ABIM JUNJUNG PRINSIP RAJA BERPERLEMBAGAAN-DEMOKRASI BERPARLIMEN: SERU RAKYAT JANGAN BERTELAGAH - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM JUNJUNG PRINSIP RAJA BERPERLEMBAGAAN-DEMOKRASI BERPARLIMEN: SERU RAKYAT JANGAN BERTELAGAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengikuti dengan rapat perkembangan politik tanah
air khususnya usaha pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengkhianati mandat
rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.


ABIM sesungguhnya amat memuji dan menjunjung kasih usaha Ke bawah Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam
menangani kemelut ini dengan penuh bijaksana.


Sesungguhnya tindakan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membuktikan keperihatinan Tuanku untuk kepentingan rakyat dan negara. Ia selaras dengan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan, yang mana ia menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin
mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”. Justeru, ABIM menyeru semua pihak bergerak ke hadapan menghormati keputusan pihak Yang di-Pertuan Agong.


Dalam pada itu, ABIM juga menyarankan mana-mana pihak yang ingin mencabar keabsahan pelantikan Perdana Menteri baharu harus dibuat berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Ini termasuklah menerusi usul undi tidak percaya di dalam Sidang Dewan Rakyat atau mana-mana saluran demokratik yang sah.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM menggesa semua pihak untuk segera hentikan
permainan politik jijik yang merugikan rakyat, sebaliknya kembali fokus untuk memelihara
kebajikan serta membangunkan rakyat dan negara.


Semua pihak harus mengambil iktibar dari gelora politik yang berlaku, yang mana ia
membuktikan permainan politik pintu belakang telah memudaratkan negara dan rakyat dan
mengganggu gugat ketidaktentuan dan kestabilan negara berpanjangan.

“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”

MUHAMMAD FAISAL BIN ABDUL AZIZ
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)