angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM GESA SEMUA PIHAK DUKUNG PROSES KEADILAN UYGHUR TRIBUNAL

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada pendengaran pertama UK
Uyghur Tribunal yang telah berlangsung mulai 4 sehingga 7 Jun yang lalu.


Pendengaran Tribunal ini akan diteruskan pada 10-13 September 2021 di Church
House London, untuk menyiasat secara bebas dan adil isu pelanggaran hak asasi
manusia dan kekejaman ke atas etnik Uyghur di wilayah Xin Jiang, China.
Terdahulu, ABIM menyambut baik usaha penubuhan Uyghur Tribunal yang
dipengerusikan oleh Sir Geoffrey Nice.


Beliau adalah seorang Queen Council (QC) yang berpengalaman mengetuai
pendakwaan ke atas kesalahan jenayah perang oleh bekas Presiden Serbia,
Slobodan Milošević, di Bosnia Herzegovina.


Menerusi pendengaran pertama dilaporkan hampir tiga puluh saksi dan pakar telah
diundang secara fizikal dan maya. Saksi-saksi ini telah memberi keterangan
mengenai kem tahanan, penindasan, buruh paksa, penyeksaan, perlakuan jenayah
seksual seperti rogol, konstraseptif (pemandulan) secara paksa, pemusnahan
warisan agama dan budaya serta pelanggaran hak asasi manusia lain, ke atas
komuniti Uyghur di Xinjiang, China.


ABIM menegaskan, seluruh pihak dan masyarakat antarabangsa harus menyokong
usaha ini sebagai salah satu langkah untuk menzahirkan kebenaran yang sekian
lama ditutup dan dinafikan oleh kerajaan Republik Rakyat China.


ABIM ingin menegaskan perjuangan membela hak asasi etnik Uyghur adalah
konsisten dengan agenda kemanusiaan yang diketengahkan ABIM di pentas
antarabangsa.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita serta masyarakat antarabangsa untuk
sama-sama mempertahan hak dan maruah mana-mana manusia daripada sebarang
penindasan dan pencabulan.


Justeru, ia tidak seharusnya disempitkan dengan kaca mata politik. Antaranya ialah
menanggapi ia sebagai sentimen anti-China ataupun pro kepada kuasa Barat.
Sebaliknya ia adalah suara kemanusiaan yang dikongsi masyarakat antarabangsa
tanpa dibatasi latar agama, bangsa, serta demografi negara.


Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)