Beliau baru berumur 21 tahun namun mengalami lumpuh seluruh anggota setelah dipukul kerana mempertahankan ahli keluarga yang ingin dibunuh dan juga matanya rosak teruk akibat diketuk dengan kuat sehingga terkeluar biji matanya. Dengan keadaan rumah yang dhaif, berserta keuzuran ke dua orang tua yang terpaksa menjaga dan merawatnya, GPM menghulurkan bekalan bantuan makanan asasi dengan harapan dapat meringankan beban keluarga tersebut.

Pada September yang lalu, GPM juga telah menyalurkan bantuan tong aiskrim untuk keperluan berniaga kepada 12 orang ibu tunggal di mana tong ini akan membantu para ibu tunggal mendapatkan pekerjaan melalui perniagaan kecil-kecilan dan juga bantuan seperti bantuan mesin jahit kepada ibu tunggal di daerah Yala.

Melalui mesin jahit itu jugalah, ibu tunggal ini mendapatkan perkerjaan menjahit pakaian untuk anak-anak yatim dan dibayar upahnya oleh badan bukan kerajaan di sana, Foundation for Education and Human Resources Development (FERHD) yang menjadi rakan NGO lapangan kami di Selatan Thailand.

Setelah tiga kali pertemuan dengan penduduk di Wilayah Selatan Thailand, penulis dalam diam mengagumi perjuangan anak-anak muda yang terus konsisten menimba ilmu dan mempelajari banyak hal untuk pembangunan rakyat di sana, terutamanya dari rakan NGO kami di lapangan. Setelah berpeluang menjelajah ke ceruk-ceruk kampung, berziarah dari satu penjuru ke penjuru penduduk miskin dan memandang wajah anak-anak yatim menjadikan penulis bersemangat untuk terus membangunkan penduduk di ranah ini.

Melihat mata anak kecil yang kehilangan ayah, renungan para isteri yang kematian suami serta wajah-wajah yang penuh pengharapan, membuatkan penulis ingin terus percaya dan yakin, konflik di Selatan Thailand ini akan berakhir dalam jangka waktu terdekat ini. Penulis berfikiran positif bahawa sumbangan yang disalurkan dan program latihan yang dirangka, akan menjadi teras pembangunan wanita, kanak-kanak dan penduduk Selatan Thailand yang akan terus mencapai kegemilangannya kelak.

Ayah-ayah yang masih tinggal akan terus menjadi pembela yang selalu menyenangkan dan bertanggungjawab. Anak-anak akan terus menjadi orang terpelajar dan ibu-ibu akan terus menjadi pendokong rumah tangga demi memastikan keamanan akan tetap terus terbela. Semoga di sebalik konflik dan pergolakan, akan terus lahir manusia-manusia yang terdidik dengan moral dan integriti, melahirkan insan-insan wataniy yang tetap perkasa membela keamanan sejagat.

Harus juga diambil iktibar, konflik negara jiran ini agar tidak terus terjadi dan akhirnya menggadai keamanan negara yang kita cintai. Kerana itu, siri-siri latihan dan pendidikan akan terus berlangsung demi perhubungan antarabangsa yang akan semakin mengeratkan hubungan dua negara kelak.

**Artikel ini telah memenangi tempat ke-2 dalam pertandingan Menulis Esei Kemanusiaan anjuran ICRC untuk tahun 2017; dalam kategori bukan wartawan (Bahasa Melayu). Tema untuk tahun 2017 adalah “Even wars have limits

Read 163 times
Rate this item
(0 votes)

Siaran Media

Nilai & Prinsip Hidup Asas Kepada Primary
15hb April 2018: “Mereka yang mencapai kepada kejayaan yang utama (primary greatness) adalah mereka ...
ABIM Akan Lancarkan Jelajah Daurah Usul Fiqh Ke
11 April - Pimpinan ABIM Sabah dan Pengurusan Home Tuaran bersama-sama mengadakan kunjungan hormat ...
ABIM Dilantik Sebagai Anggota Majlis Sukarelawan
4 hb April 2018 (Rabu): Alhamdulillah, Setiausaha Kewangan ABIM, Sdr. Syahrir Azfar Saleh telah ...
Pembubaran Parlimen & 10 Perkara Penting
  Susulan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 7 April 2018 yang diumumkan Perdana Menteri setelah ...
Institusi Pendidikan ABIM Perlu Melahirkan
Alhamdulillah, telah berlangsung Ihtifal Majlis Ihtifal (Akademik) Kebangsaan Sekolah Rendah dan ...
Politik Perubahan Adalah Politik Pembebasan &
19hb Mac 2018 (Isnin): Alhamdulillah, dengan topik menarik, “Wanita dan Politik Perubahan”, wakil ...
Sumbangan ABIM dan FGIS Diiktiraf Jabatan
11hb Februari 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM dan FGIS menerima Anugerah Khas daripada Jabatan ...
Wisma Darul Hikmah ABIM Jengka Dibuka
28hb Januari 2018 (Ahad): Alhamdulillah, Ketua Biro Kesihatan ABIM, Dr. Zhafri Ismadi telah ...

#Akhbar #TV

Nilai & Prinsip Hidup Asas Kepada Primary
15hb April 2018: “Mereka yang mencapai kepada kejayaan yang utama (primary greatness) adalah mereka ...
ABIM Akan Lancarkan Jelajah Daurah Usul Fiqh Ke
11 April - Pimpinan ABIM Sabah dan Pengurusan Home Tuaran bersama-sama mengadakan kunjungan hormat ...
ABIM Dilantik Sebagai Anggota Majlis Sukarelawan
4 hb April 2018 (Rabu): Alhamdulillah, Setiausaha Kewangan ABIM, Sdr. Syahrir Azfar Saleh telah ...
Pembubaran Parlimen & 10 Perkara Penting
  Susulan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 7 April 2018 yang diumumkan Perdana Menteri setelah ...
Institusi Pendidikan ABIM Perlu Melahirkan
Alhamdulillah, telah berlangsung Ihtifal Majlis Ihtifal (Akademik) Kebangsaan Sekolah Rendah dan ...
Politik Perubahan Adalah Politik Pembebasan &
19hb Mac 2018 (Isnin): Alhamdulillah, dengan topik menarik, “Wanita dan Politik Perubahan”, wakil ...
Sumbangan ABIM dan FGIS Diiktiraf Jabatan
11hb Februari 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM dan FGIS menerima Anugerah Khas daripada Jabatan ...
Wisma Darul Hikmah ABIM Jengka Dibuka
28hb Januari 2018 (Ahad): Alhamdulillah, Ketua Biro Kesihatan ABIM, Dr. Zhafri Ismadi telah ...