ABIM Lancar Buku "Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam" - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Lancar Buku “Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam”

1hb Mei 2017 (Isnin): Alhamdulillah, telah berlangsung Majlis Peluncuran Buku “Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam” (karangan Prof Madya Dr Zulkifli Hasan, Exco Angkatan Belia Islam Malaysia – ABIM). Naskah ini turut memuatkan Ucapan Dasar Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim, dalam Muktamar ABIM ke-45 yang bersifat futuristik serta strategik. Kehadiran agak luar jangkaan di Reruai Ilhambooks memandangkan wacana yang agak berat dan bersifat quasi-academic dibicarakan selama lebih kurang 45 minit.

Mungkin kehadiran Sdr. Mohamad Raimi (Presiden ABIM), Dato’ Saifudin Abdullah dan YB Hanipa Maidin dan beberapa tokoh tanahair pada masa kejadian merancakkan lagi suasana. Dr. Zul juga mengumumkan inisiatif terkini oleh jaringan kepintaran anak muda Ummatic Innovation pelancaran ‘Ummatic Future Studies Group’.

Tahniah kepada Ummatic Innovation yang sentiasa berinovasi dengan idea-idea segar dan signifikan untuk mendepani Masa Depan. Kini, kita tidak boleh lagi menunggu-nunggu idea-idea dari orang lain untuk mara ke hadapan, kita sendiri perlu menggerakkan kekuatan intelektual untuk merancang dan melaksanakan idea-idea tersebut secara strategik dan berhikmah.