ABIM Pusat

ABIM Rintis Waqaf Tenaga Solar Di KDH. Featured

May 06, 2021
Hit: 89
Written by
ABIM Rintis Waqaf Tenaga Solar Di KDH.

 

5 Mei 2021, Kajang : - ABIM tekankan fokus untuk isu Hijau bukan hanya menyentuh isu memelihara alam sekitar dari pencemaran tetapi lebih besar dari itu iaitu menjawab persoalan krisis iklim serta membina sebuah masyarakat lestari (sustainable society).

Demi masa depan kualiti hidup masyarakat kini dan generasi mendatang, kita harus bersiap dengan kesedaran dan tindakan membawa agenda kelestarian hidup bersama sebagai tanggungjawab kita menghargai alam.

Ini selaras dengan tindakan kita memahami dan memaknai firman Allah dalam surah Ghafir

“Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Ini termasuk mengemukakan projek-projek alternatif seperti Projek Pilot Waqaf Solar KDH bagi memastikan limitasi sumber alam dihormati sebagai paksi kita mengangkat tema keadilan iklim.

Kolej Dar al-Hikmah telah berjaya meluncurkan Kempen Dana Hijau- Projek Pemasangan Panel Solar.

Majlis telah diserikan dengan ucaptama oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Bina Ilmu, Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan dan penyempurnaan perasmian oleh Presiden ABIM, Muhammad Faisal Aziz. Majlis ini telah disempurnakan dengan penyerahan bunga (gambar atas) sebagai simbolik betapa ia tumbuh hasil bersumberkan daripada sinaran matahari.

Didoakan semoga kempen ini mendapat dukungan semua menerusi sumbangan untuk projek Waqaf Solar Kolej Dar Al-Hikmah ini menerusi butiran berikut :.

Butiran : Pemasangan Panel Solar untuk Kolej Dar al-Hikmah, Kajang

Katakanlah "Saya ingin menyumbang":
 
RM100.00 per lot
RM1,210.00 per panel
 
 
1. Peluang menyumbang dan berwakaf untuk perjuangan kependidikan, kini dibuka!
 
2. Sumbangan kita adalah saham jangka panjang kita, di dunia memanfaatkan, di akhirat pastinya dimanfaatkan!
 
3. Kolej Dar al-Hikmah, sebuah kolej kerakyatan yang berjasa besar dalam mengarusperdanakan gagasan PengIslaman Ilmu dan giat mewacana serta menerbitkan buku-buku ilmiah, di samping memproduksi kader-kader umat di lapangan!
 
Ayuh, berazamlah saya ingin menyumbang, dan Allah redha serta membantu perjuangan kependidikan ini, Amin: www.toyyibpay.com/WAKAF-SOLAR

 

tenaga solar

Read 89 times
Rate this item
(0 votes)

Jangan Sampai SOP Raya Dua Darjat Featured

Apr 28, 2021
Hit: 106
Written by
Jangan Sampai SOP Raya Dua Darjat

 

Sumber : Sinar Harian

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tiada amalan dua darjat dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sempena Aidilfitri nanti terutama bagi larangan rentas negeri.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, golongan berstatus tinggi termasuk menteri, ahli politik, usahawan, artis atau personaliti media sosial tidak seharusnya terkecuali dalam pematuhan SOP itu.

 Beliau berkata, pihaknya memahami keresahan rakyat terhadap trend jangkitan wabak Covid-19 yang semakin meningkat dan pada masa sama penguatkuasaan SOP dilihat berbeza mengikut darjat dan pangkat.

“Cukuplah kita berada dalam situasi peningkatan kes wabak ini sekian lama yang menyebabkan masyarakat mengorbankan sambutan raya bersama keluarga di kampung untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

“Apakah bila kerajaan masih gagal tangani isu dua darjat yang diluahkan rakyat ini, maka trend peningkatan akan berterusan dan kita mengorbankan raya hingga ke tahun ketiga pula?

