ABIM GESA KERAJAAN KELUARKAN PERINTAH MORATORIUM TERHADAP AKTIVITI PEMBALAKAN
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kenyataan Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
yang mengatakan bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini sektor
pembalakan dibenarkan beroperasi seperti biasa.
ABIM menegaskan perkembangan terbaharu ini amat bercanggah dengan
penjelasan Y.A.B Perdana Menteri sebelum ini yang mendakwa bahawa nasihat
kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Perisytiharan Darurat dibuat bagi
menyelesaikan isu besar yang dihadapi iaitu penularan wabak Covid-19 serta
bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri.
Dalam beberapa kajian termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli Akademik
Fakulti Pharmocology Universiti Teknologi Mara (UiTM), Professor Madya Datuk Dr
Vellayan Subramaniam bertarikh 26 Jun 2020, yang menjelaskan bahawa Covid-19
adalah dalam kategori “Zoonotic diseases”. Menurut beliau, zoonotic disease dahulu
dianggap tidak ketara di Malaysia kerana hidupan liar dilindungi sebaiknya di hutan
dan manusia tidak bertindak untuk mempunyai ‘contact’ dengan haiwan tersebut.
Tetapi berbeza dengan situasi hari ini ekoran dari pembangunan mega tanpa
kawalan yang menyaksikan penebangan hutan dan pemusnahan habitat haiwan liar,
maka ‘contact’ antara haiwan liar dengan manusia semakin menjadi kebiasaan.
Maka, apabila haiwan liar tertekan mereka mengeluarkan virus berbahaya / bakteria
dalam badan mereka dan seterusnya boleh memberi kesan kepada kehidupan
manusia.
Justeru, untuk satu jangka masa panjang, aktiviti pembalakan dan kemusnahan
alam mempunyai hubungan langsung dengan bencana yang dihadapi kini iaitu
penyebaran virus yang pasti akan menjejaskan kehidupan manusia.
Selain itu, ABIM juga menegaskan bahawa bencana banjir besar yang sering
berlaku berulang kali adalah berpunca dari situasi perubahan iklim. Perubahan iklim
menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku kini di mana tiada musim yang boleh dijangka berlaku mengikut masa seperti musim tengkujuh. Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa. Lantas, situasi ini menjadi penyebab berlaku banjir besar
apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat
berfungsi. Justeru, pihak berkuasa dan masyarakat harus menitikberatkan isu
perubahan iklim yang berlaku ini yang pasti menjadi faktor utama kepada masalah
banjir.
Sementara itu, hutan adalah kaedah paling murah dan paling berkesan dalam
menangani isu perubahan cuaca dan iklim ini. Ia amat berkesan memerangkap
karbon diaoksida iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan iklim.
Perlu dipertegaskan bahawa aktiviti pembalakan yang berleluasa dan penebangan
hutan tanpa kawalan adalah punca utama berlakunya perubahan iklim ini. Maka
hutan wajib dipertahankan malah dibanyakkan lagi kawasan hutan sekiranya
kerajaan semasa benar-benar serius untuk menangani isu perubahan iklim dan
cuaca ini.
Lantaran itu, ABIM menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan
mengeluarkan satu perintah moratorium untuk menghentikan sebarang aktiviti
pembalakan sebagai solusi tuntas kepada kedua-dua bencana ini yang akhirnya
membebankan rakyat. Ini memandangkan dunia hari ini termasuk Malaysia telah
memasuki fasa Darurat Iklim yang menuntut tindakan segera untuk mengekang
permasalahan ini.
ABIM berpandangan kerajaan persekutuan tidak seharusnya berhadapan dengan
masalah untuk mengeluarkan perintah ini kepada semua negeri sekiranya kerajaan
benar-benar mempunyai kemahuan politik yang tinggi. Ini memandangkan kerajaan
menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pernah mengeluarkan perintah
yang sama ke atas ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di
negeri Pahang.
#BangsaMalaysiaLawanPerubahanIklim
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) &
Penyelaras Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN)