ABIM GESA KPM BENTANGKAN PERANCANGAN TERPERINCI PEMBUKAAN SEKOLAH SEPTEMBER INI - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM GESA KPM BENTANGKAN PERANCANGAN TERPERINCI PEMBUKAAN SEKOLAH SEPTEMBER INI

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kenyataan dari Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini bahawa sesi persekolahan dijangka akan
dibuka pada September 2021 ini.

ABIM menegaskan, pihak KPM harus mengeluarkan perancangan terperinci kepada
umum meliputi garis panduan, kayu ukur yang membolehkan sekolah dibuka secara
bertahap serta perancangan masa depan pendidikan negara pasca COVID-19.

Dalam situasi angka harian COVID-19 berserta angka kematian yang semakin
membimbangkan, adalah menjadi tanggungjawab pihak KPM untuk bersedia
dengan perancangan rapi terutama bagi mendapat kepercayaan ibu bapa dan guru
sebelum sesi persekolahan dibuka.

ABIM mengambil contoh amalan di negara luar yang menjadikan beberapa petunjuk
sebagai kayu ukur antaranya termasuklah kadar vaksinasi, jumlah kes kematian dan
jangkitan harian, statistik penggunaan katil hospital, serta kajian tentang kehadiran
varian baharu sebelum sesuatu negara mengambil keputusan untuk melonggarkan
sebarang kawalan.

Di samping itu, pihak KPM harus memastikan seluruh warga sekolah termasuk
pengusaha kantin, pemandu bas dan ekosistem persekolahan diberikan keutamaan
dan dipastikan mendapat dua dos penuh vaksin.

Dalam pada itu, memandangkan Malaysia telah menutup sekolah (secara
bersemuka) melebihi 35 minggu pada tahun 2020 dan mencecah lebih 20 minggu
setakat ini untuk tahun 2021, hal ini telah memberi kesan besar kepada perjalanan
pembelajaran anak murid. Maka, ABIM menegaskan bahawa terdapat keperluan
untuk pihak KPM menyediakan satu perancangan dan dasar untuk pendidikan
kebangsaan pasca COVID-19.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)