“Kita harus sedar bahawa kesan pandemik ini akan memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat tanpa ada satu kelompok pun terkecuali,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

 

Tawaran untuk sama-sama membina kekuatan umat menerusi Infaq Ramadan ABIM 1442H. Klik imej bawah untuk makluman lanjut.

b91102dd fe0c 4819 b880 4207cf00a580
Read 106 times
Rate this item
(0 votes)
Masyarakat Orang Asli Setia Mendampingi Alam Sekitar

 

22hb April 2021 (Khamis): Hari Bumi Sedunia disambut 22hb April setiap tahun. Hari Bumi adalah detik di mana masyarakat dunia diingatkan untuk sama-sama memelihara alam sekitar.

Hari Bumi juga adalah ingatan penting untuk menyedarkan kita akibat yang terpaksa dihadapi dalam bentuk pemanasan global serta perubahan iklim sekiranya alam sekitar tidak dipelihara dengan penuh tanggungjawab. 

Alhamdulillah, ABIM Pusat bersama GRASS Malaysia dan Kedutaan Sweden telah telah menganjurkan Sambutan Hari Bumi bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Batu 16, Gombak.

Tujuan sambutan ini adalah untuk mendengar suara dan harapan komuniti orang Asli untuk bersama kita menjaga kelestarian alam sekitar dan bersama mempertahankan keadilan untuk iklim. Ini kerana kehidupan komuniti ini sangat dekat dengan alam sekitar.

Program ini turut mendapat liputan Al-Jazeera dan Malaysiakini.

“Rakyat Malaysia dan juga seluruh dunia memahami bahawa Orang-orang Asli amat mementingkan kehidupan yang dapat mendampingi alam sekitar dan Orang Asli mahukan kita sebagai rakyat Malaysia seluruhnya dan juga masyarakat antarabangsa ini memelihara hutan.

Jadi ini tujuan kita buat Program Hari Bumi bersama Orang Asli. Kita nak merai dan menunjukkan apa yang mereka mahukan dan harapan mereka terhadap kita” kata Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz di majlis tersebut.

Sesi berlangsung dengan gimik pertukaran pokok daripada pihak ABIM diwakili Muhammad Faisal dan Kampung Orang Asli diwakili Tok Batin – Tok Ulang Bin Simpan sebagai simbol amanah untuk kedua-dua pihak menjaga kehidupan alam.

Majlis juga diraikan dengan aktiviti mewarna anak-anak Orang Asli bertemakan alam sebagai simbol besar harapan generasi mereka untuk kita menjaga amanah alam.

Pada penghunjung program, ABIM turut mengedarkan bantuan menerusi projek Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) kepada semua 23 keluarga Orang Asli.

Turut hadir Kaunselor Kedutaan Besar Sweden Malaysia, Encik Ola Pihlblad yang turut menyantuni komuniti Orang Asli.

Untuk terus menjayakan kempen ini ABIM mengalu-alukan orang untuk menyumbang menerusi Tabung Infaq Ramadan.

Selain aktiviti hijau yang menyentuh isu kelestarian alam, sumbangan Infaq Ramadan ini juga akan digunakan untuk program pemberdayaan komuniti termasuk penyaluran sumbangan keperluan untuk golongan asnaf, fakir miskin, B40 dan golongan pelarian, serta penganjuran program-program lain berupa kerohanian, pendidikan dan keilmuan.   

Sumbangan untuk Tabung Infaq Ramadan boleh dibuat menerusi Bank Islam No akaun – 14-023-01-003252-7 atau melalui www.billplz.com/infaqramadhanabim   atau boleh whatapps pautan nombor ini untuk pertanyaan lanjut : https://wa.me/60126211545

Read 100 times
Rate this item
(0 votes)

100 Komuniti OKU Penglihatan Terima Sumbangan KSSB Featured

Apr 26, 2021
Hit: 126
Written by
100 Komuniti OKU Penglihatan Terima Sumbangan KSSB

 

3hb April 2021 (Jumaat):  Saat hari ini kita menerima suatu pemberian, ada suatu ketika Tuhan pasti mengajar untuk kita mula belajar memberi. Ini merupakan intipati daripada  KSSB untuk menerbitkan rasa cakna dan semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat.

Bahkan dalam keadaan tertentu, dari biasa memberi, kita mungkin diajar pula menerima kebaikan orang kepada kita.

Alhamdulillah, ABIM bersama edotco Group (Global) & Malaysia Branch dengan Kerjasama Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) telah menyerahkan sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) kepada 100 buah keluarga OKU Penglihatan di Dewan Pusat Rukun Tetangga, Brickfields, Kuala Lumpur.

oku penglihatan kssb

Sumbangan telah disampaikan oleh Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz (gambar atas) di samping beberapa pimpinan ABIM yang turut hadir ke majlis penyampaian sumbangan ini yang dilangsungkan dalam sop kebersihan kendiri yang sangat ketat. Para penerima juga dibantu oleh sukarelawan untuk sama-sama mengangkat barang sumbangan kssb (gambar bawah).

sukarelawan KSSB OKU Penglihatan

Ini merupakan lanjutan daripada sumbangan kewangan yang disampaikan kepada komuniti OKU penglihatan untuk percetakan buku-buku dalam tulisan Braille. Ini kemudian diikuti dengan penyampaian sumbangan KSSB untuk membantu komuniti yang turut terjejas akibat daripada Covid-19. 
 
Terima kasih kepada semua penyumbang, semoga Allah Subhanahu-wa Ta’ala membalas sumbangan kalian dengan kebaikan.
---
“Membantu bukan kerana berada; tapi kerana faham rasanya tiada.”
Salurkan sumbangan seikhlas hati anda di sini:
 
Bank In Ke Akaun Bank Islam: 14-023-01-003-055-2
 
Rujukan: #KSSBABIM2021
 
Maklumat Perhubungan: https://wa.me/60126211545
 
PHOTO 2021 04 07 14 39 51
Read 126 times
Rate this item
(0 votes)
Read 232 times
Rate this item
(0 votes)
Kosmopolitan Islam Dan Teras Pembinaan Bangsa Malaysia.

Oleh:- Muhammad Faisal Abdul Aziz                                                                                                                                                                                                                         

Memasuki tahun 2021, ia menandakan berakhirnya Wawasan 2020; satu wawasan yang digagaskan pada 28 Februari 1991, yang telah “diutopiakan’ dengan pelbagai dendangan imaginasi bangsa dan negara yang bakal disarung oleh rakyat.

Selain kepesatan teknologi dan kemakmuran ekonomi, turut diselitkan salah satu cabaran dalam Wawasan 2020 - “Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama”.

Mengakhiri tahun 2020, kira-kira selepas 30 tahun ia diasaskan, cabaran yang dikemukakan menyentuh soal integrasi dan kohesi nasional masih belum dirungkai sebaiknya.

Sentimen kaum yang menebal, prasangka antara satu sama lain sentiasa menjadi bibit kepada bebola permasalahan yang boleh tercetus pada bila-bila masa.

Tahun 2021, pastinya menuntut kita untuk mencambahkan lagi usaha dan gagasan untuk disajikan kepada rakyat Malaysia untuk membina perpaduan yang lebih utuh. Lebih-lebih lagi pertubuhan belia, yang pasti mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk naratif yang murni untuk generasi muda.

Menyedari hakikat tersebut, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggagaskan satu jalan tuntas atas tema Kosmopolitan Islam sebagai asas kepada pembinaan Bangsa Malaysia yang menjadi nadi kepada penyatuan bangsa.

Gagasan ini telah dibentangkan menerusi Ucapan
Dasar bersempena Perhimpunan Agung Tahunan atau Muktamar Sanawi Abim Kali ke-49 pada 26 Disember 2020 yang lalu.

Di sini Abim menegaskan bahawa kekhuatiran yang perlu dirungkaikan dahulu adalah berkenaan dengan gagasan Bangsa Malaysia yang sering disalahtanggapi lebih-lebih lagi bilamana ia dilihat dalam neraca politik.

Ada yang berpandangan ia seolah idea pemimpin elit Melayu sebagai medium mencairkan identiti kaum lain, tidak kurang ada yang menyatakan ia sebagai mirip “Malaysian Malaysia” yang dikaitkan dengan usaha menjunamkan ‘survival’ bangsa majoriti.

Kekalutan sisi pandang ini berpunca daripada kesilapan kita melihat identiti kaum menerusi kanta yang tepat yang seharusnya membangunkan keutuhan perpaduan dan bukan merosakkan kesepakatan bangsa yang pelbagai.

Di sini penting untuk dicermati buku Identity & Violence, di mana Amartya Sen mengingatkan kita untuk mewaspadai kepelbagaian identiti. Menerusi identiti dari sisi positif ia berupaya untuk menjadi sumber kebanggaan dan kegembiraan serta kekuatan dan keyakinan.

Namun, identiti boleh membunuh apabila sisi negatifnya tidak dibendung. Amartya Sen mengenang kembali zaman kanak-kanaknya sekitar tahun 1940-an bagaimana perubahan sentimen berlaku dengan begitu pantas atas nama identiti.

Kepelbagaian identiti di India khususnya melibatkan Muslim dan Hindu yang dihargai dari neraca kepelbagaian sekitar Januari, telah terubah sekelip mata kepada India yang digambarkan mempunyai komposisi Hindu yang kejam dan Muslim yang bengis pada Julai tahun yang sama.

Lantaran, ratusan ribu telah dibunuh di tangan mereka yang mendakwa melakukan kerja tersebut “mewakili orang lain dari identiti yang sama”.

Justeru, dalam memberi fokus kepada identiti agama-bangsa, ia harus berkisar kepada sesuatu yang memberi pemberdayaan dan bukan ke sudut ekstrem hingga merosakkan dan membunuh kepelbagaian.

Bagi menyeimbang penggunaan identiti kaum dan agama, masyarakat harus turut menggarap kepelbagaian identiti lain.

Ini yang cuba dinukilkan oleh Amartya Sen sebagai “the power of competing identities”. Ia membawa kepada sarwa pandang bagaimana masyarakat berupaya untuk mencerminkan dirinya sebagai satu identiti yang lebih luas merentas agama dan kaum.

Ini termasuklah identiti asal usul kelahiran, profesion pekerjaan, jantina, kelas masyarakat, fahaman politik, tabiat pemakanan, kecenderungan bidang sukan, kesukaan sesuatu muzik serta komitmen dalam bidang program kemasyarakatan.

Dalam rangka yang lebih besar, kita harus turut melihat diri kita sebagai sebuah identiti yang berlandaskan negara dan kewarganegaraan seperti identiti Bangsa Malaysia yang mampu meraih keyakinan untuk bersama bergerak ke hadapan atas panji negara.

Namun, perlu sentiasa dipertegaskan, kita sentiasa mendukung agenda mengangkat identiti agama dan bangsa sebagai suatu anugerah yang wajib dipertahankan, namun kita tidak harus keterlaluan berpegang kepada identiti tersebut hingga membawa kepada watak ekstrim yang memecahkan anggota masyarakat seperti yang dinukil Amartya Sen.

Oleh yang demikian, atas faktor itu, Abim menanggapi identiti Bangsa Malaysia sebagai salah satu ‘competing identities” untuk menyederhanakan identiti agama dan kaum supaya tidak terjerumus ke kancah yang melampaui batas.

Maka, bila bicara soal identiti Bangsa Malaysia ia bukan satu proses asimilasi yang mencairkan kebudayaan sesuatu bangsa tetapi integrasi untuk kita bersama membentuk watak-watak yang punyai ciri kebersamaan semua bangsa yang mendiami negara bertuah ini.

Watak dan nilai penyatuan atas nama Bangsa Malaysia yang harus disepakati antaranya termasuklah kebersamaaan memusuhi kemiskinan, rasuah dan permusuhan serta mengangkat masyarakat menjadi satu bangsa yang bermaruah.

Pembentukan ciri dan watak bersama ini atas nama integrasi adalah satu jalan tengah yang akan mengelakkan masyarakat dari jatuh ke gaung asimilasi mahupun terjerumus ke kancah segregasi perpecahan.

Maka, di sini perlu ada watak keterbukaan semua bangsa untuk berkongsi aspirasi yang sama demi menuntaskan penjelmaan konsep Bangsa Malaysia.

Watak keterbukaan sebenarnya adalah satu watak yang menjadi citra umat Melayu sewaktu era awal pembinaan masyarakat bertamadun dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembinaan peradaban.

Prof Dr Syed Khairudin Al-Junied dalam karyanya Muslim Cosmopolitanism: Southeast Asian Islam In Comparative Perspective membahaskan ciri kosmopolitan Muslim di Asia Tenggara dengan butiran yang segar yang dipacu oleh komuniti Muslim Asia Tenggara:

“Muslim cosmopolitanism in Southeast Asia is a style of thought, a habit of seeing the world and a way of living that is rooted in the central tenet of Islam, which is that everyone is part of a common humanity accountable to God and that we are morally responsible towards one another. To embrace Muslim cosmopolitanism is to exhibit a high degree of receptiveness to universal values that are embedded within one’s own customs and tradition (adat). Internalizing Muslim cosmopolitanism enables a person to be at ease with his or her own Islamic cultural identities, promoting these identities as a means to enrich public understanding about Islam and Muslims while maintaining and embracing a tolerant attitude towards people of other backgrounds.”

Ini termasuklah yang ditegaskan Anwar Ibrahim dalam “Gelombang Kebangkitan Asia” bagaimana kaedah penyebaran Islam di rantau ini yang penuh keunikan dan rekayasa kreativiti berjaya membentuk sebuah komuniti Muslim Asia Tenggara dengan citra kosmopolitan yang jauh dari bibit dendam dan kesumat permusuhan.

Penekanan kepada konsep kosmopolitan Islam yang menyarung ciri kesejagatan dan keterbukaan ini seharusnya merakamkan satu kesedaran yang lebih bermakna bagaimana pembinaan ketamadunan itu berasaskan kepada interaksi sejarah dan perhubungan antara peradaban dunia sejagat.
Malah, sejarah tamadun Islam telah mengakui bahawa kita belajar dari Tamadun India dalam bidang matematik & falak, Tamadun Greek berkaitan ilmu logik, dan Tamadun Parsi berhubung organisasi pentadbiran.

Empayar Melayu Melaka sebagai contoh telah muncul akibat dari interaksi bersama kegemilangan di sekelilingnya dan yang mendahuluinya. Hasil interkasi dan keterbukaan ini telah memangkinkan lagi jolokan Asia Tenggara sebagai empayar maritim dan emporium perdagangan global “thalassocracy”.

Malah pada zaman itu, prestij Islam telah diangkat sebagai alat budaya kosmopolitan yang sangat tinggi di Asia Tenggara apabila kota-kota komersil di alam Melayu telah mewujudkan satu jalinan interaksi untuk membentuk satu pusat perdagangan yang lebih berdaya.

Tidak ketinggalan, citra kosmopolitan turut diambil oleh umat Islam di rantau lain yang akhirnya dapat merancakkan penyebaran Islam ke pelusuk dunia. Mashall Hodgson mengupas kosmopolitan Islam ini sebagai satu proses menyemarak penyebaran Islam ke pelusuk dunia.

Menurut beliau, Islam timbul di Zon Kering Tengah dan mengambil bentuk kosmopolitan aneh yang memberikan agama ini kekuatan luar biasa terutamanya di sepanjang jalan perdagangan dan daerah baharu.

Lantas, Islam cepat tersebar ke Eurasia Tengah dan Afrika, dan sampai ke Benggala, Yunan, Albania, Keralam (barat daya India) dan Malaysia kerana kawasan komersil ini bergantung pada pusat kosmopolitan.

Lebih utama, penyebaran budaya bandar seterusnya membawa kepada peradaban menerusi pembentukan Islam kosmopolitan ini telah memangkinkan lagi perdagangan di jalan laut yang berjarak jauh.

Maka, satu rangkaian lautan besar membentuk jalan perdagangan jarak jauh telah dikomersilkan yang diberi jolokan “Laut Tujuh” yang meliputi Laut China Timur dari Jepun ke Selatan, Laut China Selatan hingga ke Selat Melaka, Teluk Benggala, Laut Arab, Laut Merah, Laut Mediterranean dan Laut Timur-laut Atlantik ke utara hingga ke Britain.

Di sini Abim senantiasa tegaskan bahawa bilamana kita bicara soal keterbukaan dan kesejagatan bangsa ia adalah sesuatu pendekatan yang bersifat untuk menjayakan bukan sebaliknya yang sering disalah tanggapi seperti mengancam identiti kaum.

Lebih utama, ciri-ciri umat kosmopolitan yang ditegaskan tidak bermakna mereka mengorbankan prinsip-prinsip dan ajaran dasar agama semata-mata melayani ragam zaman dengan mengorbankan ajaran pokok Islam.

Atas kesedaran ini, umat rantau ini harus mengangkat kembali citra masyarakat sederhana yang terbuka, inklusif dan sejagat yang dirangkum sebagai umat kosmopolitan yang melonjakkan pembinaan tamadun lampau.

Menerusi pengembalian semula citra umat kosmopolitan ini, ia berupaya untuk menambahkan lagi keyakinan bangsa untuk memasakkan nilai perpaduan bersama kaum lain yang berdiri atas paksi nilai Bangsa Malaysia.
Sebaliknya, tohmahan yang bersifat emosi atas sandaran sentimen sempit seperti penanaman rasa takut bangsa – inferiority complex serta ancaman survival bangsa akan merencatkan pemberdayaan dan keyakinan umat untuk bangkit membina kesepakatan dan seterusnya membangun semula sebuah peradaban yang hebat di rantau ini.

Oleh yang demikian, bagi para penggerak masyarakat yang punya kesedaran harus merangka strategi untuk berusaha menjadi ‘creative individuals’ yang secara serius merangka gerak kerja ke arah pembangunan masyarakat yang lebih baik.

Citra Islam dalam peradaban manusia wajar ditampilkan dengan pengembalian imej kaum Muslimin sebagai umat berbudaya dan beradab, melalui kerangka peradaban yang semakin malap iaitu ‘kosmopolitan Islam’.

Read 701 times
Rate this item
(0 votes)
Gagasan Kosmopolitan Islam Maknai Separuh Abad Perjuangan ABIM.

 

26hb Disember 2020 (Sabtu), GOMBAK - Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengetengahkan tema “Kosmopolitan Islam & Pembinaan Bangsa Malaysia: Memaknai Separuh Abad Perjuangan Gerakan Islam ABIM” sempena dengan penganjuran Muktamar Sanawi ABIM Ke-49.

 norma baharu muktamar abim sidang online

Tahun 2020 adalah kali pertama ABIM menganjurkan Muktamar secara maya dan fizikal, dengan para tetamu serta perwakilan ABIM Pusat, ABIM Negeri, ABIM Daerah dan ABIM Luar Negara bersiaran di sekretariat masing-masing. Satu kelainan dalam norma baharu serta detik bersejarah kepada organisasi ini. Penganjuran Muktamar ini mempunyai signifikasinya yang tersendiri kerana ia diadakan menjelang 50 tahun penubuhan ABIM pada tahun hadapan.

 

 norma baharu muktamar abim 1

Dalam Ucapan Dasarnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM) menekankan bahawa Kosmopolitan Islam bersifat inklusif yang menekankan aspek hak kualiti kehidupan manusiawi dengan mengetengahkan gagasan Islam sebagai penawar kepada pengukuhan sistem tatakelola dan akauntabiliti, proses pendemokrasian, hak kesaksamaan ekonomi serta persoalan-persoalan kemanusiaan sejagat.

PHOTO 2020 12 28 20 22 34

"Ciri-ciri kosmopolitan Muslim Asia Tenggara ini turut dihuraikan oleh Prof Syed Khairuddin Al-Junied dalam karya Hamka & Islam: Cosmopolitan Reform in the Malay World. Berasaskan istilah “cosmopolitan reform”, beliau menjelaskan kerangka pemikiran ilmuwan agong Alam Melayu Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka dengan pegangan nilai kesejagatan Islam".

Beliau juga menegaskan bahawa konsep ini menepati peranan yang perlu dimaknai ABIM dalam latar masyarakat majmuk. Kosmopolitan Islam menekankan keterbukaan yang akan cuba dimaknakan dengan merancakkan libat urus – engagement bersama semua untuk berkongsi rasa dan aspirasi bagi menjayakan agenda Islah yang digariskan.

Faisal turut menjelaskan bahawa Gagasan Kosmopolitan Islam menzahirkan komitmen hidup bersama dalam budaya damai (ta’ayyush fi al-silm) atas asas keterbukaan dan kesejagatan merealisasikan gagasan bangsa Malaysia.

norma baharu muktamar abim

Ucaptama disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Redzuan Othman (Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan) atas manakala Penyempurnaan Perasmian dibuat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Malaysia yang juga Presiden ABIM ke-2) bawah yang disampaikan secara online.

amanat perasmian muktamar anwar ibrahim

Para perwakilan Muktamar bersetuju bahawa sudah sampai masanya untuk menggerakkan Reformasi Kosmopolitanisme (Cosmopolitanism Reform) bercitrakan Maqasid al-Shariah yang membawa mesej universal, inklusif dan damai.

Persidangan secara ‘hybrid’ yang julung kali diadakan ini diserikan lagi dengan kempen tanda pagar (hashtag) #SeparuhAbadABIM, #TerimaKasihABIM dan #ABIMdiHatiku yang diguna pakai dan disebarluaskan untuk rujukan di saluran-saluran media sosial.

Berpusat di Taman Cemerlang, Gombak dan mempunyai cawangan ABIM Negeri dan Daerah serta pelbagai agensi juga institusi kesihatan, kemanusiaan serta pendidikan di seluruh negara, ABIM kini diketuai oleh Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz bersama 21 orang Ahli Jawatankuasa Pusat (AJKP) daripada pelbagai latar belakang.

Read 404 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

ABIM Rintis Waqaf Tenaga
  5 Mei 2021, Kajang : - ABIM tekankan fokus untuk isu Hijau bukan hanya menyentuh isu ...
Jangan Sampai SOP Raya
  Sumber : Sinar Harian SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tiada amalan ...
Masyarakat Orang Asli
  22hb April 2021 (Khamis): Hari Bumi Sedunia disambut 22hb April setiap tahun. Hari Bumi ...
100 Komuniti OKU
  3hb April 2021 (Jumaat):  Saat hari ini kita menerima suatu pemberian, ada suatu ...
Kosmopolitan Islam Dan
Oleh:- Muhammad Faisal Abdul Aziz                ...
Gagasan Kosmopolitan
  26hb Disember 2020 (Sabtu), GOMBAK - Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ...
Covid-19:- ABIM
  13hb November 2020 (Jumaat): Alhamdulillah, sumbangan 500 set kelengkapan pelindung diri ...

ABIM Negeri

ABIM Rintis Waqaf Tenaga
  5 Mei 2021, Kajang : - ABIM tekankan fokus untuk isu Hijau bukan hanya menyentuh isu ...
Jangan Sampai SOP Raya
  Sumber : Sinar Harian SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tiada amalan ...
Masyarakat Orang Asli
  22hb April 2021 (Khamis): Hari Bumi Sedunia disambut 22hb April setiap tahun. Hari Bumi ...
100 Komuniti OKU
  3hb April 2021 (Jumaat):  Saat hari ini kita menerima suatu pemberian, ada suatu ...
Kempen Seorang Sekampit
Kosmopolitan Islam Dan
Oleh:- Muhammad Faisal Abdul Aziz                ...
Gagasan Kosmopolitan
  26hb Disember 2020 (Sabtu), GOMBAK - Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ...
Covid-19:- ABIM
  13hb November 2020 (Jumaat): Alhamdulillah, sumbangan 500 set kelengkapan pelindung diri ...
Our website is protected by DMC Firewall!